Ahad, 3 September 2017

Pujian buat Nabi Ishak dan Yaakub

ARKIB : 22/09/2006
Ads by Kiosked
Kisah-Al-Quran - Kisah 8
DAN ingatlah hamba-hamba Kami, Ibrahim, Ishak dan Yaakub yang mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang tinggi. Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik. (Shaad: 45-47)

NABI Ishak dan Nabi Yaakub adalah keturunan daripada Nabi Ibrahim. Nabi Ishak ialah anak kepada Nabi Ibrahim bersama isterinya Sarah, manakala Nabi Yaakub pula ialah anak Nabi Ishak. Mereka semua berasal daripada zuriat dan keturunan yang sama serta diangkat menjadi nabi.

Hubungan antara Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub ada diterangkan di dalam beberapa ayat al-Quran antaranya ialah: Kami sampaikan berita gembira kepadanya dengan kelahiran Ishak dan daripada Ishak akan lahirnya Yaakub. (Huud: 71)

Kami berikan kepadanya Ishak dan Yaakub, masing-masing kami berikan petunjuk. (al-An’am: 84)

Dalam ayat al-Quran yang lain Allah menerangkan, Ketika Ibrahim telah menjauhkan diri mereka dan daripada apa yang mereka sembah selain Allah, maka kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. (Maryam: 49)

Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran tentang ketaatan dan kekuatan mereka dalam menyampaikan kepada kaum masing-masing.

Mereka dilahirkan dalam masyarakat yang masih berpegang teguh kepada ajaran nenek moyang dan penyembahan berhala.

Walaupun pelbagai dugaan dan cabaran yang diterima, namun mereka tetap berusaha sedaya upaya untuk membebaskan kaum masing-masing dari lembah kesesatan. Mereka semua adalah antara orang-orang yang mulia dan sentiasa ingat akan kehidupan akhirat.

Mereka menyeru manusia menyembah Allah. Bahkan mereka bertanggungjawab membina masjid-masjid untuk dijadikan tempat beribadat dan menyembah Allah.

Menurut ahli sejarah, Nabi Yaakub adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan Masjid al-Aqsa. Hal ini ada dijelaskan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Zhar. Beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah masjid apa yang pertama sekali dibangunkan?”

Baginda menjawab, “Masjidil Haram.”

Beliau bertanya lagi, “Kemudian masjid apa?”

Baginda menjawab, “Masjid Aqsa.”

Beliau melanjutkan, “Berapa jarak waktu di antara kedua-duanya?”

Baginda lalu menjawab, “40 tahun.”

Oleh sebab itulah perjuangan mereka adalah semata-mata untuk membimbing manusia ke arah kebenaran dan membina kehidupan yang diredhai Allah.

Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran beberapa kali tentang Nabi Ishak dan Yaakub supaya ia menjadi ingatan dan ikutan buat Nabi Muhammad s.a.w. Ini dapat diikuti melalui kisah perjuangannya dalam menghadapi tentangan dan halangan daripada kaum masing-masing.

Paparan kisah mereka bukan diadakan begitu sahaja tetapi mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan-Nya.

* Petikan daripada Untaian 366 kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau Emel: edusb@streamyx.com

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4rcSkZFLe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan