Sabtu, 9 September 2017

Ujian Allah kepada Nabi Daud



ARKIB : 17/11/2006
Kisah Al-Quran-Siri 16
Ujian Allah kepada Nabi Daud
SESUNGGUHNYA saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja. Maka dia berkata: “Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia telah mengalahkan aku dalam merundingkan perkara itu.” (Shaad: 23)

SEMASA pemerintahan Nabi Daud, terdapat seorang pemuda yang bernama Uria bin Hannan yang sangat tampan, kuat dan baik tingkah lakunya.

Pada suatu ketika, dengan takdir Allah, bertemulah Uria dengan seorang gadis daripada kaumnya juga yang bernama Sabiq binti Syair. Gadis tersebut sangat cantik serta bersopan santun. Maka apabila sampai masa yang ditetapkan lalu berkahwinlah kedua-dua mereka.

Dalam keadaan suami isteri itu baru melalui kehidupan berumahtangga yang sedang dibina, tiba-tiba Nabi Daud memerintahkan si suami untuk pergi berjuang membela tanah air dan agama demi berjihad ke jalan Allah. Berat hati si suami melangkah kakinya ke medan perang yang mungkin menjadi medan maut baginya. Tetapi kewajipan terhadap tanah air dan agama mestilah ditunaikan. Maka pergilah si suami tersebut berperang dengan meninggalkan isterinya yang tercinta.

Takdir Tuhan telah menentukan. Pada suatu hari Nabi Daud terpandang akan wajah cantik iaitu isteri pemuda tadi. Hati baginda terus terpaut dan ingin menjadikannya sebagai isteri. Disebabkan Nabi Daud adalah raja yang memerintah pada masa itu, lamaran Nabi Daud diterima oleh gadis itu.

Perkahwinan tersebut berjalan dengan lancar dan meriah sekali sehingga tersebar ke medan peperangan. Uria yang mengetahui isterinya dikahwini oleh Nabi Daud merasa sangat kecewa.

Sebagai raja dan nabi, baginda selalu dijaga oleh penjaga-penjaga dan tentera-tenteranya. Tidak seorangpun dibenarkan masuk sebelum mendapat keizinan daripada Nabi Daud sendiri.

Pada suatu hari, datanglah dua orang lelaki ingin menemui baginda. Setelah meminta keizinan, kedua-dua lelaki itu tidak dibenarkan masuk menemui Nabi Daud walaupun sudah beberapa kali dipujuk.

Tiba-tiba dalam keadaan pintu tertutup, kedua-dua lelaki itu sampai di hadapan Nabi Daud. Ternyata kedua-dua lelaki itu bukanlah manusia biasa. Mereka ialah malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk mendatangi Nabi Daud dan memberi peringatan serta pengajaran kepada baginda. Kedua-dua malaikat itu duduk berdekatan dengan Nabi Daud dan salah seorang daripadanya berkata:

“Jangan takut wahai Daud, kami ini dua bersaudara. Kedatangan kami ingin meminta petunjuk dan jalan kerana kami mempunyai sedikit perselisihan. Saudara saya ini mempunyai 99 ekor kambing dan saya hanya mempunyai seekor kambing sahaja. Tetapi saudara saya ini menuntut kepada saya mengambil kambing saya itu, agar kambingnya menjadi seratus, maka saya tidak akan mempunyai kambing lagi.”

Sementara itu, pemuda yang seorang lagi mengiyakan percakapan pemuda pertama tadi. Selepas mendengar keterangan itu, merah padamlah muka Nabi Daud kerana marah. “Tuntutanmu tidak baik! Kalau engkau tetap menuntut begitu, akan aku pukul dahi dan hidungmu itu.”

Baru sahaja Nabi Daud berkata demikian, malaikat itu terus berkata: “Engkau seharusnya yang lebih baik dipukul sebab engkau sudah mempunyai sembilan puluh sembilan orang isteri, kemudian mengambil pula isteri Uria bin Hannan yang hanya mempunyai seorang isteri sahaja.”

Mendengar kata-kata melaikat itu, Nabi Daud tunduk dan sujud meminta keampunan sambil bertaubat kepada Allah, di atas kekeliruannya. Allah segera memberi keampunan dan menerima taubat Nabi Daud itu.

*Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

PENGAJARAN

*Setiap arahan yang diberikan oleh ketua, mestilah dilaksanakan dengan baik.

*Sekiranya berlaku perselisihan ataupun salah faham, hendaklah kita merujuk kepada orang yang lebih adil.

INFORMASI

Daud bin Isha adalah anak bongsu daripada 13 adik-beradik yang berketurunan ke-13 daripada Nabi Ibrahim. beliau tinggal di kota Baitlehem (Baitul Laham) iaitu kota kelahiran Nabi Isa bersama 13 orang saudaranya.

PERBENDAHARAAN KATA

*berjihad: berperang dengan jalan yang suci melawan orang-orang kafir kerana mempertahankan agama Islam.

*terpaut: terpikat kepada seseorang

*perselisihan: perbezaan pendapat

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4sEDt0bIy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan