Jumaat, 22 September 2017

Tercetusnya peristiwa Nakhla



ARKIB : 16/03/2007
Kisah Al-Quran - Siri 31
Tercetusnya peristiwa Nakhla
MEREKA bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: Berperang pada bulan itu adalah berdosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) ke Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya di sisi Allah). Dan berbuat fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh. (Al-Baqarah: 217)

Selepas 17 bulan berada di Madinah, pada bulan Rejab bersamaan November 623 Masihi, Rasulullah telah memerintahkan Abdullah bin Jahsy al-Asadi bersama 12 orang sahabat daripada kaum Muhajirin pergi ke Nakhla iaitu sebuah tempat yang terletak di perbatasan antara Thaif dan Mekah. Surat tertutup telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w.

Isi kandungan surat itu mengandungi perintah supaya Abdullah mengadakan pengintipan terhadap lalu lintas kafilah orang-orang Quraisy yang datang dari Thaif dengan membawa muatan barang-barang dagangan menuju ke Mekah.

Sejurus mereka tiba di Nakhla, kelihatan kafilah-kafilah Quraisy dengan muatan barang-barang dagangan sedang menuju ke Mekah. Terjadilah pertempuran yang disusuli serang menyerang antara Abdullah dan kawan-kawannya terhadap orang-orang Quraisy lalu menawan Usman bin Abdullah dan al-Hakam bin Kisas. Manakala barang-barang dagangan dan harta benda dirampas oleh Abdullah.

Kembalilah Abdullah ke Madinah dengan barang-barang rampasan dan dua orang tawanannya. Beliau mengadap Rasulullah untuk menyampaikan laporan perjalanannya. Setelah mendengar cerita Abdullah, Rasulullah mengatakan bahawa Baginda hanya memerintahkan mereka untuk mengintip bukan berperang dalam bulan haram.

Baginda meninggalkan dua orang tawanan dan barang rampasan begitu sahaja sehingga menantikan wahyu daripada Allah yang akan menentukan segala-galanya.

Setelah menerima wahyu daripada Allah, ternyata bahawa perbuatan Abdullah dan kawan-kawannya berperang menegakkan jalan Allah itu tidak salah walaupun dalam bulan haram. Semua barang-barang rampasan itu dibahagi-bahagikan oleh Baginda menurut syariat dan ketentuan Islam. Kedua-dua tawanan itu dikembalikan ke Mekah.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

*Janganlah bertindak terburu-buru kerana ia akan mengundang kemudaratan pada diri sendiri. Sebaliknya, kita hendaklah bertindak mengikut akal fikiran kerana ia akan membawa kebaikan.

*Sekiranya ada perkara yang boleh membawa kebaikan maka tunaikan dengan segera

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4tPFycdmM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan