Jumaat, 25 March 2016 | 12:05am
Kisah lembu gambaran tabiat
Bani Israel
Oleh Ahmad Shukri Yusoff
bhagama@bh.com.my
FIRMAN Allah SWT yang
bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka
berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab:
Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi seorang daripada golongan yang
jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)." (Surah al-Baqarah, ayat
67)
Kisah lembu betina yang Allah
SWT ceritakan menggambarkan tabiat Bani Israel dan watak mereka sejak turun-temurun.
Ia juga menjelaskan kudrat Allah SWT, hakikat kebangkitan, mati dan hidup.
Ciri utama Bani Israel
Ciri utama Bani Israel
diperkenalkan begitu jelas dalam kisah lembu ini iaitu putusnya hubungan mereka
dengan keimanan, kesukaran mempercayai apa yang disampaikan rasul, enggan
menurut perintah, mencari alasan dan suka mempersenda sesuatu disampaikan
dengan mulut yang lancang.
Apabila Nabi Musa menyampaikan
perintah Allah SWT supaya mereka menyembelih seekor lembu betina, reaksi yang
sepatutnya ialah mereka mematuhi perintah itu tanpa banyak soal kerana Nabi
Musa adalah nabi dan pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada cengkaman
serta penindasan Firaun.
Biadab terhadap Nabi Musa
Namun, jawapan mereka sangatlah
biadab apabila menuduh Nabi Musa mempermainkan mereka dengan menggunakan nama
Allah SWT. Nabi Musa sangat kecewa dengan pertanyaan seperti itu kerana nabi
tidak berdusta dan bergurau menggunakan nama Allah.
Sebagai jawapan kebiadapan ini,
Nabi Musa memohon perlindungan Allah SWT daripada termasuk golongan yang jahil.
Ayat dalam surah al-Baqarah ini
memaparkan kisah berlaku dalam masyarakat Bani Israel yang melihat sendiri
seorang lelaki dibangkitkan kembali selepas kematiannya untuk mendedahkan
siapakah pembunuhnya dan selepas itu dia mati kembali.
Masyarakat Bani Israel berada
dalam suasana yang sungguh buruk, mereka melakukan jenayah, kemudian
menyembunyikan sehingga tidak dapat dikesan siapakah melakukannya. Mereka sedia
membuat pakatan menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.
Kisahnya bermula apabila
seorang lelaki kaya daripada kalangan Bani Israel dibunuh dan mayatnya
diletakkan di kampung berdekatan dengan tempat pembunuhannya. Kejadian itu
menimbulkan pertikaian dan tuduh-menuduh antara dua kampung berkenaan mengenai
siapakah pembunuhnya.
Perkara itu dirujuk kepada Nabi
Musa dan mereka meminta Baginda bermunajat kepada Allah SWT supaya didedahkan
siapakah pembunuhnya. Allah SWT memerintahkan Bani Israel menyembelih seekor
lembu betina, sebenarnya jika mereka menyembelih mana-mana lembu pun sudah
memadai.
Sebahagian lembu itu digunakan
untuk dipukul atas mangsa bunuh dan dia akan memberitahu siapa yang
membunuhnya, maka selesai segala masalah. Bagaimanapun, Bani Israel menunjukkan
sikap angkuh dengan tidak mempercayainya dan bertanya pelbagai soalan mengenai
sifat dan rupa lembu.
Wasilah hidupkan orang mati
As-Syahid
Sayyid Qutb ketika menghuraikan
keperluan Allah SWT menghidupkan kembali orang mati menggunakan wasilah iaitu
dengan menggunakan sebahagian badan lembu dan dipukulkan kepada si mati
mengikut adat Bani Israel, lembu disembelih kerana korban.
Di sini, satu potongan anggota
daripada lembu disembelihkan itu dapat mengembalikan nyawa kepada jasad yang
terbunuh sedangkan anggota itu tidak mempunyai hayat atau kudrat untuk
menghidupkan yang mati.
Ia hanyalah wasilah zahir yang
dapat menunjukkan kudrat Allah SWT kepada mereka iaitu kudrat yang tidak
diketahui oleh manusia bagaimana ia bertindak. Mereka hanya melihat kesan
kudrat sahaja, tetapi tidak mengetahui hakikatnya dan cara ia bekerja.
Sesungguhnya memahami hakikat
dan cara menghidupkan yang mati antara rahsia Allah SWT dan tiada jalan untuk
sesiapa mengetahuinya.
Syeikh Al-Maraghi berpendapat,
mereka disuruh menyembelih lembu betina bukannya binatang lain kerana mereka
menyembah anak lembu. Ini bertujuan menghina benda yang mereka sembah dan
mengetahui sejauh mana kecintaan mereka dalam penyembelihan anak lembu menerusi
jawapan diberi.
Penyembelihan lembu ini
mempunyai dua perkara yang tersirat iaitu menyelesaikan krisis pembunuhan dan
mengenal pasti pembunuh sebenar. Memberi isyarat yang jelas kebesaran dan
kudrat Allah SWT dapat menghidupkan orang mati sehingga dapat menceritakan
kembali peristiwa yang berlaku terhadap dirinya.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada
Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan
kamu," (Surah al-Maidah, ayat 101) Sebenarnya nama surah al-Baqarah
diambil daripada isu utama dalam agama iaitu keimanan dan kepercayaan kepada hari
kebangkitan.
Mereka yang tidak percaya
kepada hari akhirat, hari kebangkitan dan hari perhitungan pasti akan sesuka
hati berbuat apa-apa tanpa memikirkan kesannya.
Ayat ini mengingatkan kita
tabiat dan perangai Bani Israel, keperluan mengelak pertanyaan tidak perlu
dalam agama dan penegasan Allah SWT berlakunya hari kebangkitan untuk setiap
manusia diadili oleh Rabbul Jalil
Sumber-Berita Harian online Jumaat,
25 March 2016 | 12:05am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan