Sabtu, 16 September 2017

Kisah Al-Quran - Siri 27



ARKIB : 02/02/2007
Pembebasan Bilal oleh Abu Bakar as-Siddiq
PADAHAL tidak ada seorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan. (al-Lail: 19-21)

APABILA tersebut nama Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab akan berkata: “Abu Bakar adalah pemimpin kita yang memerdekakan ‘pemimpin kita’.” Maksud yang memerdekakan ‘pemimpin kita’ tidak lain dan tidak bukan ialah Bilal bin Rabah.

Beliau merupakan bekas hamba Habsyi milik Umaiyah bin Khalaf, seterusnya dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq seperti disebutkan dalam ayat al-Quran di atas.

Cahaya hidayah terpancar di hati Bilal bin Rabah apabila majikannya Umaiyah sering melepaskan kemarahannya pada Rasulullah. Di situlah beliau mula mengenal Rasulullah. Dari situ jugalah Bilal mula mengenal Islam yang dibawa Baginda. Beliau mendengar Islam tidak mempunyai kasta, tiada penindasan serta mengajak menyembah Tuhan yang satu.

Pada suatu malam, secara sulit Bilal pun keluar untuk berjumpa Rasulullah. Ketika itulah dia menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah.

Esoknya, Bilal berlagak seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Beliau cuba menyembunyikan keislamannya daripada majikannya yang kuat menentang Islam. Hinggalah pada suatu hari, apabila Ammar ditangkap kerana memeluk Islam. Ammar disuruh membela diri di hadapan Abu Jahal serta pemimpin lain termasuk Umaiyah. Bilal juga hadir menemani majikannya itu.

Setelah Ammar gagal didesak meninggalkan Islam, Umaiyah memerintahkan Bilal supaya membelasah Ammar, lalu diberikan cemeti. Bilal kaku apabila memandang cemeti itu dan dilepaskannya. Ammar menjadi terkejut lalu memberikan cemeti itu kepada Bilal. Beliau menyuruh Bilal memukulnya kerana takut rahsia Bilal terdedah. Namun Bilal nekad.

Umaiyah bertambah geram apabila mengetahui hambanya itu telah memeluk Islam. Lebih memalukan apabila peristiwa tersebut berlaku di hadapan Abu Jahal selaku pemimpin Quraisy.

Keesokan harinya Bilal dibawa ke padang pasir di waktu panas terik yang membahang. Di situlah Bilal dibelasah lalu dipaksa meninggalkan Islam. Melihat keengganan Bilal, Umaiyah membaringkan Bilal di atas padang pasir yang panas membara tanpa pakaian. Umaiyah lalu memerintahkan orangorangnya mengangkat batu besar yang panas lalu diletak di atas dada Bilal. Bilal kian lemah, tetapi lidahnya masih kuat menyebut, “Ahad! Ahad! Ahad! (Allah Yang Maha Tunggal).” Umaiyah semakin berang. “Sebutlah demi Latta dan Uzza!” desak Umaiyah. Namun Bilal tetap menyebut, Ahad! Ahad! Ahad!” Kini Umaiyah sedar dia menerima tamparan hebat daripada hambanya sendiri dan hampir-hampir dia mengalah.

Abu Bakar yang tidak tahan melihat Bilal diseksa, akhirnya datang bertemu Umaiyah. “Apakah kamu mahu membunuh lelaki ini hanya kerana mengatakan Tuhan Allah?” Umaiyah tersentak, seolah-olah kehilangan punca. “Terimalah ini sebagai tebusannya,” kata Abu Bakar sambil menghulurkan 100 uqiah sebagai tebusan.

Umaiyah pun lega apabila hambanya yang ingkar itu dijual dengan harga yang tinggi. Bilal dilepaskan dan dibebaskan oleh Abu Bakar as-Siddiq. Demikianlah Allah memuji usaha Abu Bakar dengan turunnya ayat 19-21 dalam surah al-Lail.

PENGAJARAN

*Allah akan memberikan ganjaran pahala kepada mereka yang bertakwa dan teguh imannya.

*Setiap yang beriman pasti mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah dalam apa jua keadaan.

*Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar.

PERBENDAHARAAN KATA

kasta: golongan yang berdasarkan tingkatan dan kedudukan dalam masyarakat.

berlagak: berperasaan besar hati

membelasah: memukul dengan kuat

cemeti: penyebat

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sqR3wD00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan