Rabu, 13 September 2017

Pasukan tentera bergajah (Siri 24)



ARKIB : 12/01/2007

APAKAH kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan kaabah) itu sia-sia?.

Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung-burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat). (al-Fiil: 1-5)

DI sebuah negeri yang dipanggil Yaman, tinggal seorang gabenor bernama Abrahah. Abrahah adalah seorang yang sangat gagah dan berani.

Tidak jauh dari Yaman terdapat sebuah kota tua yang bersejarah, iaitu Mekah dan ada sebuah rumah Allah iaitu kaabah. Kaabah ini dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail bertahun-tahun dahulu.

Setiap tahun ramai pedagang datang ke Mekah untuk menyembah tuhan-tuhan yang diletakkan di sekitar Kaabah. Tuhan-tuhan mereka itu terdiri daripada patung-patung batu yang dibuat oleh mereka sendiri. Pedagang-pedagang dan penduduk di Tanah Arab juga datang ke Mekah untuk melawat Kaabah. Pada masa itu, masyarakat di Mekah hidup dalam keadaan aman dan makmur.

Abrahah berasa iri hati dengan kemakmuran di Mekah. Dia mahu semua masyarakat Arab datang ke Yaman. Abrahah mahu mereka datang berdagang dan menyembah Tuhan mereka di Yaman.

Abrahah lalu membina sebuah gereja yang besar dan indah. Gereja itu dipenuhi dengan perhiasan yang cantik-cantik belaka. Tetapi, tidak seorang pun yang datang melawat gereja itu. Mereka masih tertarik untuk pergi ke Mekah dan melawat Kaabah.

Abrahah berasa amat marah. Usahanya untuk menarik masyarakat Arab supaya datang ke Yaman tidak berhasil. Lalu dia mengumpulkan bala tenteranya. Abrahah mahu menghancurkan Kaabah. Pada fikirannya, jika Kaabah itu sudah diruntuhkan, pasti masyarakat Arab akan datang ke Yaman.

Abrahah pun membawa bala tenteranya menuju ke Mekah. Mereka pergi ke Mekah dengan menaiki gajah. Oleh kerana ramainya tentera bergajah Abrahah, kaum Quraisy yang tinggal di Mekah tidak mampu menghalang kemaraan tentera itu. Kaum Quraisy tidak mempunyai kelengkapan untuk memerangi tentera bergajah Abrahah.

Sepanjang perjalanan Abrahah menuju ke Kota Mekah, tentera Abrahah telah merampas ternakan-ternakan orang Arab ketika itu. Antara ternakan yang dirampas adalah milik Abdul Muttalib.

Berjumpa

Sebelum masuk ke Mekah, Abrahah menjemput Abdul Muttalib yang merupakan penjaga Kaabah supaya berjumpa dengannya di luar Mekah. Abrahah pun berkata kepada Abdul Muttalib: “Aku mahu menghancurkan kaabah.”

Abdul Muttalib menghadap Abrahah menuntut supaya ternakannya dipulangkan. Abrahah bertanya: “Kenapa kamu risaukan ternakanmu berbanding Kaabah?” Dia pun berkata, “Aku tidak akan menghalangmu kerana kami tidak mampu melawan. Tapi, aku ingatkan kepadamu, Kaabah itu ada penjaganya.”

Abrahah tidak mengendahkan kata-kata Abdul Muttalib itu. Sebaliknya, dia tetap mahu meruntuhkan Kaabah.

Setelah siap semuanya, berangkatlah bala tentera ke kota Mekah. Abrahah begitu yakin akan dapat memusnahkan Kaabah. Dengan penuh sombong, Abrahah dan tenteranya pun masuk ke dalam Mekah.

Suasana sepi kerana semua penduduk telah keluar dari Mekah. Mereka takut Abrahah dan tenteranya akan mencederakan dan membunuh mereka.

Ketika Abrahah dan tentera bergajah masuk dan mahu memusnahkan Kaabah, maka datanglah beribu-ribu ekor burung. Burung-burung itu ialah burung Ababil.

Burung-burung Ababil ini membawa batu-batu kecil di paruh masing-masing. Batu-batu beracun itu dilemparkan ke arah tentera Abrahah.

Kejadian luar biasa itu menimbulkan ketakutan dalam hati Abrahah. Abrahah terus balik ke Yaman. Tidak lama kemudian, dia meninggal dunia kerana luka yang dideritainya dalam perang yang luar biasa itu.

Maka selamatlah Kaabah daripada tentera bergajah Abrahah. Pada tahun itu juga, lahirlah manusia agung iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4sZWfiOfw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan