Jumaat, 22 September 2017

Sambutan kaum Nabi Nuh terhadap dakwahnya



ARKIB : 23/03/2007

Kisah Al-Quran (SIRI 33)
DAN berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami, dan kami tidak nampak golongan pengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina lagi berfikiran singkat.

Dan kami juga tidak memandangmu mempunyai kelebihan mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta. (Huud: 27)

ALLAH s.w.t. mengutuskan Nabi Nuh supaya menyeru umatnya agar beriman kepada Allah. Lalu Nabi Nuh pula memulakan dakwahnya bersungguh-sungguh. Baginda memperingatkan kaumnya tentang seksaan Allah terhadap orang-orang yang kufur. Mereka diseru supaya mengikut perintah-Nya. Nabi Nuh berkata kepada kaumnya:

“Wahai kaumku sekalian! Janganlah kamu menyembah selain daripada Allah. Ini kerana aku khuatir kamu akan ditimpa azab di akhirat nanti.”

Kaum Nabi Nuh pada waktu itu mengamalkan amalan menyembah berhala. Mereka tidak percaya adanya Tuhan lain selain daripada patung-patung berhala yang menjadi amalan tradisi nenek moyang mereka.

Setelah mendengar seruan Nabi Nuh, orang-orang kafir itu terus menghinanya. Mereka membangkang dan menentang kata-kata Nabi Nuh tadi.

“Apakah kelebihan yang kamu ada sehingga kamu ingin berdakwah kepada kami? Kami lihat kamu sama seperti manusia biasa. Hanya orang bodoh sahaja yang akan percaya kata-kata kamu. Bagi kami, kamu adalah seorang pendusta yang ingin menyesatkan kami.”

Negitu sombong mereka berkata-kata. Malah mereka menuduh Nabi Nuh adalah orang yang sesat.

Nabi Nuh yang sememangnya terkenal dengan sifat lemah lembut dan penyabar itu pun menjawab: “Wahai kaumku, aku ini bukannya orang yang sesat seperti yang kamu tuduh itu. Tetapi aku adalah seorang utusan Allah yang ditugaskan untuk menyampaikan dakwah. Ia adalah untuk kebaikan kamu juga supaya kamu tidak mendapat seksaan.”

Malangnya, orang-orang kafir itu masih lagi berdegil. Mereka tetap dengan kesombongan mereka. Bahkan mereka memberi hujah-hujah untuk menghina Nabi Nuh.

Antaranya, mereka mempertikaikan bagaimana Nabi Nuh boleh menjadi nabi sedangkan dia juga seperti orang biasa yang makan dan minum. Selain itu, mereka juga menghina para pengikut Nabi Nuh yang kebanyakannya terdiri daripada orang miskin. Mereka mengatakan bahawa kemiskinan ini disebabkan mereka mengikut Nabi Nuh yang tidak mempunyai apa-apa.

Begitulah ceteknya pemikiran orang-orang kafir itu. Mereka menuduh Nabi Nuh dan pengikutnya sebagai pendusta. Padahal mereka tidak mempunyai sebarang bukti. Itu hanyalah sangkaan mereka semata-mata. Kaum Nabi Nuh kemudiannya dihukum oleh Allah dengan banjir besar dengan menenggelamkan umat-umat yang ingkar.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4tPkTDBFE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan