ARKIB : 19/01/2007
Kisah kelahiran Nabi Muhammad
DAN (ingatlah) apabila Isa anak
Maryam (berkata), Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku Rasulullah diutuskan
kepada kamu membawa kebenaran dengan apa yang di sisiku (sebelumku) Taurat dan
menyebarkan khabar gembira dengan kedatangan rasul selepasku yang bernama Ahmad
(Muhammad). (ash-Shaff: 6)
SETELAH beberapa lama berkahwin
dengan Abdullah, Aminah pun mengandung. Abdullah sangat gembira apabila
mendapat tahu mengenai berita itu. Abdullah berjanji akan bekerja dengan lebih
kuat.
Pada suatu hari, Abdullah pergi
berniaga di Syam. Namun dalam perjalanan pulang, beliau jatuh sakit dan
meninggal dunia.
Jenazahnya dikebumikan di
Madinah. Aminah ketika itu sedang hamil dua bulan. Dia menerima berita kematian
suaminya dengan sedih.
Suatu malam, Aminah bermimpi. Dia
melihat bulan jatuh ke ribanya. Apabila terjaga keesokan hari, dia pergi
menemui orang-orang yang lebih tua untuk bertanyakan maksud mimpinya itu.
Mimpi itu adalah tanda bahawa
anak di dalam kandunganmu itu akan menjadi manusia yang dihormati, kata mereka.
Aminah berasa sangat gembira.
Di beberapa tempat di luar
Mekah, terdapat perkampungan Yahudi dan Nasrani. Mereka percaya kepada kitab
Taurat dan Injil. Mereka juga percaya bahawa seorang nabi akan hadir untuk
memimpin manusia. Nabi itu adalah rasul yang terakhir.
Terdapat seorang pendita
Nasrani yang alim. Beliau sangat menanti kehadiran nabi itu.
Pada suatu malam, beliau duduk
berehat di luar rumahnya. Tiba-tiba beliau terpandang sebutir bintang yang
sangat terang cahayanya sedang berkerlipan di langit.
Keesokkan harinya, beliau terus
menemui kawan-kawannya.
Aku percaya nabi yang kita
nanti-nantikan itu telah dilahirkan, katanya.
Bagaimana tuan tahu? Tuan
bermimpi malam tadi?
Tidak, aku melihat sebutir
bintang terang cahayanya malam tadi, jawabnya.
Dari arah mana tuan nampak?
soal mereka.
Apabila pendeta itu mengatakan
ia adalah dari kota Mekah, kawan-kawannya pun pergi menyiasat.
Mereka bertanya kepada
orang-orang di Mekah. Setelah mengesahkan perkara tersebut, akhirnya mereka
pulang ke tempat mereka semula.
Memang benar. Ada seorang bayi
dilahirkan di Mekah. Ibunya adalah Aminah iaitu menantu Abdul Mutalib, pemimpin
Quraisy, maklum mereka.
Syukurlah, lepas ini kita
tidak lagi ternanti-nantikan kelahiran rasul yang mulia itu, kata pendeta
tersebut.
Kelahiran Nabi Muhammad sangat
menggembirakan Aminah dan Abu Mutalib.
Pada hari ketujuh kelahiran
Baginda, Abu Mutalib telah membuat kenduri. Beliau menyembelih seekor unta
untuk menjamu tetamunya.
Malangnya golongan Yahudi dan
Nasrani enggan menerima Rasul yang bukan daripada golongan Bani Israel
sebagaimana Nabi Musa dan Nabi Isa. Sedangkan Rasulullah dilahirkan daripada
keturunan Arab Quraisy yang bersambung dengan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
PENGAJARAN
* Apabila mendapat ujian
daripada Allah, hendaklah kita sentiasa bersabar dan tabah menghadapinya.
* Ujian yang Allah turunkan
akan menghapuskan dosa-dosa kecil.
* Setiap kebaikan dan keburukan
seseorang itu ditentukan oleh Allah s.w.t., sebagai manusia biasa kita tidak
berhak menentukan kedudukan seseorang.
PERBENDAHARAAN KATA
jenazah: mayat
berkerlipan: berkelip-kelip
pendeta: orang yang banyak ilmu
menjamu: memberi makan
INFORMASI
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan
pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah. tarikh itu juga bersamaan dengan 20
April 570 Masihi. Nabi Muhammad s.a.w. diputerakan di rumah Abdul Mutalib di
Mekah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4skAxWW9e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan