ARKIB : 26/01/2007
Keteguhan iman Saad bin Abi
Waqqas
DAN jika kedua (ibu bapa)
memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu tanpa pengetahuanmu tentang
itu, maka janganlah kamu menurutinya dan gaulilah mereka dengan baik di dunia,
ikutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku, hanya pada Akulah tempat kembali,
Maka Aku akan khabarkan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan. (Luqman: 15)
SAAD bin Abi Waqqas adalah anak
kepada Hamnah binti Abu Sufyan. Saad patuh dan taat kepada ibunya. Akan tetapi,
Saad telah memeluk agama Islam sedangkan ibunya masih dalam kekafiran.
Setelah mengetahui Saad memeluk
Islam, ibunya amat marah dan bersumpah tidak akan berbicara dengan Saad dan
mahu menahan dirinya daripada makan dan minum.
Wahai anakku, sekiranya kamu
tidak meninggalkan agama baru yang kamu anuti itu, aku tidak akan makan dan
minum sesuatupun sehingga aku mati. Jika aku mati kerana itu, penduduk Mekah
akan mencela kamu sebagai pembunih ibunya sendiri, kata ibunya.
Aku tidak akan meninggalkan
agamaku ini walau apa pun yang terjadi, kata Saad kepada ibunya.
Maka ibunya terus menahan
daripada makan dan minum. Dia menyangka dan mengharap dengan perbuatannya itu,
Saad akan meninggalkan Islam. Akan tetapi Saad tetap berpegang teguh dengan
ajaran Islam.
Oleh kerana menahan daripada
makan dan minum, ibunya menjadi letih dan tidak berdaya. Kemudian Saad dirayu
oleh keluarganya agar melawat ibunya. Mereka berharap apabila Saad melihat
keadaan ibunya yang sedemikian, hati Saad akan menjadi lembut.
Maka Saad pun datanglah menemui
ibunya. Kemudian Saad pun menghampiri ibunya lalu berkata:
Wahai ibuku, sekiranya ibu
mempunyai 100 nyawa dan nyawa-nyawa itu akan keluar satu demi satu dari dalam
tubuh ibu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku. Jika ibu berasa lapar,
makanlah dan sekiranya tidak mahu makan, tak usahlah ibu makan, kata Saad.
Dengan ketegasan hati Saad yang
mempertahankan agamanya, ibunya mulai makan dan minum.
Kemudian turunlah wahyu
menyokong pendirian Saad serta mengucapkan selamat kepadanya (surah Luqman ayat
15).
Saad terkenal sebagai orang
yang paling mustajab doanya. Rasulullah s.a.w. pernah berdoa untuk Saad. Sabda
Baginda: Ya Allah, tetapkanlah bidikan panahnya (saad) dan kabulkanlah doanya.
*Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
*Sesungguhnya kita hendaklah
menghormati ibu bapa, akan tetapi sekiranya ibu bapa kita itu menyuruh membuat
kemungkaran, maka kita boleh mengingkari perintahnya
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4spQwtfq4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan