ARKIB : 22/06/2007
DAN setengah daripada
tanda-tanda kebesaran-Nya bahawa Dia ciptakan untuk kamu daripada dirimu
sendiri akan isteri-isteri, agar tenteramlah kamu kepadanya. Dan Dia jadikan di
antara kamu cinta dan kasih sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian
adalah tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (ar-Rum: 21)
SITI Khadijah merupakan seorang
wanita yang berasal daripada suku kaum Asadiyah, iaitu satu keturunan Quraisy
yang amat dihormati dan disegani.
Beliau dilahirkan pada tahun 68
sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah, tahun kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan penuh
kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna.
Pendidikan dan tunjuk ajar oleh
ibu bapanya diterima dengan patuh dan taat, sehingga beliau tampil sebagai
seorang wanita budiman dan berakhlak luhur serta tidak pernah bangga atau
sombong dengan taraf kebangsawanannya. Kaumnya memanggil beliau dengan gelaran
Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci.
Sebelum berkahwin dengan
Rasulullah, beliau pernah berkahwin dua kali, tetapi kedua-dua suaminya telah
meninggal dunia. Ketika berkahwin dengan baginda, umur beliau ialah 40 tahun,
manakala umur baginda 25 tahun.
Walaupun berbeza usia 15 tahun,
tetapi rumah tangga mereka penuh dengan kedamaian dan ketenteraman, aman
bahagia dan tidak pernah berselisih faham terhadap sesuatu masalah.
Beliau juga merupakan Ummul
Mukmin pertama yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri,
berbeza dengan isteri-isteri baginda yang lain. Beliau bukan sahaja wanita yang
jelitawan tetapi mempunyai harta kekayaan dan tergolong di antara orang-orang
yang ternama di Mekah.
Beliau sangat pandai mentadbir
perniagaannya sehingga berjaya sampai ke Yaman dan Syam. Beliau pernah
menyerahkan urusan perniagaannya kepada baginda kerana percaya dengan kejujuran
baginda. Sehinggalah sampai suatu ketika beliau jatuh cinta dengan kebaikan dan
kelembutan Rasulullah, lalu menyatakan hasrat untuk mengahwini baginda.
Beliau hidup bersama Rasulullah
selama 24 tahun. Sepanjang menjadi isteri baginda, beliau menjadi suri rumah
tangga dan kekal menjadi satu-satunya isteri baginda sehinggalah beliau
meninggal dunia. Beliau telah melahirkan enam orang anak sedangkan
isteri-isteri baginda yang kemudian tidak seorangpun yang melahirkan anak
sepertinya.
Beliau juga menanggung
berbagai-bagai penderitaan bersama-sama Rasulullah dalam usaha berdakwah dan
menyeru kepada Islam. Ketika dua orang anak lelakinya iaitu Kasim dan Abdullah
meninggal dunia, beliau bersama dengan baginda berdukacita menangisi pemergian
anak-anaknya itu.
Sudah menjadi kebiasaan
Rasulullah untuk pergi ke Gua Hira kerana ingin bertafakur dan bermunajat
kepada Allah seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa
sedikit bekalan yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan
sudah habis, baginda turun semula ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh
pusingan, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta. Demikianlah yang
dilakukan oleh Rasulullah, berulang alik dalam tempoh masa lebih kurang lima
tahun di Gua Hira.
Sungguhpun demikian, Siti
Khadijah tidak pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah. Malah, beliau
berusaha agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada
Allah. Oleh yang demikian, apabila Rasulullah pulang ke rumah, beliau tidak
pernah bersungut apatah lagi bermasam muka. Beliau melayan suaminya dengan
baik, penuh hormat dan kasih sayang.
Begitulah tanggungjawab sebagai
seorang isteri yang taat dan setia kepada suami sehinggalah beliau meninggal
dunia dalam usia 64 tahun dan enam bulan. Semenjak pemergian Siti Khadijah,
Rasulullah sangat sedih dan murung kerana begitu terasa kehilangan seorang
kawan, teman, isteri, pembantu dan pembela ketika baginda menjalankan seruan
Allah.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Sebagai isteri yang solehah,
si isteri hendaklah sentiasa menghormati, setia, taat dan patuh kepada suami
kerana syurga seorang isteri terletak di bawah tapak kaki suami.
PERBENDAHARAAN KATA
tarbiah: pendidikan atau
pengasuhan.
bermunajat: mendekati atau
mendampingi Allah dengan cara berdoa, berzikir dan lain-lain.
tawaf: mengelilingi Kaabah.
INFORMASI
* Nama penuh Siti Khadijah
iaitu Siti Khadijah binti Khuwalid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai, yang
tergolong daripada golongan bangsawan dan ternama di Mekah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4uA9SbpMx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan