ARKIB : 09/02/2007
THAAHAA. Bukanlah Kami turunkan
Quran kepada engkau, supaya engkau menjadi susah, melainkan jadi peringatan
bagi orang yang takut, diturunkan dari yang menciptakan bumi dan langit yang
tinggi. (Dia) Maha Pengasih, berkuasa di atas Arasy. (Thaahaa: 1-5)
UMAR al-Khattab merupakan
seorang lelaki yang sangat berani, panas baran dan bengis. Sebelum memeluk
agama Islam, beliau adalah seorang yang sangat memusuhi Islam. Beliau sering
melakukan penindasan kepada umat Islam di kota Mekah.
Apabila ramai orang Islam
berhijrah ke Madinah, Umar berasa gelisah. Orang Islam meninggalkan kampung
halaman mereka kerana mempertahankan agama baru yang dibawa oleh Rasulullah.
Umar berasa amat marah kepada Rasulullah. Beliau berazam membunuh Rasulullah.
Kalau Muhammad sudah tiada,
pasti orang Islam akan pulang ke Mekah dan kembali menyembah berhala, detik
hati Umar.
Tanpa berlengah lagi, Umar
mencapai pedangnya dan bergegas mencari Rasulullah. Dalam perjalanan ke tempat
Rasulullah, Umar bertemu dengan Nuaim bin Abdullah.
Wahai Umar, tergesa-gesa ni
hendak ke mana? soal Nuaim.
Aku hendak mencari Muhammad.
Dia akan ku bunuh dengan pedangku ini, kata Umar dengan bengis.
Aku rasa, sebelum kau bunuh
Muhammad, lebih baik kau selesaikan masalah keluargamu dahulu, kata Nuaim.
Umar kehairanan. Dia segera
bertanya: Apa maksudmu?
Adikmu, Fatimah dan suaminya,
Said bin Zaid telah masuk Islam, kata Nuaim.
Umar segera menuju ke rumah
adiknya itu. Setibanya di sana, beliau terdengar Fatimah dan suaminya sedang
membaca al-Quran sambil disemak oleh Khabab bin Arats. Fatimah menyedari ada
orang di luar rumahnya. Dia segera menghentikan pembacaannya dan menyembunyikan
kitab suci itu. Khabab pula disembunyikan di suatu sudut.
Umar mendesak Fatimah
menyerahkan kitab yang dibacanya tadi. Fatimah enggan. Tanpa rasa simpati, Umar
memukul Fatimah sehingga luka dan berdarah. Said juga tidak terlepas daripada
pukulan Umar. Apabila melihat tangisan dan titisan darah Fatimah, Umar seakan
tersedar. Hatinya tersentuh dengan ketabahan adiknya itu.
Umar meminta Fatimah membacakan
al-Quran itu sekali lagi. Beliau terpesona dengan ayat-ayat suci al-Quran yang
dialunkan oleh Fatimah. Hati Umar yang keras tiba-tiba berubah sayu. Api
kemarahannya tiba-tiba lenyap.
Lantas Umar meneruskan niatnya
untuk menemui Rasulullah. Beliau hendak memeluk Islam.
Mendengar niat suci Umar,
Khabab pun keluar dari tempat persembunyian lalu berkata:
Wahai Umar, aku mendengar
Rasulullah bersabda, Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan salah seorang lelaki
yang Engkau kasihi, Abdul Hakam bin Hisyam atau Umar bin al-Khattab.
Mendengar kata Khabab itu, Umar
semakin bersemangat. Beliau meneruskan langkah ke rumah al-Arqam bin al-Arqam
di Bukit Safa.
Sampai di sana, para sahabat
menjadi gempar dengan kehadiran Umar. Setelah Umar masuk berjumpa dengan
Rasulullah, beliau pun menyatakan keislamannya. Maka bergemalah laungan takbir
di rumah al-Arqam ketika itu.
Setelah bersalaman, Umar menuju
ke arah kaum Quraisy lalu berkata: Wahai kaum Quraisy, aku ingin menyatakan
bahawa aku telah memeluk Islam. Siapa di antara kamu yang ingin menghalang?
Kaum Quraisy tidak berani
menghalang. Teruskanlah wahai Umar, kami tidak akan membangkang. Begitulah
kisah keberanian Umar yang membawa perubahan besar dalam perkembangan Islam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4sqmls700
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan