ARKIB : 13/10/2006
Ads by Kiosked
Kisah Al-Quran - Siri 11
Mimpi Nabi Yusuf semasa
kanak-kanak
INGATLAH ketika Nabi Yusuf
berkata kepada bapanya: Wahai bapaku, sesungguhnya aku bermimpi melihat 11
bintang dan matahari serta bulan. Aku melihat semua mereka tunduk memberi
hormat kepadaku. (Yusuf: 4)
Nabi Yusuf merupakan putera
kepada Nabi Yaakub dan merupakan anak yang paling disayangi oleh ayahnya. Pada
suatu malam, Yusuf bermimpi melihat kemunculan 11 bintang, matahari dan bulan
yang sedang sujud kepadanya. Apabila bangkit daripada tidurnya, baginda
menceritakan mimpi tersebut kepada ayahnya, Nabi Yaakub.
Wahai ayahku, semalam aku
telah bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sedang sujud kepadaku.
Apakah maksudnya mimpi itu? soal baginda.
Nabi Yaakub hanya tersenyum
gembira apabila mendengar cerita daripada anaknya itu. Nabi Yaakub tahu bahawa
itu merupakan satu berita gembira buat dirinya dan juga Nabi Yusuf.
Sambil membelai-belai rambut
anaknya dengan penuh kasih sayang, Nabi Yaakub pun berkata: Wahai anakku
Yusuf, ini adalah satu berita yang sangat gembira.
Ketahuilah olehmu anakku,
berita itu adalah khabar daripada Allah. Allah menyatakan bahawa dirimu adalah
insan terpilih. Sebelas bintang itu membawa maksud 11 saudaramu, matahari
adalah bapamu dan bulan adalah ibumu. Allah mengurniakanmu keistimewaan
sebagaimana datuk-datukmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak.
Nabi Yaakub seterusnya berkata:
Jangan kamu ceritakan perkara ini kepada saudara-saudaramu yang lain kerana
mereka ini berniat tidak baik kepadamu, melainkan Bunyamin seorang.
Apabila mereka mengetahui
bahawa kamu telah dipilih oleh Allah, maka mereka akan mencuba melakukan
sesuatu yang tidak baik kepadamu. Kamu hanya boleh bercerita kepada Bunyamin.
Nabi Yaakub mempunyai 12 anak
lelaki. Melalui Laiya iaitu kakak kepada Rahil, baginda mendapat enam anak.
Daripada Rahil pula, Nabi Yaakub mendapat dua orang putera. Melalui perkahwinan
dengan pembantu Laiya pula, baginda mendapat dua orang anak lelaki sementara
melalui perkahwinan dengan pembantu Rahil, Nabi Yaakub mendapat dua orang
putera lagi.
Kedua-dua belas putera Nabi
Yaakub itu ialah Rawabil, Syamun, Lawaa, Yahuza, Aisakhor, Zabalun, Yusuf,
Bunyamin, Daan, Naratany, Jaad dan Asyir. Menurut para ulama, daripada
kedua-dua belas putera Nabi Yaakub itu hanya Nabi Yusuf yang dilantik oleh
Allah sebagai rasul-Nya.
Bunyamin merupakan adik seibu
sebapa dengan Nabi Yusuf. Ibu mereka iaitu Rahil telah meninggal dunia ketika
melahirkan Bunyamin. Sebab itulah Nabi Yaakub sangat menyayangi kedua-dua
anaknya itu.
Oleh kerana pada waktu itu
Yusuf dan Bunyamin masih kecil, mereka banyak menghabiskan masa bersama ayah
mereka. Mereka tidak mengikut saudara-saudara yang lain menggembala lembu dan
kambing. Adik-beradik Nabi Yusuf yang lain sangat membenci baginda kerana Nabi
Yusuf menjadi anak kesayangan kepada ayah mereka.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
PENGAJARAN
* Seseorang yang mempunyai
sifat yang mulia dan berbudi pekerti yang baik pastinya akan mendapat
pertolongan dan balasan yang baik daripada Allah s.w.t..
INFORMASI
* Menurut keterangan ahli
sejarah dan para ulama, Nabi Yusuf wafat ketika baginda berusia 100 tahun. Ada
sesetengah pendapat mengatakan usia sebenar Nabi
Yusuf ketika baginda wafat ialah
kira-kira 120 tahun. Wallahualam.
* PERBENDAHARAAN KATA
putera: anak lelaki
bangkit: bangun
khabar: berita
menggembala: menjaga,
memelihara
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4rhGQF5pl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan