Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan pengkaji
sejarah Hang Tuah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengambil sampel
ujian asid deksiribonukleik (DNA) di setiap kubur yang dikenal pasti milik
pahlawan terbabit untuk memperoleh bukti sahih kewujudan pahlawan Melayu itu.
Pengerusi Permodalan Nasional
Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, bukti DNA berkenaan akan
dipadankan dengan waris Hang Tuah yang dipercayai berada di Bintan, Indonesia
dan Singapura ketika ini.
Beliau berkata, bukti berkenaan
penting dalam mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah adalah benar dan bukan hanya
cerita dongeng masyarakat Melayu semata-mata.
“Pengkaji sejarah berminat
meneruskan kajian berkaitan DNA Hang Tuah dengan mengambil sampel tulang di
kubur yang didakwa milik pahlawan itu di Bintan dan Palembang, Indonesia selain
Tanjung Kling, Melaka.
“Bukti berkenaan akan
dilaksanakan oleh pasukan pengkaji sejarah dari UPM dalam masa terdekat ini,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang
Tuah Dalam Sejarah Tamadun Melayu, di sini, semalam.
Perbincangan itu dihadiri
pensyarah institusi pengajian tinggi awam, ahli sejarah, pengkaji sejarah dan
badan bukan kerajaan termasuk Penyelidik dan Karyawan Tamu dari Universiti Malaya
Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi UPM Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin yang
sering membentangkan kajian masing-masing mengenai pahlawan itu.
Sementara itu, ahli akademik
sebulat suara bersetuju Laksamana Hang Tuah wujud sebagai pahlawan dan tokoh
masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Ahmad Sarji berkata, keputusan
itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dalam mencari kesepakatan berkaitan
kewujudan Hang Tuah.
Katanya, walaupun ada
percanggahan merangkumi kewujudan individu bergelar Hang Tuah, sebutan nama dan
ketokohan pahlawan yang wujud pada kurun ke-14 itu, namun tiada perbezaan dalam
sejarah fakta yang sudah ditulis dalam Hikayat Hang Tuah serta manuskrip di
seluruh negara.
“Hang Tuah adalah lambang
masyarakat Melayu dan sudah terpahat dalam hati kita sejak dahulu lagi, malah
sejarah berkaitan pahlawan itu terus diperturunkan zaman ke zaman.
“Kebanyakan fakta sejarah
menceritakan perkara sama mengenai pahlawan itu, cuma ada perbezaan mengenai
perkataan Tuah, Tawha atau Toh, namun ahli akademik lain sepakat mengakui
kewujudan laksamana itu,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:37 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan