ARKIB : 12/05/2007
Kemarau 22 tahun berakhir
Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL
PEMAIN Malaysia meraikan
kejayaan layak ke perlawanan akhir dengan menewaskan India 2-1 pada separuh
akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi. - Gambar
HANAFI KHAMIS.
IPOH Malaysia mengakhiri
kemarau 22 tahun untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan
Azlan Shah dengan mengejutkan India 2-1 pada separuh akhir edisi ke-16 di
Stadium Sultan Azlan Shah di sini, semalam.
Kejayaan itu semakin manis
kerana skuad bimbingan Sarjit Singh ini menebus kekalahan kepada lawan yang
menghampakan Malaysia 2-1 ketika muncul naib juara 1985, juga di Ipoh. Sarjit
turut menganggotai pasukan yang diketuai Foo Keat Seong itu.
Dua gol Malaysia dijaringkan
oleh Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-11 dan Kelvinder Singh, minit ke-40
sementara India merapatkan jurang menerusi Shivendra Singh pada minit ke-13.
Kejayaan ini begitu bermakna
bagi Sarjit apatah lagi baru lima bulan menyandang tugas ketua jurulatih skuad
negara selain memperbaiki pencapaian tempat tercorot kejohanan ini tahun lalu.
Malaysia mempamerkan permainan
menarik sejak awal dengan percubaan Ismail Abu yang hampir menolak umpanan
ketua pasukan, Chua Boon Huat.
Stadium yang penuh sesak dengan
5,000 penyokong Malaysia dengan kemasukan percuma, tiba-tiba gegak gempita
apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menolak masuk hantaran silang Jiwa Mohan
pada minit ke-11.
Namun begitu, lebih 8,000
penyokong Malaysia tergamam apabila Shivendra berjaya merembat kencang hantaran
Sardar Singh pada minit ke-13 untuk membawa India menyamakan kedudukan.
Malaysia menyerang balas, namun
penjaga gol India, Bajlit Singh bertindak pantas menepis pukulan sudut penalti
daripada Jiwa Mohan pada minit ke-20.
Penyerang berbahaya India,
Shivendra berpeluang besar untuk menambah jaringan pada minit ke-21 tetapi
mensia-siakannya ketika pintu gol Malaysia sudah ternganga.
Selepas itu, penyerang
Malaysia, Ismail Abu pula gagal menolak masuk hantaran jauh walaupun hanya
berdepan dengan penjaga gol India.
India, juara Piala Sultan Azlan
1985, 1991 dan 1995 turut memperolehi dua pukulan sudut penalti pada minit
ke-24 dan 32 tetapi masih gagal menyempurnakannya.
Permainan Malaysia semakin
garang apabila menambah gol kedua pada minit ke-40 melalui tolakan cantik
Kelvinder Singh setelah menerima hantaran daripada Boon Huat.
Barisan pertahanan Malaysia
yang diketuai oleh Megat Azrafiq berjaya menyerap serangan bertalu-talu oleh
penyerang India yang cuba mencari gol penyamaan dan memaksa permainan ke masa
tambahan.
Selain itu, penjaga gol
Malaysia, S. Kumar turut mempamerkan permainan yang tangkas dan meyakinkan
dengan menepis beberapa cubaan berbahaya India.
Pemain negara bermain dengan
baik dan mengikut setiap arahan saya. Kami banyak bertahan pada babak pertama
dan hanya bangkit dalam babak kedua.
Taktik pukulan jauh dan kuis
kami banyak mengancam India namun sokongan 5,000 peminat tempatan turut
menaikkan semangat juang pemain dan membantu kejayaan ini, katanya.
Dalam satu lagi perlawanan
separuh akhir, naib juara tahun lalu, Australia membelasah juara Asia, Korea
Selatan 6-2.
Australia yang pernah menjuarai
kejohanan ini pada 1983, 1998, 2004 dan 2005, mendapat gol menerusi Desmont
Abbot pada minit kesembilan, Andrew Smith (22), Liam Deyoung (37 dan 60), Eli
Matheson (51) dan Abbott (69).
Juara Asia itu berjaya
menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh
pemain muda, Jeong Yun Sang pada minit ke-11 dan Lee Sung Min pada minit ke-57.
Jadual hari ini
Penentuan tempat
ketujuh-kelapan: 7.35 pagi - Kanada lwn. China; kelima-keenam: 9.35 pagi -
Pakistan lwn. Argentina
Esok
Penentuan tempat
ketiga-keempat: 3.05 petang - Korea Selatan lwn. India; perlawanan akhir: 5.05
petang - MALAYSIA lwn. Australia
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u3NrwKCQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan