ARKIB : 01/12/2006
Kisah Al-Quran - Siri 18
Cubaan iblis terhadap Nabi Ayub
DAN (ingatlah peristiwa) hamba
kami, Nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa)
kesusahan dan azab seksa (penyakit). (Shaad: 41)
NABI Ayub terkenal dengan
kekuatan imannya. Kekuatan iman Nabi Ayub ini membuatkan iblis cemburu. Iblis
juga berasa sakit hati apabila mendengar para malaikat asyik memuji Nabi Ayub.
Iblis lalu menggoda dan merayu Nabi Ayub supaya meninggalkan suruhan Allah dan
berhenti daripada beribadat. Setelah semua godaan yang dilakukan oleh iblis itu
tidak berjaya. Iblis menemui Allah lalu berkata: Tuhan, Ayub itu sebenarnya
tidak ikhlas sujud kepada-Mu. Dia cuma inginkan nikmat kekayaan dan anak-anak
sebagai pewarisnya sahaja.
Mendengar kata-kata Iblis itu,
maka Allah ingin membuktikan kepada Iblis bahawa Nabi Ayub itu sememangnya
seorang yang beriman, sabar dan tabah dalam menghadapi sebarang dugaan. Allah
pun lalu memberi kebenaran kepada iblis supaya menghasut Nabi Ayub agar lalai
dalam beribadat.
Iblis memusnahkan segala harta
benda Nabi Ayub sehingga menjadikan Nabi Ayub muflis. Iblis juga berjaya
memusnahkan kediaman baginda sehingga roboh dan binasa. Anak-anak Nabi Ayub
yang berada di dalam rumah itu kesemuanya meninggal dunia dalam keadaan yang
sungguh mengerikan.
Setelah berjaya memusnahkan
semuanya, iblis menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya kepada Nabi Ayub: Wahai
Ayub, lihatlah keadaan mu sekarang. Hilang segala harta benda dan anak-anak
yang kau miliki selama ini sedangkan engkau adalah hamba Allah yang kuat
beribadat. Tidak guna engkau kuat beribadat kerana Allah Yang Maha Berkuasa itu
pun tidak mahu menyelamatkanmu.
Wahai iblis, semua yang aku
miliki selama ini, adalah pinjaman daripada Allah sahaja. Kini sudah tiba
masanya Allah mengambilnya semula. Hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas
segala-galanya.
Iblis sungguh marah dan kecewa
apabila usahanya untuk memesongkan akidah Nabi Ayub gagal. Sekali lagi iblis
menemui Allah untuk menyatakan perasaan kecewanya itu.
Untuk kali ketiganya Allah
mengizinkan iblis berbuat apa sahaja terhadap kesihatan Nabi Ayub. Iblis datang
kepada Nabi Ayub dan membawa bersamanya satu penyakit yang tidak ada ubat atau
penawar untuk menyembuhkannya. Nabi Ayub terpaksa menghadapi kesakitan itu
bertahun-tahun lamanya.
Namun segala kesakitan itu
tidak menghalang Nabi Ayub untuk sujud kepada Allah. Melihat ketabahan Nabi
Ayub itu, iblis semakin kecewa kerana segala usahanya selama ini tidak juga
berhasil.
Satu lagi peluang yang masih
ada ialah menghasut isteri Nabi Ayub. Iblis berjaya menghasut isteri Nabi Ayub
supaya meninggalkan baginda seorang diri. Tinggallah Nabi Ayub menanggung
kesakitan itu seorang diri. Pada suatu hari, Nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya
disembuhkan penyakitnya.
Allah lalu mewahyukan kepada
Nabi Ayub supaya menghentakkan kakinya ke tanah supaya keluar air daripada
tanah tersebut. Air yang keluar itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi
agar segala penyakit yang dideritainya sembuh.
Nabi Ayub pun melaksanakan
suruhan Allah itu dan penyakitnya sembuh. Keadaan tubuhnya menjadi seperti
sediakala malah lebih kuat dan bertenaga sebagaimana zaman mudanya dahulu.
Isteri yang meninggalkannya dahulu menyesal dan mengakui kesalahannya.
*Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
INFORMASI
Nabi Ayub diutuskan oleh Allah
ke Rom untuk mengajarkan agama tauhid. Baginda dikatakan wafat ketika berusia
93 tahun dan dimakamkan di sebuah tempat yang terletak di Itali.
PENGAJARAN
* Allah akan memberi ganjaran
pahala yang cukup besar kepada hamba-hamba yang taat kepada suruhan-Nya.
* Sabar itu adalah separuh
daripada iman.
* Segala ujian dan dugaan
daripada Allah s.w.t. itu hendaklah kita hadapi dengan tabah.
* Ingatlah bahawa tempoh waktu
kita sakit yang diberi oleh Allah lebih pendek berbanding tempoh waktu kita
sihat yang sangat panjang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4sEdomeOE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan