ARKIB : 10/12/2006
KOO Kien Keat (belakang) dan
Tan Boon Heong tenang berdepan beregu berpengalaman Indonesia, Luluk
Hadiyanto-Alvent Yulianto dalam laluan memberikan pingat emas badminton pertama
Malaysia pada Sukan Asia selepas 36 tahun di Doha malam tadi.
DOHA Malaysia menamatkan
penantian 36 tahun dengan merangkul pingat emas badminton pertama di Sukan Asia
selepas gandingan muda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menumpaskan beregu
Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto dalam perlawanan akhir di Aspire
Hall, Sport City, malam tadi.
Kien Keat-Boon Heong, pasangan
bukan pilihan yang digandingkan pada saat akhir untuk menggantikan Chan Chong
Ming hanya memerlukan 27 minit untuk menang 21-13, 21-14.
Kali terakhir Malaysia
merangkul emas badminton Sukan Asia adalah pada Temasya Bangkok 1970 apabila
meraih tiga emas menerusi Punch Gunalan (perseorangan lelaki), Punch Gunalan-Ng
Boon Bee (beregu lelaki) dan Ng Boon Bee-Sylvia Ng (beregu campuran).
Ini merupakan kejayaan terbesar
buat Boon Heong, 19, dan Kien Keat, 21, yang sebelum ini mengejutkan juara
dunia dan beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari Chian di suku
akhir.
Kemenangan itu menyaksikan
kontinjen negara menambah pungutan emas kepada empat, enam perak dan lima
gangsa setakat ini, sekaligus menduduki tangga ke-11 pungutan pingat
keseluruhan.
Kontinjen badminton turut
menyumbangkan tiga gangsa menerusi perseorangan lelaki, Lee Chong Wei, beregu
campuran, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty dan berpasukan lelaki.
Sejurus menamatkan perlawanan
penuh bersejarah itu, pasukan badminton Malaysia meraikan kejayaan mereka
dengan mendendangkan lagu Gadis Melayu nyanyian Jamal Abdillah.
Sementara itu skuad sepak
takraw turut menceriakan kem Malaysia apabila menempah pertemuan dengan
Indonesia pada separuh akhir antara regu selepas muncul juara Kumpulan B.
Regu negara yang menurunkan
Sulaiman Salleh, Mohd. Futra Abd. Ghani dan Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif
mudah menjinakkan Iran 21-7, 21-14. Terdahulu pasukan negara menewaskan India
21-7, 21-7.
Sementara itu harapan untuk melihat
tambahan pingat daripada acara bina badan tidak tercapai selepas Liaw Teck
Leong sekadar menduduki tangga keempat kategori 80 kilogram.
Pingat emas dalam acara
tersebut dimenangi peserta Thailand, Sitthi Charoenrith, perak milik Mohamed
Sabah Naser Hasan, manakala Lee Do Hee dari Korea Selatan meraih gangsa.
Bersaing
Skuad berbasikal mencatat
keputusan mengecewakan pada hari pertama acara trek semalam apabila gagal
menempatkan diri dalam empat teratas untuk bersaing dalam acara akhir hari ini.
Mustafa Amir Rusli menduduki
tempat ke-15 dengan masa 4:48.484 saat, manakala Thum Weng sekadar di tangga
tercorot dengan catatan 5:26.065s.
Harapan untuk melihat kilauan
pingat dalam perlumbaan 1km ujian masa lelaki juga lebur apabila Mohamad Hafiz
Mohamed Sufian yang dipertaruhkan menduduki tempat kelima dengan 1:06.667s.
Sementara itu boling masih
boleh diharapkan untuk menyumbangkan pingat emas buat negara selepas Esther
Cheah menamatkan blok pertama acara Masters Wanita di tangga kedua, manakala
Shalin Zulkifli di tempat kesembilan.
Esther yang sudahpun
menyumbangkan dua pingat emas dan dua perak menamatkan saingan dengan 1,776
jatuhan pin, di belakang peserta Korea Selatan, Choi Jin A dengan 1,814. Shalin
pula mengumpul 1,717 pin.
Alex Liew bagaimanapun sekadar
menduduki tangga kelapan Masters Lelaki dengan 1,748 pin dan Aaron Kong di
tempat tercorot dengan 1,573 jatuhan pin.
Di lapangan olahraga, atlet
remaja negara, Lee Hup Wei menduduki tempat kesembilan lompat tinggi lelaki selepas
gagal melepasi ketinggian 2.15 meter dalam percubaan ketiga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sF7kWION
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan