ARKIB : 13/04/2007
Kisah Al-Quran (Siri 36)
MEREKA berkata: Wahai ayah
kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat
barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala dan kamu sekali-kali tidak akan
percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar. (Yusuf: 17)
NABI Yusuf mempunyai kelebihan
yang tersendiri berbanding saudara-saudaranya yang lain. Bapa Nabi Yusuf ialah
Nabi Yaakub. Nabi Yusuf pernah bermimpi melihat 11 biji bintang, matahari dan
bulan. Kesemuanya tunduk kepada Nabi Yusuf. Lalu baginda menceritakan hal ini
kepada bapanya. Nabi Yaakub sahaja yang mengetahui tafsiran mimpi anaknya itu.
Walau bagaimanapun,
saudara-saudaranya yang lain tidak senang hati melihat kelebihan yang ada pada
Nabi Yusuf. Mereka cemburu melihat Nabi Yusuf lebih kacak dan elok wajahnya.
Nabi Yusuf juga mempunyai akhlak yang baik dan daya pemikirannya amat tinggi.
Mereka berasa cemburu. Apatah lagi apabila bapa mereka lebih menyayangi Nabi
Yusuf.
Ini menyebabkan saudara mereka
mahu menghapuskan sahaja Nabi Yusuf. Mereka merancang untuk membunuh Nabi
Yusuf. Namun, rancangan rancangan ini dihalang oleh Yahuza. Yahuza memberi
cadangan agar mereka meninggalkan sahaja Nabi Yusuf di telaga Jub yang letaknya
jauh dari rumah mereka. Cadangan Yahuza diterima.
Pada hari yang ditetapkan,
mereka meminta izin daripada Nabi Yaakub untuk membawa Nabi Yusuf pergi bersama
mereka menggembala kambing.
Sebenarnya Nabi Yaakub berat
hati hendak membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf. Setelah dipujuk oleh
anak-anak itu, akhirnya Nabi Yaakub membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf.
Mereka pun pergilah menggembala
kambing dengan membawa Nabi Yusuf. Apabila tiba di telaga Jub, mereka membuka
pakaian Nabi Yusuf dan menolaknya ke dalam telaga.
Apakah salahku sehingga kamu
semua sanggup menganiaya aku seperti ini? tanya Nabi Yusuf sayu.
Mereka agak berasa berat hati
untuk meninggalkan Nabi Yusuf. Bagaimanapun perasaan cemburu dan tidak senang
hati terhadap Nabi Yusuf menyebabkan mereka tidak mempedulikan rayuannya. Nabi
Yusuf ditinggalkan keseorangan di situ.
Aku bimbang ayah akan tahu
perbuatan kita ini, kata salah seorang daripada mereka.
Itu perkara mudah. Kita
beritahu ayah bahawa ketika Yusuf bermain sendirian, tiba-tiba seekor serigala
menerkam ke arahnya. Kita cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya, kata
yang lain pula.
Masing-masing bersetuju dengan
cadangan itu. Lalu mereka pun berjalan untuk memburu seekor serigala sebagai
bukti. Mereka mahu menjadikan seekor kambing sebagai umpan. Apabila ternampak
seekor serigala, mereka bersembunyi dan membiarkan kambing tersebut dimakan
oleh serigala itu.
Ketika serigala sedang makan
kambing tersebut dengan lahapnya, maka mereka menangkap dan membunuhnya.
Kemudian mereka mengambil baju Nabi Yusuf dan melumur baju itu dengan darah
kambing yang telah dimakan serigala itu.
Selepas itu, mereka pulang
dengan membawa baju Yusuf yang berlumuran darah itu. Apabila tiba di rumah,
mereka berpura-pura sedih.
Wahai ayahku, ketika kami
menggembala, Yusuf bermain jauh daripada kami. Tanpa kami sedari, seekor
serigala menerkam ke arahnya. Kami tidak berjaya untuk membantunya. Baju ini
adalah buktinya, kata saudaranya yang paling tua.
Aku tahu, ini adalah
disebabkan rasa tidak puas hati kamu semua terhadap dia. Aku hanya mampu berdoa
dan bersabar, kata Nabi Yaakub dengan perasaan sedih.
Mereka terdiam. Hanya
penyesalan menyelubungi diri mereka apabila melihat kesedihan bapa mereka.
Mereka berdoa agar Nabi Yusuf diambil oleh sesiapa yang melalui kawasan itu.
*INFORMASI
Ketika Nabi Yusuf dibuang ke
dalam perigi, baginda dijumpai oleh beberapa orang pedagang Madyan lalu dijual
kepada seorang pembesar Mesir.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.
Tel: 03-6137 9220 atau
e-mel: edusb@streamyx. com.
PERBENDAHARAAN KATA
*tafsiran: keterangan dan
penjelasan
*menganiaya: perbuatan yang
menyakiti atau menyeksa menzalimi
*menyelubungi: menutupi atau
membaluti, timbul pada
Pengajaran
*Sesungguhnya sifat hasad
dengki perlu dijauhi oleh kita.
*Seseorang itu tidak boleh
menganiaya orang lain.
*Sesiapa yang berada di pihak
yang benar, pasti Allah akan menolongnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4tWMvHPWb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan