Syafaat Rasulullah selamat umat
Kongsi artikel
SYAFAAT bererti memohon
pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat
kesukaran seperti di Padang Mahsyar.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim
daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada
dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya
mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan
itu? Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh
menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan
daripada Nabi Adam.
Menurut Rasulullah, kelompok
manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam
kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Kelompok ulama ini akan
bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon
kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu.
Nabi Adam tidak berani berbuat
demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan
kemurkaan Allah SWT. Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi
Noh.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani
menerusi slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya
Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh
selama kira-kira seribu tahun.
Selepas bertemu Nabi Noh,
Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada
ajaran yang dibawanya. Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim.
Pencarian manusia di Padang
Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda
tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.
Seribu tahun kemudian mereka
bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta
kelompok manusia itu mencari Nabi Isa.
Selepas seribu tahun dan
bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan
kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad
SAW.
Rupa manusia berbeza-beza
Sepanjang pencarian itu,
kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu
Rasulullah SAW, mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di
Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada
padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di
sisi-Nya."
Baginda mula sujud, lalu Allah
SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW
berbuat demikian. Malaikat menjawab: "Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu
mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan
merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini."
Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga
melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.
Menurut Rasulullah SAW, mereka
yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa
hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang
mensyirikkan Allah SWT.
Abu Hurairah bertanya kepada
Rasulullah: "Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat
daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai
Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku
soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila
illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan
berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT."
Qadi bin Iyat berkata, lima
syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat
kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih
dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada
memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa
daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga.
Penulis ialah Penerbit
Rancangan Kanan IKIMfm
Sumber-Berita Harian online Jumaat,
12 Ogos 2016 | 6:39am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan