ARKIB : 22/01/2007
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
WAN Mohd. Shaghir Abdullah
(kiri) berceramah tentang Haji Abdur Rahman Limbong dalam satu majlis di
Terengganu, baru-baru ini.
TERLALU banyak permintaan
melalui e-mel dan telefon supaya memperkenalkan ulama yang berjuang untuk
memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah. Seiringan dengan itu pula
mereka minta pengertian makna jihad menurut yang ditakrif oleh para ulama yang
muktabar terutama ulama dunia Melayu.
Ini kerana, menurut mereka,
setelah pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat (AS) pada 11
September 2001, terjadi simpang siur pentafsiran makna jihad. Simpang siur
pentafsiran tersebut disebabkan ada golongan yang terlalu takut tekanan dan
ancaman pihak imperialisme AS dan Barat dan sebaliknya ada golongan
mujahid-mujahid Islam yang radikal, sangat berani dan anti terhadap AS dan
Barat.
Apa yang saya rakamkan dalam
tulisan ini bukan mendabik dada supaya diakui sebagai seorang pejuang. Namun,
saya hanya mengikut rentak dan peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya ada
tiga isu terkini yang dijadikan iktibar perbandingan.
Yang pertama ialah laungan
memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50. Yang kedua,
peristiwa Saddam Husein, bekas Presiden Iraq dihukum gantung sampai mati oleh
orang-orang Islam sendiri kerana terlalu patuh kepada penjajah bentuk baru AS
yang menjajah Iraq, Afghanistan, dan lain-lain.
Yang ketiga, kejayaan
musuh-musuh Islam mengadu domba antara golongan Syiah dan Sunah.
Semua isu yang tersebut dapat
dijadikan perbandingan dengan perjuangan ulama dunia Melayu. Bahawa mereka
berjuang untuk kemerdekaan membebaskan bangsa Melayu dari segala bentuk dan
corak penjajahan masa lampau, sekarang dan masa-masa akan datang. Saya mulai
dengan Haji Abdur Rahman Limbong seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu.
Izinkan saya untuk turut aktif
menyambut laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50
dengan memaparkan beberapa ulama yang perjuangan mereka tidak pernah takut
menggunakan istilah jihad. Di antara mereka ramai yang ditangkap dan diseksa.
Yang digantung ialah Tok Janggut Kelantan, persis seperti Saddam Husein
digantung baru-baru ini.
Ulama pejuang dalam artikel ini
nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji
Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk
neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.
Haji Abdur Rahman Limbong juga
seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah.
Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga
bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.
Ini dapat dibuktikan dengan
berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman
oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi
yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman
Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih
membilang-bilang buah tasbih.
Di mahkamah, lisannya fasih
berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan
rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga
pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya
kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.
Haji Abdur Rahman Limbong
mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling
utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah
seorang ayah saudaranya.
Ketika pulang ke Terengganu
beliau mendapat pendidikan dari Haji Yaqub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu
tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman
Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama
Terengganu yang terkenal.
Tok Ku Paloh juga adalah
seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam
dan Bangsa Melayu (18 September 2006).
Setelah menguasai ilmu yang
padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu
Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa
disiplin ilmu.
Antaranya ialah al-Ajrumiyah
hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya
dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih
memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak
diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang
pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu
tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa
Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur
Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke
beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana
di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya.
Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan,
kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut
yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di
negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman
Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri
tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini
ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji
Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau
berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli
pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang
berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Di antara tempat-tempat yang
ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau
yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan
Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan
Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang
negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal
digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah
dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.
Nama Haji Abdur Rahman Limbong
saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad
al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat,
Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.
Semuanya dibawa dari Terengganu
dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di
Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun
1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun
tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu
dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal
hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal
dari Terengganu.
Imam yang pertama masjid yang
tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan
di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan
Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya
Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk
Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.
*PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang
sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang
menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia
selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau
pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila
keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa
atau pun pejuang agama.
Dunia Melayu tidak terlepas
dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu
melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam
Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi
gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang
Inggeris.
Sungguhpun ramai orang Melayu
Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak
kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah
Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di
dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.
Oleh itu, dalam zaman kita yang
telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan
beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia.
Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila
kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.
Bagaimanapun sewaktu Inggeris
masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson
dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji
Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada
pemerintahan yang sah.
Akhirnya Haji Abdur Rahman
Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah
dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan
bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul
pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak
penjajah Inggeris.
Dalam tahun 1920-an, Inggeris
campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu
Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh
penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas
dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri
Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah
satu bangsa pendatang.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur
Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh
rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu
adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong
menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan
orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal
Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat
kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920
lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri,
kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa
sendiri.
Oleh itu, bangsa penjajah
Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita
patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman
Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam
yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan
dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4spBcAgtW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan