ARKIB : 08/06/2007
Kisah Al-Quran (SIRI 44)
WAHAI orang-orang yang beriman,
janganlah kamu makan harta-harta di antara kamu dengan jalan yang salah (haram)
kecuali dengan (jalan) urusniaga yang kamu reda sesama kamu.
Dan janganlah kamu berbunuhan,
sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. (al-Nisa: 29)
RASULULLAH s.a.w. terkenal di
kalangan kaum Quraisy sebagai seorang kanak-kanak yang berbudi pekerti mulia.
Baginda tidak pernah bercakap bohong dan sangat menghormati orang tua. Baginda
sentiasa bersikap ringan tulang dan tidak suka menyusahkan orang lain.
Rasulullah sedar Abu Talib
iaitu bapa saudaranya bukan daripada kalangan orang kaya. Abu Talib hidup
secara sederhana sahaja. Oleh sebab itu, Rasulullah sentiasa bekerja keras bagi
meringankan beban pakciknya itu.
Setiap hari, Rasulullah akan
menolong Abu Talib menggembala kambing-kambingnya. Baginda juga mengambil upah
menggembala kambing-kambing milik beberapa penduduk Mekah. Rasulullah tidak
pernah menyakiti binatang-binatang ternakannya. Baginda juga tidak pernah
membiarkan kambing-kambingnya itu kelaparan.
Pemilik kambing-kambing yang
dijaga oleh Rasulullah sangat berpuas hati dengan cara Rasulullah menggembala
kambing mereka.
Mereka selalu memuji sifat
amanah Rasulullah. Mereka memuji-muji Rasulullah di hadapan Abu Talib.
Muhammad itu memang seorang
budak yang bagus. Tepat sekali gelaran al-Amin yang kita berikan kepadanya. Dia
menjaga kambing-kambing yang digembalanya dengan baik. Bagaikan kambing-kambing
itu miliknya sendiri, kata seorang lelaki Quraisy kepada Abu Talib.
Betul tu! Bertuah sungguh
saudara mempunyai anak saudara seperti itu, sampuk seorang lelaki yang lain.
Abu Talib sangat gembira
mendengar pujian itu. Beliau berbangga mempunyai anak saudara seperti
Rasulullah. Rasulullah berkawan dengan semua orang, namun Baginda tidak pernah
terikut-ikut dengan kelakuan mereka. Kebanyakan kanak-kanak Quraisy pada masa
itu berkelakuan kasar dan nakal.
Pada suatu hari, Abu Talib
bercadang akan pergi berniaga di Syam bersama-sama dengan kafilah Quraisy.
Beliau bercadang membawa Rasulullah bersama dan memberitahu isterinya.
Bagus cadangan kanda itu.
Muhammad seorang budak yang amanah dan berbudi bahasa. Tentu ramai pelanggan
akan tertarik dengan dagangan kita nanti, kata isteri Abu Talib.
Abu Talib pun membawa Rasulullah
bersama-samanya pergi berniaga di Syam. Jarak antara Syam dengan Mekah sangat
jauh dan mengambil masa yang lama. Mereka pergi dengan menunggang unta.
Kadang-kadang mereka terpaksa berjalan kaki untuk memberi peluang kepada unta
masing-masing berehat. Apabila penat, mereka akan berhenti rehat. Pada waktu
malam, mereka tidur di dalam khemah dan meneruskan perjalanan keesokkan
harinya. Pagi-pagi lagi mereka sudah bertolak.
Perjalanan sukar yang ditempuhi
menyebabkan ramai yang mengeluh kerana penat. Namun Rasulullah tidak pernah
mengeluh. Baginda menempuh dugaan dengan penuh sabar dan tenang. Ahli rombongan
yang lain berasa hairan dengan sikap Muhammad.
Baginda sentiasa menolong ahli
rombongan yang lain apabila tidak berbuat apa-apa. Mereka memuji-muji Rasulullah
di depan Abu Talib. Abu Talib semakin sayang kepada Rasulullah.
Akhirnya, mereka pun sampai di
Syam. Mereka berhenti di kota Basrah. Kota itu sentiasa sibuk dengan kegiatan
perdagangan. Abu Talib mengajar Rasulullah cara-cara untuk melayan pelanggan.
Sebagai kanak-kanak yang pintar, Rasulullah cepat belajar daripada Abu Talib.
Rasulullah pun mula berniaga.
Abu Talib melihat ketokohan ahli perniagaan di dalam diri Rasulullah. Baginda
melayani pelanggan dengan baik dan lemah-lembut. Baginda sentiasa tersenyum dan
sabar menghadapi pelanggan yang cerewet. Barang-barang yang dijual oleh
Rasulullah sangat laris. Sekejap sahaja barang-barang itu habis dijual.
Abu Talib memuji-muji
kebijaksanaan Rasulullah. Dia mendapat banyak keuntungan pada hari itu. Rasulullah
sungguh pandai menyesuaikan diri walau dalam apa juga situasi sekalipun. Abu
Talib makin sayang pada Baginda.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
- Sikap tolong-menolong adalah
suatu amalan yang mulia.
- Orang yang amanah, akan
dipercayai dan disenangi orang ramai.
- Perniagaan yang jujur dan
berperancangan amat digalakkan dalam Islam.
INFORMASI
Setelah kematian ayahandanya
Abdullah dan bondanya Siti Aminah, Rasulullah dipelihara oleh datuknya, Abdul
Mutalib. Abdul Mutalib amat menyayangi cucunya. Apabila Abdul Mutalib meninggal
dunia, Rasulullah dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Talib. Abu Talib
ialah ayah kepada Saidina Ali.
PERBENDAHARAAN KATA
- ringan tulang: rajin membuat
kerja dan suka menolong orang.
- kafilah: rombongan
pedagang-pedagang Arab
- cerewet: banyak kerenah;
banyak soal dan rungutan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4u8gLn8EZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan