A.
Pengenalan.
- Sebelum kedatangan
Belanda masyarakat di Indonesia boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu
golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri dari
raja/sultan, anak-anak raja, bangsawan, pembesar, priyayi dan pemimpin agama.
- Manakala golongan
diperintah ialah rakyat biasa kebanyakannya adalah petani serta hamba merupakan
lapisan yang paling bawah. Setiap golongan ini mempunyai peranan dan tanggung
jawabnya yang tersendiri.
B.
Isi-isi.
Golongan
Pemerintah.
1.
Raja/Sultan.
- Raja/Sultan berada
pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial
masyarakat Indonesia. Contohnya di Acheh dan Pulau Jawa. Sultan Acheh
merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung masyarakatnya.
- Sultan juga berkuasa
mutlak dalam pemerintahan di wilayah jajahan takluknya. Baginda juga dianggap
istimewa mempunyai sifat luar biasa dan berdaulat. Sultan dianggap Khalifah
Allah dan pemimpin bagi umat Islam.
2.
Kerabat Diraja.
- Kerabat diraja
membantu raja/sultan dalam pentadbiran di peringkat pusat dan mendiami kawasan
ibu kota. Selain menjalankan tugas pentadbiran, mereka juga melaksanakan
upacara keagamaan dan ritual di wilayah atau kerajaan mereka. Golongan
pemerintah ini menguasai tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga raja dan
kerabat diraja yang memerintah negeri yang terdiri daripada beberapa kumpulan
etnik, contohnya Jawa, Sumatera dan Kalimantan.
- Golongan ini dapat
mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja,
kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat
disebabkan pengaruh agama dan tradisi. Golongan keturunan diraja dibahagi
mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij
tersendiri dalam masyarakat.
3.
Pembesar/Uleebalang/Priyayi.
- Lapisan seterusnya
diikuti oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada kerabat diraja dan bukan
kerabat diraja. Di Jawa, golongan priyayi atau bangsawan menjadi penghubung
antara sultan dan rakyat. Hubungan antara keduanya amat rapat.
- Mereka juga merupakan
pemimpin kerohanian atau agama dalam masyarakat Jawa. Priyayi kebiasaannya
mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat diraja. Golongan ini
juga berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua tempatan (bupati). Sementara
di Acheh, kerabat diraja merupakan keturunan bekas sultan yang pernah
memerintah Acheh.
- Pembesar atau
Uleebalang juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di
Indonesia terutamanya di Acheh. Mereka menggunakan gelaran Teuku dan merupakan
tulang belakang pemerintahan dan pertahanan.
4.
Ulama
- Di Acheh, ulama
menjadi penasihat agama Islam kepada sultan. Mempunyai kedudukan tertinggi dan
dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta sering menjadi rujukan
masyarakat. Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya dalam
masyarakat.
Golongan
Diperintah.
1.
Rakyat.
- Rakyat terdiri dari
pelbagai lapisan masyarakat. Mereka menjalankan aktiviti pertanian dan
perikanan contohnya menjadi petani, nelayan, pelaut dan pedagang. Golongan rakyat
khususnya petani tidak memiliki tanah tetapi menyewa tanah daripada golongan
bangsawan.
- Mereka bercucuk tanam
sebagai aktiviti harian seperti menanam padi. Rakyat memberi khidmat dengan
mengerjakan tanah milik bangsawan, melaksanakan tugas yang diberikan dan
menjadi askar dalam peperangan apabila raja/tuan tanah terlibat dalam
peperangan.
- Rakyat yang
kebanyakan petani membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah.
Petani merupakan majoriti dalam masyarakat menjadi tunjang kegiatan ekonomi di
Indonesia yang merupakan sebuah negara agraria.
2.
Hamba.
Hamba menduduki lapisan
paling bawah. Kehidupan mereka bergantung kepada tuan tanah. Golongan ini
biasanya dibebani dengan hutang- piutang.
C.
Kesimpulan.
- Masyarakat peribumi
di Indonesia terpengaruh dengan unsur agama dan kepercayaan. Keadaan tersebut
menyebabkan mereka terlalu mentaati raja mereka. Selepas penjajahan Belanda,
susun lapis masyarakat di Indonesia mulai berubah.
- Kedudukan dan kuasa
tradisi golongan bupati mulai merosot kerana mereka digantikan oleh pegawai
Eropah atau golongan yang berpendidikan barat. Golongan priyayi dan pembesar
tempatan dibayar gaji. Sultan juga kehilangan kuasa memerintah.
SUMBER-
JPN
PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan