ARKIB : 03/11/2006
Sesungguhnya Firaun telah
berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah
belah dengan menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka.
Sesungguhnya Firaun termasuk
dalam orang-orang yang melakukan kerosakan (Al-Qashash: 4)
NEGERI Mesir diperintah oleh
seorang raja yang bengis dan zalim di mana orang-orang Mesir menyembahnya. Raja
itu dikenali sebagai Firaun. Di tengah-tengah pemerintahannya itulah, Firaun
bermimpi melihat api yang sangat besar yang datang dari Baitul Maqdis. Api
besar itu melanda ke negeri Mesir dan membakar rumah-rumah rakyat Mesir. Firaun
berasa takut dengan mimpi itu dan bertanya kepada tukang-tukang tiliknya akan
maksud mimpinya itu.
Hai tukang tilik-tukang
tilikku, apa maksud akan mimpiku itu? tanya Firaun.
Maksud mimpi tuanku itu ialah
bahawa akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israel yang tinggal di
Mesir ini. Anak lelaki itu akan mengalahkan tuanku dan tidak akan mengaku
tuanku sebagai tuhan dan rajanya. Anak lelaki itu juga akan menghancurkan
negeri Mesir dengan kekuasaannya, terang tukang tilik tersebut.
Dengan itu, Firaun
memerintahkan agar kaum Bani Israel tidak melahirkan anak lelaki. Sesiapa yang
melahirkan anak lelaki, maka anak itu akan dibunuh.
Kebetulan, tahun kelahiran Nabi
Musa sama dengan tahun ketika Firaun memerintahkan semua anak lelaki dibunuh.
Alangkah sedihnya hati ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan hampir
melahirkan kandungannya pada waktu itu, ibunya menjadi bimbang dan takut.
Beliau berusaha menyembunyikan kandungannya dan bersikap biasa, seolah-olah
tidak mengandung kerana dia sayang akan kandungannya itu.
Maka lahirlah Nabi Musa dengan
bantuan seorang bidang yang baik hatinya dan dia berjanji untuk menutup berita
kelahiran Nabi Musa daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.
Bagaimanapun, berita kelahiran Nabi Musa telah diketahui juga oleh Firaun dan
tentera-tenteranya.
Rumah mereka digeledah oleh
tentera-tentera Firaun. Mujurlah Maryam, saudara Nabi Musa memberitahu ibunya
tentang rahsia bocor itu. Dengan segera ibunya mengambil Nabi Musa dan
menyembunyikannya di dapur. Tentera-tentera Firaun tidak berjaya menemuinya.
Maka selamatlah Musa daripada tentera Firaun ketika itu.
Ibunya semakin risau dan takut.
Dalam ketakutan itu Allah s.w.t. telah memberi ilham kepada ibunya agar
menyusukan Nabi Musa terlebih dahulu sehingga kenyang, lalu kemudiannya
menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil.
Hatinya menjadi sedikit tenang
menerima ilham itu. Ibu Nabi Musa bersama saudaranya Maryam lalu memasukkan
Nabi Musa ke dalam sebuah peti dan menghanyutkannya ke Sungai Nil.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
PENGAJARAN
* Sesiapa yang banyak bersabar
pasti akan menemui kebaikan untuk dirinya.
* Sesungguhnya Allah akan
melindungi orang yang tabah menghadapi ujian
daripada-Nya.
PERBENDAHARAAN KATA
* tilik: tenung
* menyembunyikan: melindungkan
* geledah: selongkar
* ilham: petunjuk daripada
Tuhan
INFORMASI
Sungai Nil merupakan sungai
yang terpanjang di dunia iaitu 6,990 kilometer. Nama Nil diambil daripada
bahasa Mesir Kuno nyu yang bermaksud air.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4sB0AfKwP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan