ARKIB : 06/03/2007
CERIA... Nor Azian A. Hasan
bersama logo Hari Kemerdekaan ciptaannya serta sijil penghargaan selepas
diumumkan sebagai pemenang pada majlis pelancaran logo dan slogan sempena
sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia di Putrajaya, semalam. Gambar SAIFUL
BAHARI ASHARI.
PUTRAJAYA 5 Mac Seorang
pereka grafik, Nor Azian A. Hasan tidak menyangka logo ciptaannya yang
disiapkan dalam tempoh 20 minit berjaya memenangi tempat pertama Pertandingan
Mencipta Logo Perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50.
Kemenangan itu membolehkan Nor
Azian, 36, yang berasal dari Negeri Sembilan, membawa pulang wang tunai
RM10,000.
Walaupun tidak semahal harga
sebuah rumah yang pernah dimenangi dalam satu pertandingan lain, ia tetap
menggembirakan saya kerana dapat memberikan sumbangan sempena ulang tahun
kemerdekaan negara, katanya.
Nor Azian berkata demikian
kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran logo dan slogan perayaan
sambutan Kemerdekaan Ke-50 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk
Seri Dr. Rais Yatim di sini hari ini.
Menurut Nor Azian yang
berkelulusan bidang grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), logo tersebut
menampilkan reka bentuk berombak seperti kibaran bendera.
Ia bertujuan mewujudkan
suasana hidup dan pergerakan memandang negara ini sudah mencapai usia 50 tahun,
jelasnya.
Nor Azian sudah 10 tahun
berkecimpung dalam bidang pengiklanan, rekaan korporat, penerbitan dan
multimedia serta mempunyai syarikat grafik sendiri di Setiawangsa, Kuala
Lumpur.
Sementara itu, Rais pada sidang
akhbar selepas majlis berkenaan berkata, kementeriannya akan mewujudkan
Sekretariat Media bagi memastikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 dan
mesej-mesej kemerdekaan diberi liputan lebih menyeluruh.
Bagi tujuan itu, katanya,
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan membantu sekretariat tersebut supaya
setiap stesen televisyen, radio, akhbar dan majalah memainkan peranan secara
maksimum.
Sekretariat ini akan membantu
Kementerian Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), akhbar-akhbar dan
majalah menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan kepada seluruh masyarakat.
Pada tahun lalu terdapat
media yang tidak memainkan peranan membantu mempromosikan sambutan kemerdekaan
dan kita harap tahun ini liputannya lebih besar lagi, katanya.
Slogan Malaysiaku Gemilang
dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini bagi menggantikan Keranamu
Malaysia yang sudah digunakan selama tujuh tahun.
Pemilihan itu dibuat berasaskan
ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Malaysia
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Persiapan
Rais berkata, bagi memastikan
persiapan sambutan kemerdekaan yang berkonsep mencetuskan minda baru kepada
masyarakat berjalan lancar, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pandu
Perayaan (JPP) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Bagi tahun ini, JPP bersetuju
agar konsep berasaskan bersyukur dengan kejayaan hasil perjuangan bersama dalam
pelbagai bidang dan pengertian diketengahkan, katanya.
Menurutnya, lima tonggak
sambutan kemerdekaan tahun ini ialah pelancaran sambutan ulang tahun merdeka
dan kempen Jalur Gemilang pada 17 Ogos di Melaka; program keagamaan pada 24
Ogos di seluruh negara dan sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Stadium
Merdeka.
Turut diadakan ialah perbarisan
merdeka pada 31 Ogos di Dataran Merdeka dan penutup perayaan pada 16 September
di Kuching, Sarawak.
Rais menambah, para waris tokoh
sejarah negara seperti Sir Henry Gurney, Sir Jeneral Gerald Templer dan J.M
Garlic akan dijemput bagi menghargai sumbangan mereka dalam membantu
kemerdekaan negara.
sumberArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4tMdJvbee
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan