ARKIB : 02/10/2006
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM sekian banyak e-mel yang
saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara
yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang
Tok Kenali tidak muncul?.
Pada prinsipnya kisah semua
ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum
sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam
pemerosesan.
Tok Kenali ialah satu nama yang
paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di
Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang
riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir
perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah
(Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat
bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak
demikian.
Bagi saya, pendapat seperti
demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok
Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh
itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang
tidak diketahui oleh Tok Kenali.
Di sini saya sentuh sedikit
saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu
sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan
perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa
itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.
Walau bagaimanapun, supaya
suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri,
kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri
lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih
mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis
jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam
disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah Wali Allah dan karamah
(istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama
Islam juga banyak menceritakan tentang karamah para Wali Allah. Tulisan saya
dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang karamah sengaja
tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan
fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah
yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan
berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak
tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah
Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat
Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah
berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat
dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun
1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut
nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad
al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah Awang itu. Riwayatnya, sewaktu
Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk
menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut)
dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut
serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina,
kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar Kalam Allah, Syeikh Ahmad
al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali
ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta
menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad
al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai awan
tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat awan itulah
yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan awan
itulah kemudian bertukar menjadi Awang. Cerita yang sama juga saya dengar
daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun
1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk
kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau
mengekalkan tulisan dengan istilah Awan Kenali saja tanpa menyebut nama
lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar
cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa
yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau
tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak
siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun
malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya
hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang
lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula
membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk
dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar
pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika
itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu
bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang Wali Allah.
Walau bagaimanapun, tidak
seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada
murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani
telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak
dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu
sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan
peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah
Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar
lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga
kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak
akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali
seseorang itu memiliki pandangan kasyaf ataupun telah memperoleh ilmu
ladunni.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani
melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti
orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan
menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba
Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu
terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk
bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang
dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok
Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan
Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai khadam kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu,
kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata
untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang
sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok
Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok
Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali
yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok
Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid
itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang
diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan
berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi.
Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada
kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk
Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita
ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani,
Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji
Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di
Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun
1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum
Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri
Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora,
orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari
Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri
Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang
menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat
duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana
mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali
ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini
didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam
penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal
lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika
majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah
Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara.
Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M)
oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang
diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya
tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang
ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril
Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M.
Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri.
Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah
pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang
ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada
15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf.
Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya
berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah
al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang
ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal
Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Syaban 1354 H. Membicarakan
ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau
ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah
Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas
kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar
1356 H.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4regLE2Kx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan