ARKIB : 22/12/2006
Kisah Al-Quran - Siri 21
Dakwah Nabi Yunus kepada
kaumnya
Sesungguhnya Yunus benar-benar
salah seorang rasul...(ash-Saaffat: 139)
NEGERI Ninawa adalah sebuah
negeri yang didiami oleh rakyat yang menyembah berhala.
Mereka hidup di dalam
kesesatan, kejahilan, kebodohan dan kekufuran.
Oleh sebab itulah, Allah s.w.t.
mengutuskan Nabi Yunus membawa ajaran tauhid dan mengajak mereka menyembah
Allah s.w.t.. Nabi Yunus hendaklah memberi petunjuk kepada mereka supaya
meninggalkan penyembahan berhala yang tidak memberi sebarang manfaat kepada
mereka. Dengan itu, Nabi Yunus pun menyeru penduduk Ninawa supaya menyembah
Allah s.w.t. dan menerima ajarannya.
Wahai penduduk Ninawa,
hendaklah kamu menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala, kata Nabi
Yunus kepada mereka.
Lalu mereka menjawab: Kami
tidak akan meninggalkan kepercayaan yang telah menjadi adat kebiasaan turun
temurun ini dan kami tetap akan menyembah berhala.
Walaupun itu jawapan daripada
mereka, Nabi Yunus tidak berputus asa dan terus berdakwah. Bertahun-tahun
lamanya Nabi Yunus berdakwah kepada mereka. Namun mereka tetap tidak mahu
menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus.
Oleh sebab itulah, Nabi Yunus
berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka menerima dakwah itu. Maka Allah s.w.t.
telah mewahyukan agar Nabi Yunus terus berdakwah dalam tempoh 40 hari lagi.
Sekiranya dalam masa 40 hari
pun mereka tetap tidak mahu menyembah Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. akan
menurunkan seksaan bagi mereka.
Aku khuatir sekiranya Allah
s.w.t. akan menurunkan seksaan atas kekufuran kamu semua yang berterusan. Tidak
ada seorang pun yang boleh menyelamatkan diri daripada-Nya melainkan dia mahu
beriman kepada Allah s.w.t., kata Nabi Yunus.
Mereka menjawab: Kami tidak
akan menerima ajaranmu dan kami tidak takut akan seksaan Tuhanmu itu. Datanglah
seksaan itu sekiranya kamu daripada kalangan yang benar.
Nabi Yunus sangat marah apabila
mendengar kata-kata tersebut dan mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka.
Nabi Yunus berhijrah ke negeri lain dengan hati kesal.
Semasa ketiadaan Nabi Yunus
itulah, Allah telah menurunkan seksaan bagi mereka. Pada awalnya tahap
kepanasan meningkat tinggi sehingga menyebabkan kulit mereka berubah dan
menjadi cacat.
Barulah mereka teringat akan
seruan dan kata-kata Nabi Yunus. Walaupun begitu, tahap kepanasan terus
meningkat. Mereka tidak tahan dengan kepanasan itu dan mula sedar.
Mereka bertaubat kepada Allah
s.w.t. dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Allah s.w.t. menerima
taubat mereka dan menghentikan seksaan ke atas mereka.
- *Petikan daripada buku
Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220
atau e-mel: edusb@ streamyx.com.
PENGAJARAN
*Sesungguhnya Allah s.w.t. akan
menurunkan azab kepada sesiapa yang mengingkari perintah-Nya.
*Sesungguhnya hanya Allah
sahaja yang menerima taubat hamba-hamba-Nya yang ikhlas.
PERBENDAHARAAN KATA
adat: peraturan yang sudah
diamalkan turun temurun
seksaan: azab
berhijrah: berpindah
taubat: sesal akan dosa yang
dilakukan
INFORMASI
Nabi Yunus dilantik menjadi
rasul yang ke-21 ketika baginda berusia 30 tahun.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sG91r3hJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan