Ahad, 10 September 2017

Nicol David Pemain Terbaik Dunia 2006



ARKIB : 24/12/2006

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David yang merampas semula pingat emas Sukan Asia, baru-baru ini, menutup aksi gemilangnya tahun ini dengan satu lagi kejayaan terbesar apabila bergelar Pemain Wanita Terbaik Dunia 2006 dalam Anugerah Skuasy Dunia di London, semalam.

Dia bagaimanapun tidak berada di sana kerana berada bersama keluarganya di Pulau Pinang untuk menyambut Krismas.

Nicol diisytiharkan sebagai pemenang dalam majlis penyampaian di Kelab RAC, Pall Mall yang dianjurkan oleh Eventis Sports Marketing, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional (WISPA).

Dalam anugerah tahun lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang ini dipilih sebagai Pemain Muda Wanita Terbaik manakala musuh ketatnya, Vanessa Atkinson dari Belanda merangkul gelaran Pemain Wanita Terbaik yang tidak dicalonkan langsung kali ini.

Nicol yang mempertahankan gelaran Terbuka Dunia di Belfast, Ireland selain masih menerajui kedudukan pemain dunia ini, menewaskan dua calon lain iaitu Natalie Grinham dari Australia dan pemain England, Tania Bailey.

Nicol, 23, masih belum kalah dalam 27 perlawanan sejak gagal meraih pingat pada Sukan Komanwel Melbourne, Mac lalu malah mengumpul Kejohanan Asia, Cabaran Qatar Airways, Terbuka Malaysia, Terbuka Pulau Pinang, Terbuka Britain dan Terbuka Hong Kong sepanjang tahun ini.

Di Doha pada 14 Disember lalu, dia membalas dendam kehilangan emas Sukan Asia Busan 2002 terhadap Rebecca Chiu dari Hong Kong apabila menang 9-0, 9-3, 9-3 dalam tempoh 34 minit. Dia juga memenangi emas temasya ini di Bangkok 1998 ketika baru berusia 15 tahun.

Amr Shabana dari Mesir yang juga pemain utama dunia, muncul Pemain Lelaki Terbaik PSA dengan menewaskan dua pencabarnya, Nick Matthews dari England dan juara Terbuka Dunia dari Australia, David Palmer.

Dua lagi anugerah Pemain Muda Lelaki dan Wanita Terbaik dimenangi oleh Ramy Ashour dari Mesir dan pemain Afrika Selatan, Tenille Swartz manakala Nicolette Fernandes dipilih sebagai Pemain Paling Meningkat WISPA.

Ahli panel pemilihan anugerah ini terdiri daripada Colin McQuillan (wartawan), John Nimick (penganjur), Presiden PSA, Mark Chaloner; Pengarah Eksekutif WISPA, Andrew Shelley dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan WSF, Joyce Buckley.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sGJr48Ww
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan