ARKIB : 19/01/2010
Ummu Kulsum berhijrah ke Madinah
NAMA sebenarnya ialah Ummu Kulsum
binti Uqbah bin Abi Muith al-Amawiyyah al-Quraisyah. Bapanya merupakan seorang
musuh Islam yang kuat. Sementara ibunya bernama Arwa binti Kuraiz merupakan
srikandi yang memberi sumbangan kepada Islam.
Ummu Kulsum mempunyai saudara
tiri yang bernama Usman bin Affan. Manakala adik-beradik kandungnya sebanyak
enam orang iaitu al-Walid, Imarah, Khalid, Ummu Kulsum, Ummu Hakim dan Hindun.
Ummu Kulsum seorang wanita yang
berani, cekal dan tabah. Hal ini terbukti semasa Ummu Kulsum di tahan oleh
orang kafir Quraisy. Mereka menahan Ummu Kulsum daripada ikut serta berhijrah
ke Madinah.
Semasa di Mekah, orang kafir
Quraisy telah menyeksa Ummu Kulsum dan wanita Islam yang lain. Namun penyeksaan
yang diterima oleh Ummu Kulsum tidak mematahkan semangatnya untuk berhijrah ke
Madinah. Pada suatu hari, Ummu Kulsum telah mendapat satu idea. Dia ingin
berhijrah ke Madinah sendirian.
"Saya rasa dengan cara ini
mungkin saya boleh berhirah ke Madinah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Ummu Kulsum mendapat idea, lalu
dia pun pergi ke luar rumahnya menjuju ke kampung yang terletak di padang
pasir. Perkampungan itu agak terpencil. Ummu Kulsum pergi ke rumah saudaranya
yang tinggal di kampung itu.
"Sudah agak lama awak tidak
datang ke sini," kata saudaranya.
"Saya sibuk di rumah.
Sekarang ini baru saya ada masa lapang," balas Ummu Kulsum.
Mereka berbual panjang. Kemudian
Ummu Kulsum bertanya kepada saudaranya, "Bolehkah saya bermalam di
sini?"
Saudaranya pun menjawab,
"Boleh, apa salahnya. Awak tinggal di sini lebih lama pun tidak mengapa. Kita
ini bersaudara. Elok kita jalinkan tali silaturrahim. Banyak pahala dan
berkatnya."
"Terima kasih. Saya
bercadang untuk tinggal di sini dua atau tiga hari lagi. Kemudian saya perlu
pulang ke rumah semula," jelas Ummu Kulsum.
"Baiklah," jawab
saudaranya.
Ummu Kulsum bermalam di rumah
saudaranya. Dia berharap rancangannya berhijrah ke Madinah akan berjaya. Sampai
masanya, Ummu Kulsum pulang semula ke rumahnya. Saudaranya juga tidak
menghalangnya pulang ke rumah. Selang beberapa hari kemudian, Ummu Kulsum bersiap-siap
seperti hendak ke rumah saudaranya lagi.
"Saya harap rancangan saya
untuk pergi ke Madinah hari ini akan berjaya," bisik Ummu Kulsum
sendirian.
Semasa dia bersiap untuk ke luar
rumah, keluarganya menegurnya. "Awak hendak pergi ke rumah saudara awak
lagikah?"
Sebelum ini keluarga Ummu kulsum
sudah mengetahui bahawa dia pergi ke rumah saudaranya di perkampungan terpencil
itu.
"Saya perlu bawa sedikit
bekalan makanan," kata Ummu Kulsum.
"Ambil makanan ini,"
kata keluarganya sambil menghulur bekalan makanan kepadanya.
"Berhati-hati semasa dalam
perjalanan ke sana," pesan keluarganya.
Ummu Kulsum terlepas daripada
ditahan oleh ahli keluarganya. Dia terus berjalan meninggalkan rumahnya.
Kemudian datang seorang lelaki
bertanya kepadanya, "Awak hendak kemana?"
"Ini bukan urusan awak.
Mengapa awak ingin tahu?" jawab Ummu Kuslum.
Lelaki itu dengan beraninya
berkata, "Awak tidak perlu takut dengan saya. Saya berasal dari Khazaah.
Sekiranya awak tidak keberatan, saya sedia membantu awak."
"Lega rasanya bila dapat
tahu lelaki ini dari Khazaah," bisik Ummu Kulsum sendirian.
Khazaah adalah satu wilayah
pemerintahan Nabi Muhammad. Wilayah itu telah terikat dengan syarat-syarat
perjanjian yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad.
"Saya adalah wanita Quraisy.
Saya ingin berjumpa dengan Nabi Muhammad. Masalah saya sekarang ialah saya
tidak tahu jalan hendak ke sana," jelas Ummu Kulsum.
Lantas lelaki itu berkata,
"Saya tahu selok-belok jalan ke kota Madinah. Jika awak tidak keberatan
saya boleh teman awak ke sana."
"Baik, saya setuju,"
jawab Ummu Kulsum.
Tanpa berlengah masa, lelaki itu
pergi mengambil seekor unta. Unta itu diberikan kepada Ummu Kulsum untuk
dinaiki. Mereka meneruskan perjalanan. Akhirnya mereka sampai di kota Madinah.
"Seronoknya saya. Dapat juga
saya sampai di kota Madinah ini," bisik Ummu Kulsum sendirian.
"Terima kasih kerana sudi
membantu saya," ucap Ummu Kulsum kepada lelaki itu.
"Sama-sama. Semoga awak
berjaya berjumpa Nabi Muhammad," kata lelaki itu pula.
Akhirnya Ummu Kulsum berjaya
berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ZoIV7SWR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan