ARKIB : 30/04/2010
Dan tidak ada yang menghalangi
kami akan mengutuskan dengan tanda-tanda (mukjizat) melainkan telah didustakan
oleh orang-orang terdahulu... (al-Israk: 59)
Masjid Nabawi adalah masjid yang
dibina hasil gotong-royong orang Ansar dan Muhajirin sejurus sahaja Rasulullah
SAW berhijrah daripada Mekah ke Madinah.
Tapak masjid tersebut adalah
tempat perhentian pertama unta putih Rasulullah. Ketika orang Muhajirin sampai
ke Madinah, mereka disambut dengan meriah oleh orang Ansar.
Semua penduduk Madinah berebut-rebut
mendapatkan Rasulullah supaya baginda berhenti dan singgah di rumah mereka.
Lalu baginda menyerahkan kepada
unta putih baginda untuk membuat keputusan.
Kemudian unta putih itu berjalan
lalu berhenti di satu kawasan lapang berdekatan dengan tanah perkuburan. Maka
baginda telah mencadangkan untuk membina sebuah masjid di situ yang dikenali
sebagai Masjid Nabawi.
Dalam masjid itu, baginda telah
membina mimbar yang diperbuat daripada batang tamar. Di mimbar itulah
Rasulullah menyampaikan khutbah kepada kaum baginda.
Tidak kira pada waktu sembahyang
ataupun pada waktu-waktu yang lain. Masjid itu juga sentiasa menjadi tumpuan
orang. Sekiranya ada perbincangan atau majlis ilmu, Masjid Nabawi menjadi pusat
perjumpaannya.
Setelah beberapa lama masjid itu
dibina dan digunakan, mimbarnya mula menjadi reput. Rasulullah dan para sahabat
memutuskan untuk membuat mimbar baru. Lalu Rasulullah dan orang-orang Islam
bertungkus-lumus mengumpulkan batang tamar. Tiang mimbar yang lama telah
diruntuhkan dan disimpan di tempat lain untuk digantikan dengan yang baru.
Pada suatu hari, sedang
Rasulullah berkhutbah, baginda dan para sahabat terdengar satu suara tangisan.
Mereka tercari-cari suara tersebut. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu
datang daripada batang tamar yang dijadikan mimbar yang lama. Rasulullah pergi
mendapatkannya. Dengan penuh kasih-sayang baginda menepuk-nepuk batang tamar
tersebut kemudian bertanya kenapa ia menangis. Batang tamar itu menjawab:
"Aku sungguh sedih
mengenangkan nasibku kerana khidmatku tidak diperlukan lagi olehmu ya
Rasulullah. Sedangkan aku ingin bersama denganmu sehingga akhir hayatmu."
Rasulullah tersenyum lalu
berkata: "Sabarlah wahai batang tamar, walaupun khidmatmu tidak diperlukan
lagi kerana keuzuranmu, namun engkau tetap akan bersamaku di syurga
kelak."
Selepas mendengar kata-kata
Rasulullah itu, batang tamar tersebut berhenti daripada menangis.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5a8P0G94l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan