FATIMAH binti Asad ialah ibu
kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas
Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi
Muhammad.
Semasa Nabi Muhammad tinggal
dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.
Segala makan minum, tempat
tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu
mengikut kemampuan mereka.
Nabi Muhammad merupakan seorang
yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.
Fatimah adalah antara wanita yang
awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah
memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.
Anak-anak Fatimah juga turut
mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah
yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.
Nabi Muhammad sangat menghormati
Fatimah seperti ibunya sendiri.
Semasa Fatimah tinggal di
Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta
tidur pada siang hari di rumah itu.
Begitu juga keadaan berlaku
semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk
berjumpa dengan ibu saudaranya itu.
Ada seorang lelaki tua bercerita
kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: Nampaknya
keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan
baik sekali.
Lalu jiran itu berkata pula: Bukankah
Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad.
Ya, jawab lelaki tua itu.
Jiran itu menambah lagi: Sekarang
ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali,
anak Fatimah tinggal bersama Muhammad.
Ya. Saya juga dengar berita itu,
kata lelaki tua itu pula.
Lelaki tua itu tersenyum
mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: Sejak kecil
Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui
sifat-sifat yang ada pada Muhammad.
Saya sendiri melihat Muhammad
itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti.
Muhammad tidak pernah memungkiri janji.
Patutlah Fatimah sanggup
membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu
saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad
dapat mendidik anak saya menjadi orang baik, kata jiran itu panjang lebar.
Rata-rata orang yang mengenali
Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak
sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.
Sejarah Islam mencatatkan bahawa
anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang
ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Fatimah juga menyumbang usahanya
kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan
hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46
buah hadis.
Ali bin Abi Talib iaitu anak
Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra.
Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan
baik.
Ada satu peristiwa yang berlaku
semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.
Ali berkata kepada ibunya: Wahai
ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang
lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini.
Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja
untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu, kata Fatimah kepada anak
lelakinya.
Semasa Fatimah menghembuskan
nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.
Nabi Muhammad berdoa kepada
Allah, Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya.
Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.
Apabila pakaian saya koyak dan
kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya
makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di
akhirat kelak.
Kisah srikandi Fatimah merupakan
kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan
disayangi oleh anak-anak.
*Petikan daripada buku Bidadari
Syurga terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YafThaPT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan