ARKIB : 15/06/2010
UMAR al-Khatab adalah khalifah
yang menggantikan Abu Bakar as-Siddiq. Umar seorang yang tegas dan terkenal
dengan sifatnya yang adil, berani serta cekap semasa memerintah.
Umar al-Khatab dilahirkan pada
tahun 584 Masihi berasal daripada Bani Adi berketurunan Quraisy.
Baginda adalah khalifah Islam
kedua yang memerintah pada tahun 13 Hijrah hingga 23 Hijrah. Nabi Muhammad
memberi gelaran al-Faruq kepada beliau.
Gelaran tersebut diberi kerana
selepas memeluk Islam bagidan memberikan semangat baru kepada umat Islam untuk
mengamalkan ajaran itu secara terang-terangan di Kota Mekah.
Baginda juga adalah khalifah
pertama yang mendapat gelaran Amir al-Mukminin.
Pada zaman masyarakat jahiliah,
Umar merupakan seorang saudagar. Umar dilantik menjadi khalifah kedua
berdasarkan wasiat yang dibuat oleh Abu Bakar dan mendapat persetujuan ramai.
Umar meninggal dunia pada 23
Hijrah kerana ditikam oleh Abu Lu'lu iaitu seorang hamba berketurunan Parsi.
Zaman pemerintahan Umar dianggap
sebagai 'zaman keemasan' kerajaan Islam di Mekah. Banyak pembaharuan
dilaksanakan oleh baginda termasuklah bidang politik, sosial, pertahanan dan
ekonomi.
Dalam bidang sosial, baginda
mengembangkan pendidikan al-Quran dan memperkenalkan kalendar Islam yang
berasaskan tahun Hijrah.
Di zaman Umar juga, banyak negara
berada dalam kekuasaan Islam termasuk Baitulmaqdis.
Malah di Baitulmaqdis ketika itu
terdapat seorang Paderi Besar yang enggan membuat sebarang perjanjian dengan
orang lain kecuali dengan Umar. Peribadi baginda yang adil dan berani
menjadikan Umar terkenal sebagai seorang sahabat Nabi yang dikagumi di kalangan
umat Islam.
Umar juga seorang yang sentiasa
menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada
seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus
meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu
beliau berasa pelik dengan rasa susu itu.
Tanpa berlengah, Umar bertanya
kepada lelaki itu: "Dari manakah kamu dapat susu ini?"
Kemudian lelaki itu menjawab:
"Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang
disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di
situ."
Umar terkejut lalu menjolokkan
jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.
Baginda berbuat demikian kerana
tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu
milik siapa.
Pernah dilaporkan bahawa Umar
juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini
terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain.
Umar mendapat beberapa kilo
kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat
memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di
kawasannya.
"Siapakah yang mahu
menimbang buah kasturi ini. Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua
orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini," kata Umar.
Mendengar berita itu, isterinya
menawarkan diri menimbang kasturi itu. "Saya pandai menimbang kasturi
itu," kata isteri Umar.
Umar tidak berkata apa-apa.
Sejenak kemudian, beliau bersuara: "Siapakah yang mahu menimbang buah
kasturi ini?" Tidak ada orang yang menjawab.
Tetapi isterinya sekali lagi
menawarkan diri menimbangnya. "Saya pandai menimbang kasturi itu,"
kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.
Kali ini masuk kali ketiga Umar
bertanyakan soalan yang sama: "Siapakah yang mahu menimbang kasturi
ini?"
Secara sukarela isterinya sekali
lagi menawarkan diri menimbang.
Pada kali ini Umar tidak berdiam
diri lalu beliau berkata: "Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu
kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak
kita."
Oleh kerana itu, Umar mahu orang
lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar
tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli
keluarga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aEOuvzfc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan