ARKIB : 04/06/2010
MAKA diperdaya kedua-duanya oleh
syaitan sehingga dikeluarkan mereka daripada kesenangan yang didapati. Kami
berkata: Berangkatlah kamu sekelian! Antara kamu dengan yang lain bermusuh-musuhan.
Dan bagi kamu tempat kediaman di atas bumi. Di sanalah tempat kesenanganmu
sehingga mati. (al-Baqarah: 36)
NABI Adam dan isterinya Hawa
sangat sedih dengan keadaan mereka di bumi, kerana kehidupan di bumi sangat
berbeza dengan di syurga. Di syurga terdapat bermacam-macam buah-buahan dengan
pelbagai bentuk dan warna, di samping rasanya yang enak dan lazat. Baunya juga
sungguh harum dan membuka selera.
Sedangkan di bumi, tidak semua
buah-buahan boleh dimakan. Ada yang pahit, masin, masam, tawar, dan ada pula
yang enak, manis serta lazat. Begitu juga dengan air yang hendak diminum, bukan
semuanya boleh diminum.
Tahulah Nabi Adam dan isterinya
bahawa kehidupan di bumi ini setiap saat atau detik penuh dengan perjuangan.
Setiap saat mereka harus memeras otak, tenaga dan keringat demi untuk
meneruskan kehidupan di bumi Allah yang terbentang luas ini.
Begitulah keadaan Adam dan Hawa
setiap hari. Apabila berasa lapar, terpaksalah mereka keluar mencari air dan
buah-buahan di dalam hutan.
Perasaan takut terhadap binatang
buas yang sentiasa mengancam mereka, terpaksa dihadapi dengan semangat yang
kuat. Akan tetapi, segala penderitaan seperti rasa dahaga, lapar, bahaya
binatang buas dan lain-lain telah menggerakkan akal dan fikiran Adam dan Hawa
tentang cara bagaimana mereka dapat melepaskan diri daripada
penderitaan-penderitaan itu.
Dengan akal yang dikurniakan oleh
Allah itu, timbullah di fikiran mereka untuk menanam pokok buah-buahan yang
lazat dan enak rasanya di sekitar gua, tempat tinggal mereka.
Tujuannya untuk menghindarkan
diri daripada bahaya binatang-binatang buas di dalam hutan ketika mereka keluar
mencari buah-buah hutan untuk dimakan.
Dengan menggunakan dahan-dahan
kayu, Adam dan Hawa pun menebas pokok-pokok dan rumput-rumput di sekitar gua
itu. Kawasan di sekitar gua itu dilapangkan untuk menanam pokok buah-buahan
yang boleh dimakan.
Baginda pun memerah tenaga dan
kudratnya menanam biji-biji buah yang dimakan, sambil dibantu oleh isterinya,
Hawa. Selain itu, baginda juga memelihara ternakan-ternakan seperti ayam,
kambing dan sebagainya yang ditemui di dalam hutan tersebut.
Begitulah keadaan Adam dan Hawa
setiap hari. Mereka bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan sehinggalah
mereka menjadi pandai. Hasil tanaman itu dapatlah menampung kehidupan mereka di
dalam gua itu.
*Petikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aEJDT7sI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan