Selasa, 4 Disember 2018

Ummu Ayyub menerima tetamu istimewa


ARKIB : 29/12/2009
PADA suatu hari, Nabi Muhammad bersama sekumpulan orang Islam telah berhijrah ke Madinah. Penduduk Madinah menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad. Masing-masing berebut-rebut menjemput Nabi Muhammad tinggal dirumah mereka.

Melihat keadaan itu, Nabi Muhammad pun berkata: "Saya akan ikut sahaja ke mana arah dan tempat unta yang saya tunggang ini akan berhenti. Maka di situlah tempat saya akan menginap."

Dengan izin Allah unta yang ditunggang oleh Nabi Muhammad berhenti betul-betul di hadapan rumah Abu Ayyub Khalid bin Zaid. Dia lebih dikenali dengan panggilan Abu Ayyub al-Anshari.

Kedatangan Nabi Muhammad ke rumah Abu Ayyub disambut baik oleh tuan rumah. Isteri Abu Ayyub yang bernama Ummu Ayyub binti Qais bin Saad al-Khazrajiyah al-Anshariyah juga menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad.

Ummu Ayyub sangat gembira kerana mendapat tetamu iaitu Nabi Muhammad. Bermula pada hari itu Ummu Ayyub dan suaminya melayani Nabi Muhammad dengan baik di rumahnya.

Rumah Abu Ayyub mempunyai dua buah bilik iaitu satu di bahagian bawah dan satu di bahagian atas.

Ummu Ayyub berkata kepada suaminya, "saya cadangkan Nabi Muhammad tidur di bilik atas. Kita tidur sahaja di bilik bawah ini."

Mendengar cadangan itu Abu Ayyub pun berkata, "Saya bersetuju dengan cadangan awak. Saya akan ajukan cadangan ini kepada Nabi Muhammad."

menghormati tuan rumah

Tanpa berlengah, Abu Ayyub bergegas berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata: "Wahai tuan, jemputlah tidur di bilik atas sahaja. Bilik atas lebih selesa buat tuan."

Nabi Muhammad tersenyum lalu berkata: "Terima kasih atas pelawaan awak itu. Sebagai menghormati tuan rumah, bagi saya lebih baik saya tidur di bilik bawah sahaja".

Abu Ayyub tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Dia akur dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad.

Pada malam itu Abu Ayyub dan isterinya tidur di bilik atas. Mereka tidak selesa dengan keadaan itu. Selang beberapa jam kemudian, tiba-tiba bekas air yang terdapat di bilik mereka pecah. Air melimpah ke atas lanta bilik. Lantai bilik mereka ada lubang-lubang kecil.

"Cepat ambil selimut itu. Lapkan air yang tumpah ini," kata Ummu Ayyub kepada suaminya.

Sementara itu Ummu Ayyub mengelap air yang tumpah dengan kain lain. Dia tidak mahu Nabi Muhammad terjaga dari tidur akibat terkejut dengan titisan air yang tumpah dari bilik atas rumah itu.

Pada keesokan harinya, Ummu Ayyub bangun dari tidur dan berkata kepada suaminya: "Saya harap Nabi Muhammad tidak terkejut dari tidurnya semalam. Air yang tumpah itu terlalu banyak sehingga selimut kita basah."

Abu Ayyub juga risau akan peristiwa yang berlaku semalam. Pada pagi itu, Abu Ayyub segera berjumpa dengan Nabi Muhammad dan berkata: "Tuan, saya merayu pada tuan supaya tidur di bilik atas sahaja. Tidak elok tetamu saya tidur di bilik bawah. Saya berasa tidak selesa sekiranya tuan terus tinggal di bilik bawah."

Selepas Abu Ayyub merayu kepada Nabi Muhammd akhirnya Nabi Muhammad bersetuju untuk berpindah ke bilik atas. Ummu Ayyub sangat menghormati Nabi Muhammad.

Segala keperluan makan dan minum Nabi Muhammad dijaga dengan baik oleh pasangan suami isteri itu. Ummu Ayyub juga mengetahui makanan kegemaran Nabi Muhammad ialah sup.

Pada satu malam, Nabi Muhammad menerima hadiah berupa makanan dari Saad bin Ubbadah. Makanan itu dipenuhi dengan sup. Nabi Muhammad makan sup itu dengan penuh selera sehingga habis.

Mulai malam itu, Ummu Ayyub selalu menyediakan makanan berbentuk sup untuk Nabi Muhammad.

Ummu Ayyub juga turut menyediakan bubur campuran daging buat Nabi Muhammad. Hidangan yang disediakan oleh Ummu Ayyub untuk Nabi Muhammad dijamah dengan penuh selera oleh Nabi Muhammad.

Baginda tinggal di rumah Abu Ayyub selama tujuh bulan. Kebaikan yang ditonjolkan oleh Ummu Ayyub merupakan satu contoh teladan yang boleh kita ikuti. Ummu Ayyub sangat menghormati dan melayani kehendak tetamunya dengan baik.

Sepanjang hayatnya, Ummu Ayyub turut melaporkan hadis daripada Nabi Muhammad. Sejarah Islam mengatakan bahawa Ummu Ayyub adalah seorang wanita yang sangat beruntung dan bertuah kerana pernah menjaga makan dan minum Nabi Muhammad.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YiHHrut7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan