ARKIB : 19/05/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ISRAK dan Mikraj mencatatkan
banyak peristiwa penting yang ditempuhi dan dilihat oleh Rasulullah SAW.
Semuanya diperlihatkan kepada baginda dengan jelas, bukannya untuk tatapan mata
semata-mata.
Sesetengah riwayat mengatakan
pada malam tersebut, nabi SAW berada di samping Kaabah sebelum dikejutkan oleh
malaikat Jibrail untuk mengajak baginda menempuh peristiwa ini.
Ada yang mengatakan baginda
sebenarnya berada di rumah isterinya, Ummu Hani sebelum dibawa ke Kaabah.
Di situ baginda dikatakan
menjalani proses pembersihan hati seperti yang pernah dilalui sewaktu
kanak-kanak, iaitu sewaktu dalam jagaan ibu susuannya, Halimatussaadiah.
Mungkin juga proses ini adalah pertama dilalui baginda.
Dada baginda dibedah oleh malaikat
Jibrail (dikatakan malaikat Mikail juga turut serta dalam proses itu) lalu
dikeluarkan hati yang kemudiannya dicuci dengan air zamzam dan dibuang ketul
hitam daripada hati tersebut.
Ia disebut juga sebagai 'alaqah,
ketulan yang menjadi tempat syaitan membisikkan godaan dan menimbulkan perasaan
was-was terhadap manusia.
Setelah selesai dada baginda
dicantumkan semula dan diletakkan khatimun nubuwwah sebagai cap kenabian
baginda.
Baginda kemudiannya menaiki
kenderaan khas dari syurga, iaitu Buraq untuk melalui perjalanan jauh tetapi
perlu dihabiskan dalam satu malam.
Dengan ditemani malaikat Jibrail
yang menjelma sebagai manusia, baginda memulakan perjalanan ke Baitulmaqdis, di
Palestin untuk ke Masjid al Aqsa.
Namun di beberapa tempat
dikatakan baginda diarah berhenti dan sembahyang sunat dua rakaat.
Antara tempat-tempat berkenaan
adalah:
l Negeri Thaibah (Madinah atau
Yathrib), iaitu negara yang bakal baginda melakukan hijrah dan mendirikan
negara Islam pertama di sana.
l Bukit Tursina, Mesir iaitu
lokasi Nabi Musa a.s menerima dan bertemu dengan Allah.
l Baitul Laham, tempat Nabi Isa
a.s dilahirkan oleh ibunya Siti Maryam.
Sepanjang perjalanan ke Masjidil
Aqsa ini iaitu dalam kederasan Buraq, baginda diperlihatkan dengan pelbagai
gambaran antara langit dan bumi, antaranya:
l Kaum yang sedang bercucuk tanam
dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru
keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah diberitahu Jibrail: "Itulah kaum yang berjihad fisabilillah
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.
l Baginda juga terbau yang sangat
harum. Jibrail memberitahu: "Itulah bau dari kubur Mashitah (tukang sikat
rambut anak-anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak mereka (termasuk bayi
yang dapat bercakap meminta dirinya dicampakkan ke dalam kawah minyak yang
menggelegak panas untuk menguatkan iman si ibu) yang kesemuanya dibunuh oleh
Firaun kerana tidak mengakui Firaun itu tuhan kerana keimanan yang teguh
terhadap Allah".
l Sekumpulan manusia yang sedang
memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan bercantum,
lalu dipecahkan lagi. Jibrail memberitahu nabi: "Itulah mereka yang berat
kepala untuk bersujud (solat)".
l Sekumpulan manusia lagi, yang
menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau
seperti binatang ternakan. Lalu diberi makan api dan batu dari neraka jahanam.
Rasulullah diberitahu, itu adalah balasan kepada mereka yang tidak mengeluarkan
zakat harta.
l Seorang perempuan bongkok tiga
menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: "Wanita yang
sangat tua itu merupakan gambaran umur dunia ini yang sangat tua dan hanya
menantikan saat-saat untuk berlaku kiamat sahaja".
Terdapat pelbagai peristiwa lain
yang disaksikan oleh baginda yang kebanyakannya adalah gambaran sebenar
terhadap balasan-balasan Allah terhadap amalan-amalan hambanya di muka bumi
ini.
Semua gambaran itu wajar menjadi
iktibar kepada kita kerana segala yang dijanjikan oleh Allah adalah benar dan
tidak ada sesiapa yang akan terlepas.
Baginda akhirnya tiba di Masjid
Al Aqsa lalu ditambatnya Buraq pada dinding masjid tersebut yang kini dikenali
sebagai The Wailing Wall (Tembok Menangis) sebagai tanda kesedihan kaum Yahudi
apabila Baitul Maqdis pernah jatuh ke tangan orang Islam. Sehinggalah mereka
berjaya merampas semula pada tahun 1967 lalu dijadikan tempat ibadat yang
penting bagi kaum itu.
Mereka juga mendakwa bahawa di
sebalik tembok ini merupakan sebahagian tapak kuil Nabi Sulaiman dan
kerja-kerja menggali terowong sedang digiatkan dijalankan bagi membuktikan
dakwaan mereka itu.
Lalu apa yang berlaku pada malam
itu di dalam masjid Al Aqsa yang sangat suci dan mulia itu, adalah satu
perhimpunan yang sangat luar biasa sifatnya.
Dengan segala kekuasaan yang
Allah miliki lalu dihidupkan semua para rasul dan nabi untuk bertemu Nabi
Muhammad SAW. Para ulama menganggarkan perhimpunan itu melibatkan seramai 313
para rasul dan 24,000 nabi.
Baginda kemudiannya mengimamkan
sembahyang sunat dua rakaat bersama-sama para rasul dan nabi. Ia satu jemaah
sembahyang dan perhimpunan yang tidak berulang di bumi ini sebagai tanda
kemuliaan yang sangat tinggi kepada Nabi SAW sebagai penghulu kepada semua
rasul dan nabi.
Selepas selesai perhimpunan itu,
lalu Jibrail datang membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Nabi
SAW. Lalu baginda pilih susu untuk diminum.
Jibrail pun berkata: "Kamu
membuat pilihan yang betul. Jika arak yang kamu pilih nescaya ramai umat kamu
yang akan sesat".
Seusai itu maka bermulalah satu
lagi detik yang amat bersejarah apabila tiba masanya nabi SAW diangkat ke
langit untuk peristiwa mikraj pula.
Peristiwa itu membolehkan baginda
menemui Allah di Sidratul Muntaha yang tiada siapa dapat mempertikaikan
kebenaran pertemuan itu.
Sehingga di saat itu tugas Buraq
tidak diperlukan lagi kecuali dikatakan baginda diangkat dan kemudiannya
menaiki tangga yang indah dari syurga.
Nabi Muhammad dan Jibrail pun
menaiki tangga ke pintu langit dunia (Pintu Hafzhah) dan sejurus melangkah
masuk ke pintu langit pertama itu, baginda menemui seorang lelaki yang sosok
tubuhnya sangat tinggi iaitu 20 meter.
Rasulullah melihatnya, lelaki itu
akan tersenyum apabila menoleh ke kanan dan akan menangis sebaik sahaja dia
menolehkan kepala ke kiri.
Siapakah lelaki itu dan mengapa
dia senyum dan menangis tiap kali menolehkan kepalanya itu?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a8sZGDvb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan