Ahad, 23 Disember 2018

Kubu Mat Salleh dimusnah


 
ARKIB : 10/07/2010
Kubu Mat Salleh dimusnah
Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my
Matlan Alidan menunjukkan bukit yang menempatkan kubu Mat Salleh yang kini ditarah pihak pemaju di Kampung Inanam Laut, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 9 Julai - Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh pastinya nama yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia apatah lagi oleh penduduk Sabah.

Beliau merupakan pahlawan Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan hebat kepada penjajahan British.

Pengorbanannya begitu besar sekali kerana sanggup menyabung nyawa demi menuntut kemerdekaan yang hasilnya dikecapi oleh generasi anak negeri ketika ini.

Besarnya pengorbanan pahlawan Sabah itu pastinya tidak mampu dibayar dengan nilai wang ringgit dan timbunan harta dalam menuntut kemerdekaan.

Justeru keikhlasan dan perjuangan pahlawan itu wajar terus diingati dan disematkan dalam sanubari setiap rakyat bagi memastikan kesinambungan kemerdekaan negara.

Jadi dalam menghargai jasa dan pengorbanan tokoh itu, wajarlah segala nilai sejarah berkaitan pahlawan itu terus dijaga dan dipulihara.

Namun hakikatnya dalam dunia kini yang mengejar pembangunan sering melupakan nilai sejarah sehingga sanggup memusnahkannya.

Ini dapat dilihat apabila kawasan di Inanam, dekat sini, yang pernah menjadi kubu pertama Mat Salleh menyerang Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya pada 1897 telah ditarah dan dimusnahkan sewenang-wenangnya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kubu yang terletak di Kampung Inanam Laut dekat sini itu menyaksikan sebahagian besar kubu berkenaan telah dimusnahkan.

Kawasan yang dahulunya dikatakan dipenuhi dengan serpihan peluru meriam dan laluan Mat Salleh dan pengikutnya ke Tambunan telah menjadi padang jarak padang tekukur.

Kubu utama di atas bukit setinggi lebih 30 meter yang boleh nampak Pulau Gaya dengan jelas itu pula, hanya tinggal sekangkang kera selepas sebahagian kawasan telah diratakan.

Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat banyak kubur di bukit berkenaan yang dikatakan termasuk milik pahlawan lama menunggu masa untuk dimusnahkan.

Kunjungan Utusan Malaysia ke atas bukit berkenaan mendapati terdapat kawasan seakan lubang besar yang dijadikan kubu untuk menyerang Inggeris di Pulau Gaya.

Nilai sejarah yang ada di situ amat tinggi kerana turut terdapat meriam yang menghala ke Pulau Gaya.

Ketua Kampung Inanam Laut, Matlan Alidan, 58, berkata, pihaknya telah mengadu kepada pihak berwajib berkenaan perkara itu tetapi projek dimulakan pada 2008 itu diteruskan juga.

"Kami kesal kerana projek ini diteruskan juga dan kami tidak dapat membuat apa-apa selain menyelamatkan meriam dengan menurunkannya ke bawah.

"Jadi kami berharap puncak kubu utama yang masih ada ini dapat dipertahankan daripada dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Tambahnya, penduduk amat kesal kerana kawasan berkenaan diceroboh sedangkan usaha memohon meneroka kawasan itu sebelum ini tidak dibenarkan kerajaan.

Beliau mendakwa kawasan berkenaan adalah berstatus tanah kerajaan selain terdapat sebahagian kawasan adalah kubur serta tanah milik Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Shah Abdullah.

Seorang penduduk kampung, Nordin Barun, 50, memberitahu, dia agak terkejut apabila mengetahui kawasan itu dimajukan kerana sepatutnya ia diwartakan sebagai tapak sejarah.

"Sebenarnya pada 1994, Tan Sri Pandikar Amin yang menjadi Menteri Kebudayaan Sabah telah naik ke bukit itu dan beliau meluluskan peruntukan serta-merta bernilai RM3 juta bagi memulihara bukit itu.

"Dengan keadaan seperti ini sekarang, saya amat sedih dan tertanya-tanya apakah sebenar yang telah terjadi kepada harta bersejarah Sabah ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk kampung, Basri Awang Besar, 52, yang merupakan pencinta sejarah memberitahu, kawasan kubu berkenaan mempunyai ciri-ciri yang amat strategik.

Katanya, kubu tersebut membuktikan kepakaran pejuang tempatan dalam aspek peperangan dan pertahanan.

Katanya, kawasan sekitar kubu berkenaan juga amat bernilai kerana menjadi laluan Mat Salleh ke Tambunan sebelum mendirikan kubu terakhir di sana.

"Kubu ini dibina begitu strategik dengan meriam menghala ke Pulau Gaya selain terdapat laluan anak sungai yang dibuat bagi menyusup ke Pulau Gaya dan laluan untuk berundur.

"Jadi saya amat sedih sekali kerana ia dimusnahkan sedangkan ia boleh dijadikan tempat bersejarah di Kota Kinabalu seperti Bukit Melawati di Semenanjung," ujarnya.

Untuk rekod, sebuah filem berjudul Pahlawan Mat Salleh mengisahkan tokoh itu pernah dikeluarkan oleh syarikat Sabah Film milik anak tempatan, Deddy M. Borhan sekitar tahun 1980-an dulu.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm#ixzz5aW1vNtiT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan