ARKIB : 22/02/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN
SOFA, NEGERI SEMBILAN
ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita
diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan
dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.
Memperingati dan meraikan kelahiran
baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang
menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana,
suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi
SAW.
Insya-Allah, di kesempatan yang
akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang
sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.
Ruangan ini terpanggil untuk
menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan
kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan
dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.
Persoalan yang dimaksudkan adalah
dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang
musyrik serta ditempatkan ke neraka.
Kami terpanggil untuk menyentuh
soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.
Masyarakat Arab jahiliah
Zaman Jahiliah yang meliputi era
kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur
syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.
Manusia pada zaman tersebut
melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah
menyeleweng sekian lama.
Diriwayatkan bahawa pegangan asal
masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era
penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay
yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.
Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di
dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu,
mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru
ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah
daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan
berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."
Kesesatan ini tersebar meluas
sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.
Ahli fatrah
Setelah sekian lama amalan
penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi
yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran
daripada sebarang petaklifan.
Mereka inilah yang digelar
sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana
perutusan sebarang rasul.
Golongan ini walaupun melakukan
penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut
jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami
mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul
yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)
Agama dan kepercayaan
Dalam keadaan masyarakat yang
begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat
juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya;
agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.
Demikian juga tidak sunyi pada
zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan
ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai
agama hanif.
Ajaran ini tidaklah tersebar luar
sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia
tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi
Ismail a.s.
Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan
manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.
Ada banyak fakta sejarah yang
diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan
datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa
mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.
Daripada Ibnu Abbas RA berkata:
Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama
Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan
ucapan yang baik.
Daripada perbahasan di atas
secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia
sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka,
sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan
ajaran Nabi Ibrahim.
Oleh yang demikian, tidak
bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW
adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan
i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menyentuh tentang perbahasan
akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih
adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim
a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit
yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.
Bahkan fakta-fakta sejarah yang
dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa
mereka adalah golongan yang beriman.
Dalam dalil yang umum pula,
keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami!
Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang
berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam
(yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)
Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir
al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35
surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai
Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan
anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.
Ibnu Jarir berkata: "Allah
telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang
pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".
Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim
di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah
seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?
Beliau menjawab: Tidakkah kamu
mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan
anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)
Allah SWT berfirman (maksudnya):
Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara':
219)
Mengenai penafsiran ayat ini,
Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang
lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai
seorang nabi".
Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman
Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi
nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud
dan beriman kepada Allah).
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah
SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah
walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil
pernikahan seumpama Islam".
Diriwayatkan dalam Dalail al
Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku
telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika
itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya
seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada
ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan
pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan
paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal.
Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan
kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan;
Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran
dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu
daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum
jahiliah".
Mengambil kira pelbagai hujah
berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk
terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi
kita.
Marilah kita mengambil sikap yang
lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini
termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata:
"Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda
Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana
mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim
al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".
Kita juga mendapati Mufti Mesir,
Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan,
ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan
ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih
sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.
Semoga kita sentiasa digolongkan
di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW
dengan sebaik-baiknya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Zqz5hI9R
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan