ARKIB : 26/05/2010
Nabi SAW terima perintah solat
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Makam Nabi Ibrahim yang terletak
di Masjid Ibrahim, di Hebron Tebing Barat Palestin.
NABI Adam a.s gembira apabila
menoleh kepalanya ke kanan kerana menyaksikan kalangan zuriatnya, iaitu umat
manusia melakukan amalan baik dan akhirnya melayakkan mereka masuk syurga.
Namun apabila baginda menoleh ke
kiri, di dapati ada juga kalangan umat manusia yang diseksa dalam neraka akibat
balasan amalan-amalan jahat yang mereka lakukan, Ini menyebabkan Nabi Adam
sedih dan kecewa.
Demikianlah di sebalik makna
perlakuan yang ditunjukkan oleh lelaki bertubuh sasa dan tinggi yang pertama
ditemui oleh Nabi Muhammad sejurus memasuki langit pertama dalam perjalanan
Mikraj untuk menemui Allah di singgahsana Sidratul Muntaha.
Baginda begitu gembira dapat
bertemu dan mengenali manusia pertama ciptaan Allah itu yang kemudiannya
menjadi bapa kepada seluruh manusia di muka bumi ini.
Selepas memberi salam kepada Nabi
Adam, Nabi Muhammad kemudiannya dibawa naik ke langit kedua dan di situ baginda
bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa. Diikuti langit ketiga, baginda bertemu Nabi
Yusuf, langit kelima, Nabi Harun dan Musa di langit keenam.
Nabi Muhammad akan memberi salam
dan mengakui kenabian kepada setiap nabi yang baginda temui.
Apabila tiba di langit ketujuh,
Nabi Muhammad berpeluang menyaksikan Baitul Makmur, iaitu rumah ibadat, binaan
sama seperti Kaabah bagi penghuni langit terutamanya para malaikat beribadah
dan melakukan tawaf.
Sesetengah mengatakan terdapat
hampir 70,000 malaikat yang melakukan tawaf di Baitul Makmur itu.
Ia dikatakan mempunyai kedudukan
yang bertepatan dengan kedudukan Kaabah di bumi.
Di situ juga baginda melihat ada
seorang lelaki yang wajahnya dikatakan hampir menyerupai Rasulullah sendiri.
Lalu baginda bertanya kepada Jibrail
siapa lelaki berkenaan. Jibrail berkata: "Dialah nenek moyang kamu, Nabi
Ibrahim."
Baginda sungguh gembira dengan
pertemuan ini kerana dapat mengenali Nabi Ibrahim yang mempunyai sejarah
kenabian sangat hebat terutama mampu mengalahkan Raja Namrud, berhijrah ke
Palestin dan terpaksa meninggalkan isterinya Siti Hajar dan si anak Nabi
Ismail. Dari situ ia menjadi titik permulaan pembukaan Kota Mekah dan
mendirikan Kaabah seperti yang diperintahkan oleh Allah.
Sejurus pertemuan yang sungguh
bermakna itu, baginda berjalan sehingga ke penghujung langit ketujuh.
Berubah bentuk
Di situ baginda melihat bagaimana
malaikat Jibrail yang menyerupai manusia berubah kepada bentuk asalnya. Bentuk
yang sama seperti yang baginda pernah temui buat pertama kali semasa berjalan
ke pulang ke rumah dari Gua Hira'.
Kebenaran perkara ini tidak dapat
disangkal. Ia benar-benar terjadi sebagaimana yang disebut dalam al-Quran,
iaitu ayat 13 hingga 18 surah an-Najm yang bermaksud: Dan sesungguhnya Muhammad
telah melihat Jibrail itu dalam rupanya yang asli iaitu berdekatan dengan
Sidratul Muntaha, yang juga berdekatan dengan syurga al Makwa, (Muhammad
melihat Jibrail) ketika di Sidratul Muntaha dilitupi oleh sesuatu yang
melitupinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu
dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian
tanda-tanda (kekuasaan) Tuhan-Nya yang paling besar.
Selain bagi mengesahkan pertemuan
Nabi Muhammad dengan malaikat Jibrail pada rupanya yang asal, ayat ini juga
sebagai mengesahkan mengenai pertemuan agung antara Nabi SAW dengan Allah
Rabbul Jalil secara bersemuka.
Inilah keistimewaan Nabi Muhammad
dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan jaga dan bersemuka walaupun pertemuan
tersebut tidak turut dihadiri oleh malaikat Jibrail.
Sebelum itu Jibrail telah meminta
Nabi Muhammad mara ke hadapan iaitu memasuki Sidratul Muntaha, tempat sangat
luar biasa yang tidak akan mampu terfikir oleh manusia biasa.
Apabila Nabi Muhammad turut
mengajak malaikat Jibrail untuk bersama-sama dengan baginda, Jibrail berkata:
"Kalau aku selangkah mara ke hadapan, maka aku akan hangus terbakar."
Lalu di hadapan Allah itu yang
dikatakan jaraknya hanyalah 'dua busur panah' atau lebih dekat lagi dari itu,
Nabi Muhammad diperintahkan sembahyang 50 waktu sehari semalam.
Iaitu ibadat menyembah-Nya untuk
dilakukan oleh Nabi Muhammad dan seluruh umat baginda setiap hari.
Berbanding ibadat lain yang
difardukan melalui turunnya wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail namun
ibadat solat adalah perintah secara langsung daripada Allah.
Sebab itu di hari kiamat perkara
pertama yang ditanyakan oleh Allah terhadap setiap individu umat Islam ialah
mengenai perihal solatnya.
Segala amalan kebaikan dan
kebajikan yang lain seolah-olah tidak bermakna jika seseorang itu mengabai dan
meninggalkan solat secara sengaja.
Selepas pertemuan itu, Nabi
Muhammad pun turun ke langit ke enam dan bertemu semula dengan Nabi Musa yang
bertanyakan mengenai hasil pertemuan baginda dengan Allah.
"Apa yang Allah perintahkan
untuk umat kamu wahai Muhammad," tanya Nabi Musa.
"Allah memerintahkan aku dan
umatku supaya mendirikan solat 50 fardu waktu sehari semalam," jawab Nabi
Muhammad.
Musa pun berkata lagi: "Kaum
Israel pernah diperintahkan kurang daripada itu tetapi itupun mereka tidak
mampu laksanakan. Kamu naiklah lagi dan minta Allah ringankan (kurang jumlah
fardu) solat itu."
Sesetengah riwayat menceritakan
baginda terpaksa berulang kali menemui Allah semula bagi tujuan untuk
meringankan jumlah fardu solat itu. Sehinggalah akhirnya ditetapkan ibadat
solat itu difardukan lima kali sehari tanpa boleh dikurangkan lagi.
Itupun Nabi Musa tetap menggesa
Nabi Muhammad dikurangkan lagi lima waktu itu.
Lalu baginda pun berkata:
"Aku rasa malu dengan tuhanku, namun aku reda dan aku menyerah diri."
Sepanjang mikraj itu juga Nabi
Muhammad diperlihatkan dengan pelbagai kehidupan di alam akhirat, iaitu alam
yang kekal bakal didiami oleh seluruh umat manusia.
Turut diperlihatkan ialah
pelbagai gambaran bentuk pembalasan terhadap apa juga amalan yang dilakukan
oleh manusia semasa hidup mereka di dunia.
Namun yang paling berkesan pada
baginda yang diceritakan kepada para pengikutnya ialah mengenai gambaran syurga
dan neraka.
Apa pun gambaran mengenai syurga
dan neraka tersebut, namun yang jelas kedua-duanya wujud di akhirat sebagaimana
yang disebut berkali-kali dalam al-Quran.
Namun itu pun masih tidak dapat
dipercayai oleh sesetengah pihak.
Jadi apabila Nabi Muhammad telah
melihatnya sendiri dengan mata kepala baginda, adakah kita masih tidak
mempercayainya lagi?
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aDuZwMRU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan