ARKIB : 03/11/2009
KHAULAH binti Hakim adalah isteri
kepada seorang pemimpin kaum Muhajirin. Suaminya bernama Usman bin Madzun.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu as-Saib dan
Abdurrahman. Khaulah adalah antara wanita yang awal memeluk Islam.
Khaulah memainkan peranan penting
dalam kehidupan Nabi Muhammad selepas Siti Khadijah meninggal dunia.
Khaulah berusaha mengembirakan hati
Nabi Muhammad. Siti Khadijah adalah isteri Nabi Muhammd. Kematian Siti Khadijah
menyebabkan Nabi Muhammad menjadi sedih dan pilu.
Bagi menggembirakan Nabi
Muhammad, Khaulah telah memberikan cadangannya. Khaulah mencadangkan supaya
Nabi Muhammad mencari pengganti Siti Khadijah. Akhirnya Khaulah berjaya melamar
Saudah dan Aisyah sebagai isteri Nabi Muhammad.
Khaulah begitu dihormati oleh
Nabi Muhammad. Dia juga adalah wanita yang bijak bersastera dan fasih
berkata-kata. Dia begitu terkenal dengan syairnya yang indah-indah.
Semasa hidupnya, Khaulah telah
melaporkan sebanyak 15 buah hadis daripada Nabi Muhammad. Khaulah sangat
terkenal di kalangan isteri-isteri Nabi Muhammad. Khaulah sering menziarahi
isteri-isteri Nabi Muhammad.
Pada suatu hari, Khaulah datang
ke rumah isteri Nabi Muhammad. "Saya lihat wajah awak kusam. Diri awak
pula tidak secantik hari-hari lain. Mengapa?" tanya isteri Nabi Muhammad.
Khaulah tidak menjawab. Kemudian
dia duduk disebelah isteri Nabi Muhammad.
"Cuba awak lihat pakaian
awak ini. Nampaknya sudah lusuh dan koyak. Bukankah suami awak itu orang
kaya?" tanya isteri Nabi Muhammad.
Tiba-tiba Khaulah berkata,
"Saya tidak kisah dengan semua itu. Masalah yang saya hadapi ini tidak ada
kena mengena dengan kekayaan suami saya."
"Jika itu bukan halnya,
mengapa awak bermuram sahaja?" tanya isteri Nabi Muhammad.
"Saya memikirkan hal suami
saya. Pada malam hari, suami saya tidak henti-henti sembahyang sunat. Pada hari
siang pula dia sering berpuasa," jelas Khaulah.
Berita itu sampai ke pengetahuan
Nabi Muhammad. Nabi Muhammad bertindak serta merta berjumpa dengan suami
Khaulah.
"Wahai Usman, awak telah
membuat hati isteri awak kecewa. Dirinya tidak terurus kerana memikirkan hal
diri awak," kata Nabi Muhammad.
Suami Khaulah mendengar
penjelasan Nabi Muhammad. Lalu suaminya bertanya, "Apa yang tidak kena
dengan Khaulah? Selama ini kami hidup aman sahaja."
Nabi Muhammad terus bertanya,
"Wahai Usman, awak berpuasa setiap hari dan sembahyang sunat pada setiap
malam?"
"Ya. Saya melakukan semua
amal ibadat itu hanya untuk beribadah kepada Allah," jawab Usman.
Nabi Muhammad mendengar
penjelasan Usman lalu berkata, "Usman, awak ikut seperti saya. Jangan awak
terus-menerus berpuasa setiap hari. Begitu juga dengan sembahyang malam.
Anggota badan awak ada hak terhadap awak. Isteri awak ada hak terhadap awak.
Keluarga awak juga ada hak terhadap diri awak. Awak perlu tidur, sembahyang dan
berbuka. Awak perlu penuhi tuntutan hak itu."
Usman berasa insaf dan sedar atas
tindakan yang dilakukan terhadap isteri dan keluarganya. Dia sedar bahawa dia
perlu menunaikan nafkah zahir dan batin serta tanggungjawabnya sebagai seorang
suami.
Sejak hari itu Usman mengikuti
nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Khaulah pun pergi berjumpa dengan
isteri Nabi Muhammad. Pada kali ini kelihatan wajah Khaulah semakin cantik dan
gembira.
"Bagaimana keadaan awak
sekarang?" tanya isteri Nabi Muhammad kepada Khaulah.
"Alhamdulillah. Sekarang
saya rasa aman dan bahagia hidup bersama suami saya," jawab Khaulah.
"Sekarang ini saya lihat
awak semakin cantik dan menawan. Pasti suami awak bertambah sayang terhadap
awak," kata isteri Nabi Muhammad mengusik Khaulah.
Mereka tersenyum bersama-sama.
Khaulah adalah wanita yang baik. Siti Aisyah melaporkan bahawa wanita yang
menawarkan diri kepada Nabi Muhammad untuk dikahwininya ialah Khaulah binti
Hakim. Dia adalah wanita mukminah seperti yang dijelaskan dalam surah al-Ahzab
ayat 50.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Yc38k2Uc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan