ARKIB : 12/10/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SETIAP hari Umaiyyah bin Khalaf
menantikan berita Nabi Muhamamd akhirnya berjaya mati dibunuh oleh hambanya,
Bilal bin Rabah.
Beliau tidak senang duduk selagi
berita kejayaan pembunuhan itu tidak dibawa pulang oleh Bilal.
Sebenarnya pembunuhan Nabi
Muhammad itu bukanlah menjadi matlamat utama si Umaiyyah tetapi beliau
membayangkan nama besar yang bakal diperoleh andai misi 'suci' ini berjaya
disempurnakan oleh Bilal.
Tentu Umaiyyah akan dipuja,
disanjung sehingga tujuh keturunan tidak habis diperkatakan kerana kehebatannya
kerana berjaya membunuh baginda Rasulullah!
Namun setiap hari Umaiyyah
dihampakan oleh pelbagai alasan Bilal kerana masih tidak berjaya untuk membunuh
manusia yang mulia, Nabi Muhammad itu.
Sedangkan apa yang berlaku di
belakang Umaiyyah, hamba kesayangannya itu sedang menikmati detik-detik
keislaman malah Bilal sentiasa berada di sisi Rasulullah.
Untuk membunuh baginda boleh
dilakukan bila-bila masa sahaja. Namun apabila bercakap soal keimanan yang
kental dan rasa kasih yang mendalam terhadap Pesuruh Allah itu, Bilal sama
sekali tidak akan menikam seseorang yang menyebarkan sebuah agama, antara
ajarannya meletakkan semua manusia adalah sama rata, sama taraf.
Juga seseorang yang begitu
menjadi obor memberikan beliau semangat untuk menikmati kehidupan sebagai
manusia yang merdeka.
Tidak sesekali Bilal akan cuba
mencederakan Nabi Muhammad!
Malah Bilal sedia mempertahankan
Nabi Muhammad daripada apa juga ancaman dan cubaan yang buruk dari mana-mana
pihak yang memusuhi baginda.
Sehinggalah selepas peristiwa
keluarga Amar bin Yasir, iaitu bapanya Yasir, ibunya Sumayyah dan adik
lelakinya, Abdullah yang diseksa dan mati kerana keengganan mereka untuk meninggalkan
Islam.
Umaiyyah sentiasa memberi amaran
bahawa seksaan seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berani
memeluk Islam. Hatta isteri mahupun anak-anaknya sendiri!
Namun tanpa disangka kata-kata
keras Umaiyyah itu hanya menerima ketawa yang besar oleh para pembesar Quraisy
yang lain. Ini menyebabkan Umaiyyah kehairanan kerana tidak mengetahui apa-apa.
"Kamu Umaiyyah, ibarat
berkawal siang malam tetapi rumah sendiri dimasuki pencuri," kata Abu
Lahab sambil berkias.
Umaiyyah benar-benar tidak faham
kiasan di sebalik kata-kata Abu Lahab itu.
"Kamu hanya pandai bercakap
sedangkan kamu tidak tahu apa yang berlaku kepada hambamu sendiri," balas
Abu Lahab.
Umaiyyah kemudiannya benar-benar
tersentak apabila Abu Lahab menceritakan mata kepalanya yang melihat sendiri
Bilal meludah patung-patung berhala yang bersepah di sekitar Kaabah sebagai
tanda dia telah berpaling daripada ajaran menyembah patung-patung itu.
"Bilal mengaku bahawa
Tuhannya sekarang adalah Allah. Itu bukti Bilal sudah menjadi pengikut
Muhammad. Perbuatan hamba kamu itu satu penghinaan yang besar kepada
kita," tegas Abu Lahab.
Umaiyyah benar-benar tidak
menyangka hamba yang paling dipercayainya itu sanggup berpaling tadah dan
berani menipu.
Dia berasa sangat malu. Pada hal
Umaiyyah telah menawarkan kemerdekaan kepada Bilal jika hambanya itu berjaya
membunuh Nabi Muhammad. Satu tawaran yang sangat diidam-idam dan sama sekali
tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana hamba.
Mereka lazimnya sanggup melakukan
apa sahaja bagi mendapatkan status bebas daripada perhambaan itu.
Tetapi ternyata pengaruh Nabi
Muhammad lebih kuat, seolah-olah Muhammad kini merupakan tuan kepada Bilal,
bukannya dirinya!
Jadi mengertilah kini Umaiyyyah
mengapa misi Bilal sering tertangguh dengan pelbagai alasan. Rupa-rupanya
hambanya tidak menikam Muhammad, tetapi telah menikam beliau dari belakang!
"Sekiranya Bilal itu hamba
milik aku, pasti sudah aku bunuh dia. Berani dia menghina tuhan kita,"
kata Abu Suffian pula dengan sengaja bagi menambahkan kemarahan Umaiyyah.
Tanpa mampu berkata-kata lagi,
Umaiyyah terus pulang ke rumah yang diiringi dengan gelak tawa para pembesar
Mekah itu.
Setiba di rumah kemarahan
Umaiyyah tidak dapat dibendung lagi apabila mendengarkan Bilal tanpa sebarang
perasaan takut atau ragu-ragu sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci
al-Quran.
Walaupun begitu merdu dan
mengasyikkan bacaan si Bilal namun semua itu langsung tidak dapat memadamkan
api kemarahan Umaiyyah, malah semakin memarakkan lagi perasaan geram dan sakit
hati dia terhadap Bilal.
"Aku suruh kamu bunuh
Muhammad, bukan menjadi pengikutnya!!!" bentak Umaiyyah sambil terus
memukul Bilal tanpa henti.
Bilal yang ketika itu sudah
bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan telah menunjukkan kedegilan yang
luar biasa dengan langsung tidak mempedulikan nasib yang bakal diterima.
Malah beliau langsung tidak
menunjukkan rasa takut malah cuba mengajak Umaiyyah untuk menerima Islam.
Kata-katanya itu menyebabkan
Umaiyyah bertempik marah dan Bilal terus dipukul.
Hamba-hamba lain hanya mampu
memandang sahaja apabila Bilal teruk diseksa dan dibalun oleh tuan mereka.
Malah ada yang menyuruh Umaiyyah supaya Bilal itu terus dibunuh sahaja.
Namun Umaiyyah tidak mahu Bilal
segera mati kecuali hendak diseksanya terlebih dahulu sebelum Bilal akan mati
secara perlahan-lahan.
Diikat
Lalu apa yang berlaku selepas itu
Bilal diikat leher tangan dan kaki yang kemudian diheret seperti anjing untuk
dibawa ke padang pasir yang tandus dan panas terbakar untuk diseksa dengan
pelbagai seksaan yang pedih.
Umaiyyah mahu hambanya itu
menerima nasib dan seksaan yang lebih pedih dan teruk daripada yang dialami
oleh keluarga Yasir sebelum ini.
Apa yang berlaku kepada Bilal di
tangan Umaiyyah selepas itu adalah seperti yang kita telah ketahui. Sudahlah
hidupnya selama ini begitu terseksa sebagai hamba abdi dan kini hanya kerana
dia mengaku Islam menyebabkan seksaan terhadapnya tiada kesudahan.
Malah semakin teruk di peringkat
yang paling zalim. Seolah-olah Umaiyyah mabuk darah Bilal yang terpercik ke
sana sini akibat diseksa tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melihat
Bilal itu mati!
Dua hari dua malam lamanya Bilal
diseksa tanpa henti tanpa sesiapa dapat menahan amukan marah Umaiyyah yang
merasakan malu yang ditanggung tidak dapat dibeli walaupun sudahnya Bilal mati.
Sehinggalah Abu Bakar kemudiannya
sanggup membeli Bilal dari Umaiyyah dengan tawaran harga yang tinggi.
Namun usaha atau urusan jual beli
Bilal itu sebenarnya tidak mudah. Umaiyyah tetap enggan melepaskan Bilal,
selagi hambanya itu tetap mengaku bahawa Allah itu adalah tuhannya dan tidak
kembali semula ke ajaran yang asal.
"Sekalipun Bilal ini mati
selepas saya membeli dari kamu Umaiyyah, kamu masih tidak rugi apa-apa kerana
saya telah menjualnya kepada kamu dengan harga yang cukup mahal.
"Malah saya sebenarnya yang
rugi kerana tidak ada faedahnya saya membeli seorang hamba yang pastinya akan
menemui maut, Bilal hanya menunggu masa sahaja kerana sesiapa sahaja jika teruk
diseksa seperti ini pasti sudah lama dijemput ajal," kata Abu Bakar penuh
harap.
Akhirnya Umaiyyah termakan juga
dengan kata-kata Abu Bakar itu dan sekurang-kurangnya dia telah menunjukkan
kepada rakan-rakannya dan seluruh penduduk Mekah bahawa tidak ada sesiapa yang
terlepas jika cuba berpaling dari menyembah berhala.
Umaiyyah akhirnya setuju untuk
menjual Bilal kepada Abu Bakar, malah secara sinis beliau yakin Bilal pasti
akan mati dan percuma sahaja sahabat baik Nabi Muhammad itu menjual hamba itu
kepadanya.
Seperti yang kita ketahui juga,
bahawa Bilal bukan sahaja mampu bertahan, malah dipanjangkan Allah akan
usianya. Namun yang lebih hebat Bilal mencipta nama yang cukup hebat dan besar
dalam sejarah Islam sedangkan asalnya dia seorang hamba abdi!
Umurnya tidak sahaja panjang,
malah beliau merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW yang
melewati sehingga kewafatan baginda, Bilal tetap teruskan perjuangan menegakkan
syiar Islam.
Malah 'kebangkitan' Bilal
menyebabkan bekas majikannya, Umaiyyah menyesal tak sudah kerana menjualkan
hambanya itu kepada Abu Bakar. Malah dia sanggup membeli semula Bilal dari Abu
Bakar dengan harga yang berlipat ganda tinggi berbanding harga yang dijual sebelum
ini.
Umaiyyah sama sekali tidak
menyangka Bilal akan sembuh daripada luka-luka yang parah malah begitu
menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka, malah lebih teruk lagi Bilal
kini menjadi seteru yang memerangi golongan kafir Quraisy.
Ini apabila Bilal turut serta
dalam Perang Badar dan berjaya mengalahkan mereka yang dahulunya merupakan tuan
kepada Bilal.
Bagaimana dengan nasib Umaiyyah
akhirnya, berjayakah beliau membalas dendam terhadap Bilal kerana memalukannya
di hadapan orang ramai?
Beliau akhirnya mati malah
kepalanya berjaya dipenggal sehingga putus. Siapa yang berjaya membunuh
Umaiyyah itu dan ikuti seluruh kisah hidup Bilal melalui buku karya Abdul Latip
Talib, terbitan PTS, Bilal Bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YaX8Updf
© Utusan Melayu (M) Bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan