ARKIB : 22/02/2010
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Pertubuhan Perdagangan Dunia
Islam menetapkan ciri mata wang dinar, iaitu berat 4.25 gram, aloi 22 karat
emas (0.916) dan diameter, 23 milimeter iaitu mengikut standard yang ditetapkan
oleh Saidina Umar Al Khattab ketika menjadi khalifah, antara sumbangan besar
Umar kepada dunia Islam.
KISAH Saidina Umar yang berdepan
dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira sebagai satu
penghinaan kepadanya amat diketahui umum.
Namun sebelum itu, dikisahkan
bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau Makhzum, bernama
Nu'aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah memeluk
Islam itu.
Dalam sesetengah riwayat yang
lain, dikatakan Nu'aym sebenarnya terdiri dari kalangan kafir Quraisy, bukan
yang telah memeluk Islam seperti yang disebutkan sebelum ini.
Maka Nu'aym bertujuan menyindir
Umar mengenai Fatimah yang memeluk Islam ketika Umar tergesa-gesa dan beria-ia
hendak membunuh Nabi Muhammad. Apapun niat sebenar Nu'aym itu, menyebabkan Umar
mengamuk setiba di rumah adiknya itu.
Umum mengetahui bahawa Fatimah
dan suaminya Saad adalah kalangan yang terawal memeluk Islam malah dikatakan
kekuatan iman suaminya itu antara 10 orang yang dijamin memasuki syurga.
Ketika Umar sampai ke rumah
adiknya itu, beliau terdengar suara yang sedang membaca al-Quran. Iaitu Fatimah
dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang
sahabat mereka, Khabbab bin Arat.
Khabbab dikatakan dihantar
sendiri oleh Nabi Muhammad untuk membantu atau mengajar Fatimah dan Saad
membaca al-Quran.
Apabila terdengar mereka membaca
al-Quran, kemarahan Umar tidak boleh ditahan-tahan lagi lalu dia mengamuk di
hadapan pintu rumah Fatimah.
Semua yang ada dalam rumah itu
begitu terkejut dan wajah masing-masing pucat lesi. Namun Fatimah dengan segera
menyembunyikan Khabbab dan membuka pintu untuk menghadapi apa juga kemungkinan
yang akan berlaku apatah lagi abangnya itu terkenal dengan sikap kejam, tegas
dan garang tanpa mengira sesiapa.
Tanpa banyak soal Umar terus
bertanya kepada Fatimah: "Apa yang aku dengar tadi?"
"Tidak ada apa-apa!"
Kata Fatimah dengan wajah yang agak selamba.
"Aku telah mendengar tadi,
jangan bohong! Adakah bacaan yang aku dengar tadi adalah dari Muhammad?"
Bentak Umar.
Adik dan ipar Umar menjadi serba
salah untuk menjawab.
Lalu Umar bertanya terus kepada
iparnya: "Adakah kalian sudah murtad?"
Tanpa sebarang ragu-ragu Saad pun
menjawab dengan tenang: "Kami tidak murtad wahai Umar tetapi kami semua
telah masuk Islam."
Belum sempat Saad menyudahkan
kata-katanya itu, satu tamparan yang kuat telah singgah ke mukanya sehingga
berdarah hidung suami Fatimah itu.
Malah dalam sesetengah riwayat
yang lain, Umar bukan sahaja menampar adik iparnya itu malah diterkamnya Saad
lalu dihenyak-henyak dengan kakinya sehingga berdarah-darah.
Melihat suaminya teruk
dicederakan Umar, Fatimah pun cuba menghalang abangnya itu daripada terus
mencederakan Saad. Ini menyebabkan Umar bertambah marah malah adik
kesayangannya itu turut menjadi mangsa.
Fatimah juga menurut riwayat Ibnu
Ishaq telah teruk dipukul oleh abangnya sehingga cedera dan berdarah. Kejadian
teruk dipukul oleh Umar ini menyebabkan Fatimah menangis, bukan kerana
menanggung kesakitan tetapi sedih mengenai sikap abangnya itu yang begitu kuat
memusuhi Islam.
Sehinggakan adik dan ipar sendiri
sanggup dipukul malah dibunuh jika tidak menjadi halangan.
Tangisan Fatimah itu akhirnya
menyebabkan hati Umar bertukar menjadi sayu, lembut dan simpati terhadap
adiknya itu.
Lalu Umar berkata: "Baiklah,
tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!"
Tetapi Fatimah berkeras tidak
mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran
kerana akan diapa-apakan oleh Umar.
Ini menyebabkan Umar terpaksa
bersumpah: "Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak
baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!"
Apabila Fatimah melihat Umar
semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu:
"Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana
engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik
sedangkan syirik itu merupakan najis.
"Kalau benar engkau hendak
membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau
boleh membacanya."
Oleh kerana Umar begitu tertarik
untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti
sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan
bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu.
Umar yang tidak lagi menunjukkan
sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi
sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya
Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan
dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku.
Sejurus membaca ayat itu, Umar
pun berkata: "Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui.
Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini."
Umar yang telah bertukar nada 360
darjah itu kemudiannya meminta untuk berjumpa sendiri dengan Rasulullah.
Khabbab yang sedari tadi menyorok di rumah Fatimah itu pun keluar dan
menawarkan diri untuk membawa Umar bertemu Nabi Muhammad.
"Terimalah berita gembira
wahai Umar, sesungguhnya aku sentiasa mengharapkan doa Rasulullah agar engkau memilih
jalan Islam akan menjadi satu kenyataan juga akhirnya," kata Khabbab.
Lalu mereka menuju ke Darul
Arqam, rumah milik seorang lagi sahabat, iaitu Al Arqam bin Abi Arqam yang
menawarkan kediamannya sebagai pusat pengajian mengenai Islam yang diketuai dan
dipimpin oleh Rasulullah.
Masih berpakaian baju perang
lengkap pedang tersisip di pinggang, Umar dan Khabbab pun tiba di Darul Arqam
yang dikatakan terletak agak tersorok di lereng Bukit Safa yang ketika itu
telah tersebar berita mengenai baginda bakal diserang atau dibunuh oleh Umar.
Bersiap sedia
Maka seluruh para pengikut dan
sahabat yang berada dalam Darul Arqam itu telah bersiap sedia untuk
mempertahankan baginda lebih-lebih lagi bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul
Mutalib. Tanpa mereka mengetahui apa yang telah terjadi di rumah adik Umar,
Fatimah sebentar tadi.
Sebaik sahaja tiba, Umar pun
mengetuk pintu dan menyatakan hajat untuk menemui Rasulullah.
Serentak itu juga, Hamzah bangun
dan cuba untuk menghunuskan senjata.
"Biar aku yang bunuh Umar
ini dengan pedangku ini," tegas Hamzah.
Hamzah merupakan satu-satunya
lawan atau seteru yang dikatakan boleh mengalahkan Umar walaupun di seluruh
kota Mekah, Umar dikatakan seorang yang sangat gagah dan perkasa.
Seperti yang kita selalu baca
sebelum ini ketokohan dan kegagahan Hamzah tiada tolok banding malah sanggup
menggadaikan nyawa sehingga terkorban demi mempertahankan Islam. Tidak sekadar
Nabi Muhammad itu merupakan anak saudaranya.
Namun baginda meminta supaya
Hamzah tidak bertindak melulu sehinggalah baginda sendiri membuka pintu dan
mempersilakan Umar masuk.
Hamzah terpaksa patuh dan
masing-masing seperti menahan nafas apabila Nabi Muhammad memberanikan diri
membuka pintu tanpa sebarang pengawal kerana mereka tahu Umar seorang yang
sanggup melakukan apa sahaja, menurut nafsu dan amarahnya itu.
Sebaik sahaja Umar melangkah
masuk dengan perawakannya yang gagah itu, beliau terus mendekati Nabi Muhammad.
Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat
sehingga Umar jatuh terduduk di hadapan Rasulullah.
Sambil duduk berhadapan dan
bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: "Bila lagi kamu hendak
menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga
ditimpa bala dan ancaman dari Allah? Sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al
Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan
Umar bin al Khattab ini!"
Tanpa sebarang banyak pertanyaan
apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat
mengejutkan semua pihak.
"Aku menyaksikan bahawa
tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!"
Betapa bersyukur seluruh alam
apabila Umar yang keras bak batu itu akhirnya tunduk kepada keesaan Allah.
Pengislaman Umar itu tentunya
menimbulkan pelbagai reaksi selain begitu mengejutkan orang ramai.
Ikuti keluaran akan datang,
bagaimana pengislaman Umar itu memberikan impak yang sangat besar terhadap
perkembangan Islam itu sendiri.
Sebelum itu, ingin mengenali Umar
dengan lebih dekat lagi?
Seperti yang dipetik dari buku
Sejarah Khalifah Rasulullah karya Prof. Dr. Amin Qudah (Terbitan PTS 2009) Umar
seperti yang diceritakan sendiri oleh anaknya Abdullah.
"Beliau seorang lelaki yang
berkulit putih kemerah-merahan, tinggi dan botak kepalanya. Seorang yang sangat
berbadan besar, apabila dilihat pada ketinggiannya itu seakan-akan nampak
seperti orang yang sedang menaiki kenderaan. Bapa seorang yang kidal dan
mempunyai suara yang kuat dengan kewibawaan yang sungguh jelas dan
ketara".
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Zqx9Dfgi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan