ARKIB : 02/06/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my
UMAT di zaman Rasulullah SAW
dianggap sangat bertuah. Tidak sahaja mereka berpeluang bertemu dengan baginda
namun yang lebih beruntungnya lagi dapat melihat sendiri segala
kejadian-kejadian mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda.
Ini termasuklah kejadian bulan
terbelah dua, antara yang benar-benar berlaku dalam usaha Nabi Muhammad untuk
menyakinkan kebenaran dakwah baginda itu.
Jika kita menjadi pengikut
baginda ketika itu, tentu segala kejadian mukjizat yang berlaku akan
menambahkan lagi keimanan atau kepercayaan kepada Allah SWT.
Namun, perkara seperti ini sukar
diterima oleh puak-puak kafir Quraisy. Mereka tetap dengan sikap degil mereka.
Walaupun peristiwa Israk dan
Mikraj tidak ada sebarang kesangsian, dengan segala macam bukti dan keterangan
daripada al-Quran namun kedegilan tetap makin menebal!
Malah mereka sendiri kadang kala
meminta baginda tunjukkan bukti! Kononnya dengan bukti tersebut mereka akan
menyerah kalah kepada kebenaran.
Namun yang sebenarnya mempunyai
niat yang busuk, kononnya Rasulullah tidak akan mampu menunjukkan sebarang
bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk dek
akal.
Andai, bukti tersebut gagal
ditunjukkan oleh baginda maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji
Nabi.
Namun baginda tetap menyahut apa
juga cabaran, asalkan mereka akhirnya percaya kepada keesaan Allah yang Maha
Agung.
Iaitu pada suatu hari, sekumpulan
pembesar Quraisy itu datang menemui baginda, iaitu di antara mereka termasuklah
Al Walid Al Mughirah, Abu Jahal Hisham, Al As Wail, Al Aswad Muthalib, An
Nadhru Al Harith.
Peristiwa ini dikatakan berlaku
sebelum baginda melakukan hijrah ke Madinah dan diriwayatkan dalam banyak
catatan sejarah sehinggalah mengikut sastera Melayu klasik sendiri, kisah bulan
terbelah dua ini menjadi kisah-kisah penglipur lara yang popular.
Dalam Hikayat Nur Muhammad dan
Nabi Bercukur dan Nabi Wafat misalnya, ada diceritakan mengenai kisah bulan
terbelah ini, pada bahagian kedua dari tiga bahagian yang ada, iaitu: Hikayat
Nabi Bercukur iaitu menceritakan mukjizat Nabi SAW, kisah bulan terbelah.
Hikayat ini telah diterjemahkan
ke dalam rumi dengan tajuk Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Para pembesar itu mencabar
baginda supaya menunjukkan mukjizat yang mereka mahu melihat sendiri melalui
mata kepala walaupun mereka sepatutnya telah beriman dengan pengalaman
perjalanan Nabi Muhamad sepanjang Israk dan Mikraj itu yang lalu, adalah benar.
Mereka berkata, "Jika kamu
seorang yang benar (seorang nabi yang diutuskan oleh Allah) belahkan bulan yang
sedang mengambang penuh pada malam ini kepada dua bahagian".
"Adakah jika permintaan ini
dipenuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama
menyembah Allah, tuhan yang satu?" kata baginda pula.
Pembesar-pembesar itu pun
menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang Rasulullah berikan.
Lalu baginda pun berdoa dan
memohon kepada Allah untuk membelah bulan sebagai perkara yang luar biasa untuk
dijadikan tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi.
Sejurus kemudian tanpa disangka
oleh para pembesar Quraisy itu mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan
mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah
kepada dua bahagian.
Tetapi terpisah menjauhkan diri
antara satu sama lain.
Separuh boleh dilihat di sebalik
gunung di sebelah kiri dan separuh atau sebahagian bulan lagi dapat disaksikan
berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.
Bulan tidak lagi berbentuk bulat
sebagaimana lazimnya!
Mereka yang menyaksikan dalam
antara percaya dengan tidak, hampir-hampir tidak mendengar apabila baginda
berkata; "Saksikanlah kejadian ini iaitu sebagai bukti kebenaran mukjizat
yang dikurniakan Allah dan risalah kenabian yang Allah amanahkan
kepadaku,"
Begitu pun setelah menyaksikan
kejadian yang sungguh luar biasa itu pun, kalangan kafir Quraisy tidak menepati
janji, mereka tidak mahu mempercayai apa tah lagi untuk menerima dakwah nabi.
Sedangkan kejadian bulan terbelah
ini memang benar-benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang
mempertikaikannya kerana bertentangan dengan sains dan akal yang waras namun
atas nama mukjizat, kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah ia tidak dapat
dibuktikan secara saintifik.
Sebagaimana kebanyakan
mukjizat-mukjizat yang Allah berikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad.
Ini termasuk mukjizat Nabi Isa
a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, tiada sesiapa yang dapat
pertikaikan lagi.
Walaupun pada hakikatnya, yang
mati tetap akan mati, tidak mungkin akan hidup kembali.
Kejadian bulan terbelah dua ini
sebenarnya disaksikan oleh seluruh penduduk Tanah Arab ketika itu malah
sebenarnya seluruh semenanjung Tanah Arab termasuk negara-negara lain yang
mengalami waktu malam pada hari kejadian tersebut.
Tetapi sayangnya, mereka yang
meminta supaya ditunjukkan sebarang kejadian luar biasa, akhirnya mereka
sendiri tidak mahu percaya walaupun bulan benar-benar telah terbelah di hadapan
mata!
Kafir Quraisy sangat mengagumi
melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah
yang dibawa oleh Nabi.
Mereka percaya kejadian itu
benar, tetapi dituduhnya pula baginda seorang ahli sihir yang berkebolehan
untuk membelah bulan tersebut!
Ini sebagaimana disebutkan dalam
al-Quran; Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah
mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata: "Ini
adalah sihir yang luar biasa" dan mereka mendustakannya dengan mengikut
hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya. (al-Qamar: 1-3)
Sebenarnya tidak menghairankan
jika mereka tidak percaya, malah membuat pelbagai pertikaian termasuk sihir dan
sebagainya. Ini termasuklah Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikan
kejadian itu walaupun melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.
Kerana itulah sifat degil yang
dimiliki oleh kalangan kafir Quraisy, yang tidak mahu menyertai baginda kerana
bimbang akan dipersendakan oleh mereka yang lain.
Sedangkan mereka juga bertanyakan
kepada kafilah-kafilah yang selamat sampai ke Kota Mekah selepas berdagang di
luar kota, adakah para pedagang itu juga melihat kejadian bulan terbelah itu
semasa dalam perjalanan pulang itu.
Bulan terbelah dua
Masing-masing mengakui ada
melihat kejadian bulan terbelah dua itu dan sangat tertanya-tanya apakah
sebenarnya yang telah berlaku.
Apabila mendengarkan itupun,
kalangan kafir Quraisy masih enggan untuk mempercayai Nabi Muhammad. Sedangkan
jika baginda melakukan sihir, tentunya yang disihir hanya penduduk Mekah atau
kalangan kafir Quraisy itu sahaja tidak mungkin melibatkan sehingga ke kawasan
luar Kota Mekah.
Walau apa pun, kejadian yang
sedemikian luar biasa, sebagai tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung dan Maha
Esa, langsung tidak dapat diterima oleh musuh-musuh baginda.
Pastinya kekecewaan menjalar
masuk ke hati baginda walaupun ia begitu menguatkan lagi keimanan kepada para
pengikut baginda yang setia dan taat.
Para pengikut baginda malah
sesiapa pun sebenarnya mungkin agak ketakutan apabila tanpa disangka bulan
boleh terbelah dua, tetapi mujur sahaja objek yang menerangi malam itu
bercantum semula.
Namun, pengajarannya menunjukkan
bahawa Allah itu sangat berkuasa, boleh melakukan apa sahaja; kun faya kun!
Tiada tandingannya dan sebagai
hamba-hamba-Nya sewajibnya kita sujud dan menginsafi diri.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aEFb7kt5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan