ARKIB : 06/04/2010
ASY-SYAIMA atau nama sebenarnya
Khadzzamah atau Hadzafah ialah anak perempuan Halimatus as-Sadiah. Halimatus
as-Sadiah ialah ibu susuan Nabi Muhammad.
Asy Syaima turut menjaga dan
mengasuh Nabi Muhammad semasa kecil. Dia dan Nabi Muhammad adalah saudara
susuan. Dia selalu membantu ibunya menjaga Nabi Muhammad.
Semasa umur Nabi Muhammad dua
tahun, Halimah dikehendaki menghantar Nabi Muhammad kepada ibunya, Aminah.
Namun selepas mendapat persetujuan Aminah, Halimah dapat membawa pulang Nabi
Muhammad dan terus menjaganya sehingga berusia lima tahun.
Nabi Muhammad suka bermain
bersama-sama anak-anak Halimah. Halimah mempunyai tiga orang anak iaitu
Abdullah, Anisah dan Asy-Syaima. Halimah ada menggembala kambing. Sejak Nabi
Muhammad tinggal dengannya kambing-kambingnya mengeluarkan hasil yang banyak.
Semasa Halimah mengawal
kambing-kambingnya, Nabi Muhammad akan diawasi dan dijaga oleh Asy-Syaima.
"Mari ke sini Muhammad.
Kakak akan bawa awak bermain di sana," kata Asy-Syaima sambil mendukung
Muhammad yang masih kecil.
Asy-Syaima sering membantu ibunya
menjaga Nabi Muhammad. Dia akan memastikan Nabi Muhammad berada dalam keadaan
baik. Dia selalu bermain-main dengan Nabi Muhammad. Jika Nabi Muhammad berlari,
dia akan mengejarnya. Jika Nabi Muhammad nampak keletihan, dia akan mendukung
Nabi Muhammad.
"Jangan main panas,"
ujar Halimah menasihat Asy-Syaima dan Nabi Muhammad.
"Baik, saya akan jaga
Muhammad elok-elok," kata Asy-Syaima kepada ibunya.
"Muhammad mari kita main di
bawah pokok sana," ajak Asy-Syaima.
Nabi Muhammad segera menuruti
pelawaan Asy-Syaima. Mereka bermain di bawah pokok. Sedang asyik mereka
bermain, Asy-Syaima pun menyanyikan satu lagu untuk Nabi Muhammad.
Lagu itu berbunyi, "Wahai
tuhan kami, biarkan Muhammad bersama kami sehingga saya dapat melihat Muhammad
meningkat remaja dan menjadi seorang pemuda. Seterusnya saya dapat melihat dia
menjadi pemimpin yang terhormat dan disegani. Binasakan musuh-musuh dan orang
yang selalu dengki kepadanya. Berilah dia kekuatan dan kemuliaan yang
abadi".
Ungkapan-ungkapan Asy-Syaima itu
akhirnya menjadi kenyataan. Pada suatu hari, Halimah sibuk membuat kerjanya.
Dia terlupa melihat tempat Nabi Muhammad bermain.
Pada hari itu cuaca sangat panas.
Jenuh Halimah mencari Nabi Muhammad disekeliling rumahnya tetapi tidak jumpa.
"Ke manakah agaknya Muhammad
ini?" bisik Halimah sendirian.
Kemudian Halimah teringat
Asy-Syaima sering bermain dengan Nabi Muhammad. Dia segera mendapatkan
anak-anaknya itu. Dia pergi ke tempat permainan yang biasa mereka main.
"Di sinikah kamu berdua.
Hari ini panas terik. Mengapakah kamu biarkan Muhammad bermain di tengah
panas?" tanya Halimah kepada anak perempuannya itu.
Asy-Syaima lantas menjawab,
"Muhammad tidak pernah terkena panas matahari. Saya selalu mengikutinya
dan lihat ada sekelompok awan yang melindunginya. Apabila Muhammad berlari,
awan itu juga turut bergerak pantas. Apabila Muhammad berhenti, awan itu juga
berhenti".
Halimat terkejut mendengar cerita
anak perempuannya itu. Dia seperti tidak percaya dengan cerita anaknya itu.
Lalu Halimah pun bertanya,
"Benarkah? Atau kamu sengaja membuat cerita supaya kamu tidak dimarahi
oleh ibu".
"Benar ibu. Saya berkata
benar," jawab Asy-Syaima.
Halimah menjadi hairan. Dia
melihat wajah Nabi Muhammad. Kejadian itu adalah satu peristiwa aneh yang
berlaku ke atas Nabi Muhammad. Dia dapat merasakan bahawa Nabi Muhammad adalah
seorang anak yang baik.
Kemudian Halimah berkata
sendirian, "Dahulu semasa mula-mula saya bawa Muhammad ke perkampungan
ini, semua kambing peliharaan saya menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang
banyak.
"Pada hal waktu itu tempat
ini mengalami musim kemarau yang panjang. Pada hari ini pula satu lagi kejadian
aneh berlaku kepada Muhammad. Muhammad memang anak yang baik dan
teristimewa".
Selama lima tahun Nabi Muhammad
diasuh dan dijaga oleh Halimah dan dibantu oleh Asy-Syaima. Mereka hidup dengan
aman dan bahagia. Asy-Syaima dan keluarganya sangat dihormati dan dicintai oleh
Nabi Muhammad.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5a7BLMw6t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan