ARKIB : 20/10/2009
NAMA sebenarnya ialah Ummu Hani
binti Abi Talib. Dia adalah anak Fatimah binti Asad. Ummu Hani merupakan isteri
Hubairah bin Amru. Dia mempunyai empat orang anak iaitu Amru, Jaadah, Hani dan
Yusuf.
Selepas Nabi Muhammad dilantik
menjadi nabi, Ummu Hani memeluk agama Islam iaitu pada tahun 8 Hijrah. Suaminya
pula tidak mahu memeluk agama Islam. Hal ini telah menyebabkan Ummu Hani dan
suaminya terpaksa berpisah.
Suaminya meninggalkan Ummu Hani
dan pergi ke Najran di Yaman. Suaminya tinggal di Yaman sebagai pelarian.
Akhirnya suaminya meninggal dunia di sana dalam keadaan kafir.
Ummu Hani merupakan salah seorang
wanita yang melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayatnya dia telah
melaporkan sebanyak 46 buah hadis.
Ummu Hani memiliki sifat yang
baik. Dia juga merupakan ibu yang penyayang terhadap anak-anaknya. Pernah
diceritakan tentang sikap dan adab Ummu Hani ketika di hadapan Nabi Muhammad.
Pada suatu hari, Nabi Muhammad
datang berjumpa dengan Ummu Hani. Tujuan sebenar Nabi Muhammd datang adalah
bagi melamar Ummu Hani.
"Wahai Ummu Hani, saya ingin
melamar awak. Sudikah awak berkahwin dengan saya," tanya Nabi Muhammad.
Ummu Hani tersenyum mendengar
lamaran itu. Kemudian dia menjawab dengan tenang, "Tuan, saya adalah ibu
kepada anak-anak yang ramai. Anak-anak saya sudah tentu memerlukan perhatian
daripada saya. Tambahan pula mereka masih kecil. Sekiranya saya berkahwin
dengan tuan, saya bimbang anak-anak saya akan menyinggung perasaan tuan. Saya
juga bimbang saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai isteri tuan".
Kemudian Nabi Muhammad berkata,
"Sebaik-baik wanita yang menunggang unta ialah wanita Quraisy. Mereka
sangat sayang kepada anak-anak yang masih kecil. Mereka juga pandai menjaga
suami mereka sendiri".
Ummu Hani adalah antara wanita
yang kuat. Dia pernah mengikuti perang Khaibar bersama Nabi Muhammad. Dia juga
seorang yang baik hati dan mempunyai rasa simpati terhadap orang yang susah.
Sejarah Islam mencatatkan bahawa
Ummu Hani pernah menyelamatkan dua orang lelaki iparnya yang akan menerima
hukuman bunuh.
Pada suatu hari Nabi Muhammad
telah menduduki di sebuah bukit di kota Makkah. Kemudian dua orang lelaki
datang berjumpa dengan Ummu Hani. Mereka berdua ialah ipar lelaki Ummu Hani.
Mereka berasal dari suku bani Makhzum.
"Wahai Ummu Hani, tolong
selamatkan kami berdua. Kami akan dibunuh," kata dua orang lelaki iparnya
itu.
Ummu Hani berasa kasihan dan
simpati terhadap mereka berdua. Kemudian Ummu Hani berkata, "Awak berdua
menyorok sahaja di rumah saya. Saya akan bantu dan selamatkan awak
berdua".
"Terima kasih Ummu
Hani," kata iparnya itu.
Kemudian Ummu Hani menutup pintu
rumahnya bagi menyelamatkan iparnya itu. Sebentar kemudian datang saudaranya
iaitu Ali bin Abi Talib ke rumahnya.
"Saya akan bunuh dua orang
lelaki ipar awak itu," kata Ali dengan bersemangat.
Sangat menghormati
Ummu Hani segera mendapatkan Nabi
Muhammad. Nabi Muhammad menyambut kedatangan Ummu Hani dan bertanya,
"Wahai Ummu Hani mengapakah awak datang berjumpa dengan saya?"
Ummu Hani menceritakan segala
peristiwa itu dengan teliti kepada Nabi Muhammad.
"Tolong selamatkan kedua-dua
ipar saya itu wahai Nabi Muhammad," rayu Ummu Hani kepada Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad berkata
kepada Ummu Hani, "Wahai Ummu Hani saya akan melindungi orang yang awak
lindungi. Saya akan beri keamanan kepada kedua-dua ipar awak itu. Ali tidak
boleh membunuh mereka. Tiada sesiapa pun boleh membunuh mereka".
Para sahabat yang ada di tempat
Nabi Muhammad mendengar berita tersebut. Mereka tidak dibenarkan membunuh
kedua-dua ipar Ummu Hani. Peristiwa itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sangat
menghormati Ummu Hani.
Nabi Muhammad pernah menikmati
makanan yang disediakan oleh Ummu Hani. Pada suatu hari Nabi Muhammad bertanya
kepada Ummu, "Awak adakah sedikit makanan yang boleh saya makan?"
Ummu Hani pun menjawab,
"Saya Cuma ada sepotong daging. Saya berasa malu untuk hidangkan kepada
tuan".
"Tidak mengapa. Hidangkan
sahaja kepada saya," kata Nabi Muhammad.
Ummu Hani segera mengambil daging
itu lalu dipotongnya menjadi kecil. Ummu Hani menyediakan air dan garam kepada
Nabi Muhammad. Makanan itu segera dibawanya ke tempat Nabi Muhammad.
"Silakan tuan makan,"
pelawa Ummu Hani.
"Awak ada makanan yang
lain?," tanya Nabi Muhammad.
Ummu Hani terus menjawab,
"Saya hanya ada cuka di rumah ini".
Nabi Muhammad pun berkata kepada
Ummu Hani, "Bawakan cuka itu kepada saya. Sebaik-baik lauk adalah cuka.
Tidak ada kekurangan bagi seseorang yang di dalam rumahnya ada cuka".
Ummu Hani seorang yang
bersopan-santun dan berhati mulia. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
pada tahun 50 Hijrah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YbcHgCPe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan