Ahad, 2 Disember 2018

Bekas-bekas tentera British kini berpersatuan


 
ARKIB : 16/09/2009
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
CHE Onn Neamat (dua dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama ahli-ahli Persatuan Bekas Askar British, baru-baru ini.

DIANGGARKAN ribuan rakyat Malaysia pernah berkhidmat dengan tentera British sebelum perkhidmatan pasukan itu dibubarkan sepenuhnya pada tahun 1972.

Mereka merupakan anggota yang ditugaskan dalam bahagian-bahagian tertentu khususnya dalam bidang teknikal seperti Kejuruteraan Elektrik Mekanikal Diraja dan Semboyan Diraja.

Justeru, selepas pembubaran pasukan tersebut, sebahagian besar anggota tidak lagi meneruskan kerjaya sebagai anggota tentera sebaliknya mereka bekerja di syarikat swasta seperti syarikat automotif dan telekomunikasi.

Menurut Presiden Persatuan Bekas Askar British, Che Onn Neamat, 68, secara umumnya bekas anggota tentera British pada masa itu tidak menghadapi masalah mendapat pekerjaan kerana mereka mahir berbahasa Inggeris selain berkemahiran dalam bidang teknikal.

Bagaimanapun katanya, terdapat juga antara mereka meneruskan khidmat sebagai tentera dengan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebaik sahaja khidmat pasukan tentera British ditamatkan.

''Saya sebagai contoh. Apabila menamatkan perkhidmatan dalam tentera British saya telah bekerja sebagai pengurus di salah sebuah syarikat automotif luar negara yang berpusat di negara ini.

''Disebabkan masing-masing mempunyai pekerjaan hidup, kami sentiasa terurus kerana kami menerima gaji setiap bulan,'' katanya.

Kini kata Che Onn, mereka yang masih hidup rata-ratanya berusia 65 tahun dan ke atas dan ada juga antaranya sudah meninggal dunia.

''Mereka yang memilih untuk tidak meneruskan khidmat sebagai tentera seperti saya kini mula terasa perit kerana kebanyakan kami tidak menerima pencen. Lebih perit lagi jika kita ada penyakit.

''Atas sebab ini saya dan beberapa rakan mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Bekas Askar British pada Mei lalu bagi tujuan menjaga kebajikan," katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Che Onn menceritakan memang pada asalnya pihak tentera British telah meminta bekas anggota mereka menyertai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) selepas pasukan itu dibubarkan.

Namun begitu beliau berkata, tidak ramai antara rakan-rakannya menyertai PBTM kerana mereka lebih menumpukan kepada kerjaya masing-masing selain timbul persepsi menyatakan bahawa PBTM hanya untuk tentera Malaysia sahaja.

''Kini perkara itu tidak lagi timbul kerana kita baru sahaja menubuhkan Persatuan Bekas Askar British," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, persatuan tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia dan kerajaan British.

''Saya sendiri telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia dan British. Alhamdulillah kedua-dua kerajaan mengiktiraf penubuhan persatuan ini,'' ujarnya.

Beliau juga berkata, tidak ramai bekas tentera British atau balu-balu mereka yang mengetahui bahawa Jabatan Hal Veteran ATM telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk bekas askar British.

Katanya, antara kemudahan itu ialah rawatan perubatan secara percuma termasuk rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

''Saya sendiri pernah melalui satu pengalaman yang mana saya sepatutnya membayar RM20,000 kepada IJN kerana menjalani pembedahan jantung. Kejadian ini berlaku tahun lepas.

''Bagaimanapun sebelum membuat pembayaran saya merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran, Kementerian Pertahanan dan mereka menyatakan yang saya layak mendapat rawatan percuma," katanya.

Beliau berkata, sememangnya bekas tentera British tidak menikmati rawatan percuma sebelum ini tetapi kerajaan telah mengubahnya beberapa tahun lalu bagi membolehkan golongan itu turut menerima kemudahan yang sama.

''Saya percaya ramai bekas tentera British dan balu-balu mereka tidak mengetahui kemudahan rawatan percuma yang disediakan oleh kerajaan ini,'' katanya.

Mengenai aktiviti yang dirangka oleh pihak persatuan, Che Onn berkata, pihaknya kini dalam usaha menjejaki bekas-bekas tentera British yang berada di seluruh negara.

''Setakat ini kita telah pun mempunyai 200 ahli dan kita sedang berusaha memperbanyakkan lagi jumlahnya," katanya.

Mengenai kerjayanya sebagai tentera British, Che Onn yang berasal dari Melaka berkata, beliau memulakan karier seawal usia 16 tahun apabila menyertai pasukan Rejimen Artileri Diraja British di Singapura pada tahun 1957.

Beliau kemudian ke Hants, England bagi melanjutkan pengajian dalam bidang elektrik dan kejuruteraan mekanikal sehingga tahun 1969.

Apabila pulang ke tanah air, pihak atasan telah mengarahkannya menyertai bahagian teknikal tentera British.

''Tugas utama saya ialah membekal barang-barang teknikal dalam setiap operasi ketenteraan. Ketika itu berlaku konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia.

''Walaupun saya tentera British, saya dan rakan-rakan mempunyai semangat patriotisme yang cukup tinggi kerana Malaysia merupakan tanah tumpah darah dan negara kami,'' katanya.

Che Onn berharap, bekas anggota tentera British dapat menghubunginya di talian 012-6590136 dalam usaha untuk meningkatkan jumlah keahlian persatuan tersebut.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz5YZrLiF7E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan