ARKIB : 02/07/2010
NABI Muhammad SAW ialah seorang
nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang
sanggup memaafkan kesalahan orang lain.
Pada suatu hari, ketika baginda
sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang
lazat berupa kambing panggang.
Wanita itu mengetahui bahawa
Rasulullah amat gemar kambing panggang.
Bahagian kegemaran baginda ialah
paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing
panggang itu.
Dia melebihkan racun di paha
kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.
Setelah melihat hidangan itu,
maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan
dengan berselera sekali.
Baginda makan bersama seorang
sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah
makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.
Rasulullah pun meluahkan kembali
daging kambing panggang yang sedang dikunyah.
Ternyata suara hati baginda itu
benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu
meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.
Rasulullah pun bertanya dan
wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata:
"Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan
mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka
aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak
membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."
Rasulullah mendengar penjelasan
wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak
menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian
seorang sahabat baginda.
Baginda sanggup memberi kemaafan
kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVrv3lHu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan