USMAN bin Affan dilahirkan pada
tahun 576 Masihi. Beliau berasal daripada Bani Umaiyah dan terkenal sebagai
sahabat Nabi Muhammad yang dermawan, hartawan dan bangsawan Quraisy. Kekayaan
yang dimilikinya digunakan bagi menegakkan Islam.
Usman bin Affan digelar Zu
al-Nurain. Ini kerana beliau mengahwini dua orang anak perempuan Nabi Muhammad
iaitu Ruqayah kemudiannya Ummi Kalsum. Beliau adalah khalifah yang ketiga dan
dilantik pada tahun 23 Hijrah.
Zaman pemerintahan Usman bin
Affan dapat dibahagikan kepada dua tahap. Tahap yang pertama adalah tahap masa
kegemilangannya dan berlangsung selama enam tahun. Pada masa itu, beliau
menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sosial, politik, ketenteraan dan
lain-lain. Misalnya, beliau sendiri berjaya meluaskan kawasan pemerintahannya
ke beberapa daerah di Parsi dan Afrika.
Tahap kedua dalam pemerintahan
Usman mengalami masalah dan dipenuhi dengan keadaan huru-hara yang berlangsung
selama enam tahun. Usman bin Affan mula menghadapi masalah dalam bidang
politik, sosial dan pentadbirannya menjadi lemah. Masalah yang timbul ini
akhirnya menyebabkan rumahnya dikepung oleh pemberontak-pemberontak yang tidak
menyukainya. Pemberontak-pemberontak datang dari Kufah, Basrah dan Mesir.
Mereka berarak ke Madinah dan menuju ke rumah Usman lalu menceroboh rumahnya.
Mereka menikam dan membunuh Usman pada tahun 35 Hijrah.
Pada zaman kegemilangan
pemerintahan Usman bin Affan, beliau mengarahkan ulama-ulama menyalin semula
al-Quran. Ia sudah dikumpul pada zaman Umar al-Khattab. Pada masa itu, ramai
sahabat yang mula menghafal al-Quran. Di setiap wilayah, sedikit perbezaan
berlaku dari segi bacaan al-Quran. Hal ini membimbangkan, kerana perbezaan yang
berterusan mengakibatkan pertentangan bacaan al-Quran. Akhirnya, ia mencetuskan
perselisihan dan permusuhan antara satu sama lain.
Semasa Huzaifah bin Yaman
mengikuti rombongan tentera Islam dalam perang Armenia dan Azarbaijan dengan
penduduk Iraq, beliau melihat berlaku perbezaan pada bacaan al-Quran. Ada yang
membaca al-Quran dan ditambah dengan kesalahan. Malah kesalahan itu tidak
diperbetulkan. Mereka masing-masing cuba mempertahankan diri mereka adalah
benar. Hal ini menimbulkan masalah besar kepada masyarakat Islam.
Peristiwa itu tidak menyenangkan
hati Huzaifah, lalu beliau berjumpa Usman. "Wahai Usman, selamatkan orang
Islam ini sebelum mereka berselisih faham mengenai al-Quran sepertimana yang
berlaku ke atas orang Yahudi dan Nasrani."
Mendengar cerita Huzaifah itu,
Usman terus mengirimkan surat kepada Hafsah binti Umar. Hafsah adalah anak
kepada Umar al-Khattab. Surat yang dikirimkan oleh Usman kepada Hafsah berbunyi
begini, "Dapatkah saya meminjam senaskah al-Quran daripada kamu. Selepas
selesai menggunakannya, saya berjanji mahu memulangkannya dengan segera."
Usman mahu meminjam al-Quran itu
bagi disalin semula menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berjanji
memulangkan semula al-Quran itu. Permintaan Usman diterima oleh Hafsah.
Kemudian, Hafsah mengirimkan al-Quran yang diminta itu kepada Usman.
Selepas mendapat al-Quran itu,
Usman mengarahkan empat orang jurutulis bagi menyalin semula al-Quran. Mereka
terdiri daripada Zaid bin Sabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin As dan
Abdurrahman bin Haris bin Hisyam.
Sebelum mereka mula menyalin
al-Quran itu, Usman berpesan kepada tiga orang Quraisy itu kecuali Zaid bin
Sabit. "Jika kamu bertiga berselisih pendapat dengan Zaid bin Sabit
mengenai al-Quran, kamu tulislah al-Quran itu dengan bahasa Quraisy. Al-Quran
diturunkan dengan bahasa Quraisy."
Mereka berempat mula menyalin
al-Quran yang dipinjam dari Hafsah. Mereka menyalin sebanyak lima buah salinan
sebagaimana disuruh oleh Khalifah Usman. Selepas selesai menyalin, Khalifah
Usman mengembalikan semula naskhah al-Quran asli kepada Hafsah sepertimana yang
dijanjikan sebelum ini.
"Sekarang kita sudah
mempunyai lima salinan naskhah al-Quran yang sama dalam satu mushaf.
Salinan-salinan ini perlu dihantar kepada setiap wilayah. Al-Quran lain selain
daripada salinan yang baru disalin ini perlu dibakar dengan segera," kata
Khalifah Usman.
Kemudian Khalifah Usman
menyambung lagi, "Satu naskhah al-Quran yang disalin itu perlu disimpan di
Madinah."
Khalifah Usman mengarahkan
sahabat-sahabatnya membawa kelima-lima naskhah al-Quran yang disalin itu dan
dihantar ke Mekah, Suriah, Basra, Kufah dan Madinah. Semua naskhah al-Quran itu
dijadikan sebagai panduan dalam usaha penyalinan berikutnya di daerah
masing-masing. Naskhah al-Quran yang disimpan di Madinah itu dikenali sebagai
Mushaf al-Imam atau Mushaf Usmani.
Usaha yang dilakukan oleh
Khalifah Usman ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam yang lain.
Selain daripada itu, perselisihan faham dan fitnah kepada isi kandungan
al-Quran juga dapat dihindarkan. Oleh yang demikian, wajar bagi kita menjaga
kesucian al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tertulis di dalam
al-Quran.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aVkMLbzN
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 25/06/2010
Azab pengikut Firaun
ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa
supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti
melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan
menurunkan seksa dan azab kepadanya.
Lalu Nabi Musa menghadap Firaun
bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama
pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.
Beberapa hari selepas Nabi Musa
menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah
mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.
Ini mengakibatkan tanam-tanaman
tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka
berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang
teruk.
Namun begitu, Firaun bersama
pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang
diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa
memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan
kepada mereka.
Apabila Allah menurunkan hujan
dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah
hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka
menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya
semakin sombong.
Oleh kerana kesombongan mereka
itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan
segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui
Nabi Musa.
"Wahai Nabi Musa,
selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami
akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata
pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada
Allah agar dihentikan bencana itu.
Allah SWT telah memakbulkan doa
Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah
mengingkari janji.
Lantas Allah SWT menurunkan pula
belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman
mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.
Selepas itu mereka menderita pula
menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar
bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan
silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha
Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu
beriman.
Akhirnya Allah telah menukarkan
pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan
mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang
mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka
datang menemui Nabi Musa.
Dengan penuh kepercayaan terhadap
mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang
Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan
yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi
Musa.
Setelah Allah SWT menurunkan
segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman
kepada ajaran Nabi Musa.
Walaupun begitu, terdapat
sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh
menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan
keimanan mereka kepada-Nya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5aVhSD6af
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 22/06/2010
Ali bin Abu Talib yang suka
bertoleransi
ALI bin Abi Talib adalah khalifah
keempat yang dilantik selepas mendapat sokongan majoriti. Beliau dilantik
menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah. Beliau dilahirkan pada tahun 602 Masihi.
Beliau berasal daripada Bani
Hasyim yang berketurunan Quraisy.
Beliau ialah sepupu dan menantu
Nabi Muhammad. Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga pemuda pertama
yang memeluk Islam.
Nabi Muhammad menggelarkannya Zu
al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Beliau
juga mendapat gelaran Asad Allah yang bermaksud Singa Allah.
Ali meninggal dunia pada 40
Hijrah kerana ditikam oleh Abdullah bin Maljam iaitu salah seorang daripada
golongan Khawarij.
Menurut cerita, Khalifah Ali
kehilangan sepasang pakaian perang. Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak
jumpa pakaian perang tersebut. Pada suatu hari, Khalifah Ali ternampak seorang
lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu. Ali dapat mengecam pakaian perang
itu benar-benar kepunyaannya.
"Tahukah kamu, pakaian
perang yang kamu pakai itu adalah milik saya," kata Ali kepada orang
Nasrani itu.
"Pakaian perang itu milik
saya," ulang Ali lagi.
"Tidak. Pakaian perang ini
adalah milik saya," jawab orang Nasrani itu.
Ali tidak berputus asa lalu
berkata, "Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya. Sudah lama saya
mencari pakaian perang itu".
"Tidak. Saya tidak mahu
serahkan pakaian perang ini kepada kamu," kata lelaki Nasrani itu.
Lelaki Nasrani itu tetap dengan
pendiriannya. Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu walaupun sudah
berkali-kali di minta oleh Ali.
"Sekiranya begitu kata kamu,
mari kita pergi ke mahkamah. Di sana, pihak pengadilan dapat
menentukannya," kata Ali.
"Baik, saya setuju. Mari
kita pergi berjumpa dengan tuan hakim," jawab lelaki Nasrani itu.
Kemudian, mereka berjumpa dengan
hakim yang bernama Kadi Syuraih. Beliau adalah seorang hakim yang adil dan
bijaksana. Sampai sahaja di mahkamah itu, Ali berkata kepada tuan hakim,
"Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu kepada orang lain. Saya
rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu adalah milik saya.
Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut".
Mendengar penjelasan Ali, hakim
menyoal pula orang Nasrani itu, "Adakah benar seperti yang dikatakan oleh
Ali tadi".
Lelaki Nasrani itu menjawab,
"Pakaian perang itu milik saya". Lelaki Nasrani itu masih tetap
dengan pendiriannya menyatakan pakaian perang itu miliknya.
Tuan hakim menjalankan tugasnya
dengan adil. Bagi mendapatkan kepastian, tuan hakim bertanya pula kepada Ali,
"Bolehkah kamu berikan bukti? Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang
itu milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu".
Tuan hakim itu memang seorang
yang adil dan bijaksana. Ali berkata, "Saya tidak mempunyai sebarang
bukti".
Keputusan mahkamah dibuat. Orang
Nasrani itu tidak bersalah. "Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu
adalah milik orang Nasrani dan bukan milik Ali," kata tuan hakim.
Keputusan mahkamah adalah
muktamad. Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah. Di
luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.
"Keputusan yang dijatuhkan
oleh tuan hakim adalah muktamad. Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan
seadil-adilnya. Kamu memang seorang yang jujur dan sabar. Mulai pada hari ini,
saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad
itu adalah pesuruh Allah," kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.
Ali mendengar dengan teliti.
Kemudian, lelaki Nasrani itu menceritakan kisah sebenar mengenai pakaian perang
yang dipakainya itu.
"Pakaian perang ini saya
terjumpa ketika kamu pergi ke Perang Siffin. Pakaian perang ini terjatuh
daripada kenderaan yang kamu naiki. Lalu saya mengambil pakaian perang itu.
"Saya pakai pakaian perang
ini dan menjadi milik saya. Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya
lagi. Pakaian perang ini adalah milik kamu. Ambillah," kata lelaki Nasrani
itu.
Mendengar penerangan lelaki
Nasrani itu, Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.
Kemudian Ali berkata kepada
lelaki Nasrani itu, "Kamu memang seorang yang jujur. Sekarang kamu sah
menjadi orang Islam. Ambillah pakaian perang ini.
"Saya beri pakaian perang
ini kepada kamu. Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu".
Demikianlah sikap jujur, amanah
dan suka bertoleransi di antara satu sama lain. Sikap bertoleransi, jujur dan
amanah terhadap orang lain akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di
kalangan manusia sejagat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aETJwYrH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan