ARKIB : 22/12/2009
AR-RUBAI binti An-Nadhr ialah
seorang wanita yang baik. Beliau mempunyai adik-beradik iaitu Anas dan Ummu
Hakim. Dia juga mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Anas bin Malik.
Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad.
Ar-Rubai merupakan wanita yang
awal memeluk agama Islam. Ar-Rubai berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris
an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama
Harisah.
Ar-Rubai atau dikenali dengan
panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang pandai mendidik anaknya.
Ar-Rubai selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan
Islam yang handal.
"Harisah, sekarang awak
sudah besar. Ibu mahu awak ikut Nabi Muhammad dalam siri peperangan," kata
Ummu Harisah.
"Ibu, saya belum biasa
memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah
pula.
"Itu tidak menjadi masalah.
Nabi Muhammad boleh menolong awak. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh
menyelesaikan masalah awak ini," kata Ummu Harisah.
"Baik ibu. Saya akan belajar
bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah
dengan bersemangat.
Harisah seorang anak yang baik
dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya
menjadi seorang pemuda yang gagah berani.
Anaknya itu tidak gentar
menghadapi musuh. Bahkan anaknya sering mengharapkan agar dirinya mati syahid
di medan perang.
Pada suatu hari Nabi Muhammad
berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "apa khabar awak sekarang?"
Lalu Harisah menjawab, "Saya
sihat dan sejahtera. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya
nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana
Allah," kata Harisah.
Nabi Muhammad pun berkata lagi,
"hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah".
Harisah bertambah semangat
mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "wahai Nabi
Muhammad tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang.
Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang
pahlawan Islam yang syahid".
Nabi Muhammad pun mendoakan
semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh
Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar pada tahun 2
Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu.
Tenang
"Wahai Harisah, pergilah
ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang
sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada
anaknya.
"Doakan semoga tentera Islam
berjaya di medan perang Badar," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu
mencium tangan ibunya.
Harisah pun berangkat bersama
angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar. Perang Badar berlaku kerana umat
Islam ingin mempertahankan keselamatan orang Islam. Pihak Quraisy Mekah tidak
serik menindas dan mengancam orang Islam Makkah pada masa itu.
Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya
Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya.
Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya
dimasukkan ke syurga.
Ummu Harisah terus berjumpa
dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "wahai tuan, bagaimana keadaan Harisah.
Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya
saya amat sedih mendengar kematiannya".
Nabi Muhammad tersenyum lebar
lalu berkata, "wahai Ummu Harisah, anak awak kini sedang berseronok di
syurga Firdaus".
Alangkah gembiranya Ummu Harisah
apabila Nabi Muhammad membawa berita itu.
"Alhamdulillah. Cita-cita
Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga
yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.
Ummu Harisah tidak ketinggalan
melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Anak saudaranya yang bernama Anas bin
Malik juga turut melaporkan hadis darinya.
Sepanjang hidupnya Ummu Harisah
banyak menghabiskan masanya dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.
RUMAHArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YhkP1ONf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan