ARKIB : 05/02/2010
NABI Adam dan isterinya telah
melanggar larangan Allah daripada memakan buah khuldi. Allah telah berpesan
kepada Nabi Adam bahawa jangan mendekati pokok khuldi itu. Allah juga
mengingatkan baginda bahawa iblis itu adalah musuhnya, tetapi baginda masih terpedaya
dengan pujukan iblis tersebut.
Dengan perasaan sedih dan penuh
penyesalan, Nabi Adam dan isterinya, Hawa meminta ampun dan bertaubat kepada
Allah. Nabi Adam berkata bahawa sesungguhnya baginda telah menganiaya dirinya
sendiri.
Sekiranya Allah tidak mengampuni
dirinya, baginda akan menjadi seorang yang rugi untuk selama-lamanya.
Dengan nada marah, Allah
berfirman kepada Nabi Adam dengan mengatakan bahawa Dia telah memberikan tempat
untuk Nabi Adam dan isterinya di syurga yang penuh dengan segala bentuk nikmat.
Cuma satu yang dilarang iaitu memakan buah khuldi tetapi buah itu ternyata
lebih diinginkan oleh Nabi Adam berbanding dengan segala isi lain yang ada di
syurga.
Nabi Adam berasa sangat sedih
apabila mendengar firman Allah itu. Air mata baginda dan isterinya jatuh
berlinangan tanpa henti. Nabi Adam mengatakan bahawa baginda sungguh tidak
menyangka iblis sanggup berbohong kepadanya dengan bersumpah atas nama Allah.
Allah memutuskan bahawa Nabi Adam
dan isterinya harus meninggalkan syurga. Mereka akan diturunkan ke bumi. Di
bumi mereka akan bersusah payah, mencurahkan keringat dan air mata untuk
mencari rezeki.
Dengan air mata yang berlinangan,
disulami dengan perasaan sedih dan takut, Nabi Adam bersimpuh sambil
menundukkan kepala dan meminta ampun, "Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku!
Ampunilah aku!"
Air mata Nabi Adam dan isterinya
semakin banyak bercucuran. Kedua-duanya menangis tersedu-sedu sambil menanggung
penyesalan yang tidak terkira di atas kesalahan yang dilakukan akibat terpedaya
dengan pujukan iblis itu.
lPetikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5ZqIH9IzI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan