ARKIB : 25/06/2010
ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa
supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti
melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan
menurunkan seksa dan azab kepadanya.
Lalu Nabi Musa menghadap Firaun
bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama
pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.
Beberapa hari selepas Nabi Musa
menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah
mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.
Ini mengakibatkan tanam-tanaman
tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka
berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang
teruk.
Namun begitu, Firaun bersama
pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang
diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa
memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan
kepada mereka.
Apabila Allah menurunkan hujan
dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah
hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka
menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya
semakin sombong.
Oleh kerana kesombongan mereka
itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan
segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui
Nabi Musa.
"Wahai Nabi Musa,
selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami
akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata
pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada
Allah agar dihentikan bencana itu.
Allah SWT telah memakbulkan doa
Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah
mengingkari janji.
Lantas Allah SWT menurunkan pula
belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman
mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.
Selepas itu mereka menderita pula
menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar
bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan
silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha
Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu
beriman.
Akhirnya Allah telah menukarkan
pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan
mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang
mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka datang
menemui Nabi Musa.
Dengan penuh kepercayaan terhadap
mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang
Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan
yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi
Musa.
Setelah Allah SWT menurunkan
segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman
kepada ajaran Nabi Musa.
Walaupun begitu, terdapat
sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh
menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan
keimanan mereka kepada-Nya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5aVhSD6af
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan