ARKIB : 09/10/2009
NEGARA Babylon adalah negeri yang
aman dan makmur. Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an.
Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.
Raja Namrud memerintahkan
rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka menganggap patung-patung itu
adalah Tuhan.
Ketika itu, Nabi Ibrahim diutus
untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala.
Tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Akhirnya, Nabi Ibrahim pergi ke
istana Raja Namrud. Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya.
Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak
mengendahkannya.
Pada setiap tahun, rakyat Babylon
akan menyambut perayaan secara besar-besaran. Pada hari tersebut mereka akan
keluar menuju ke tempat perhimpunan. Ketika itulah Nabi Ibrahim menjalankan
rancangannya.
Selepas mereka keluar menyambut
perayaan, Nabi Ibrahim masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan
patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar.
Kemudian baginda menggantungkan
kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.
Selepas itu pulanglah semua orang
daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk
menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan
mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.
Mereka mencari Nabi Ibrahim dan
menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai
supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi
Ibrahim dibakar hidup-hidup.
Raja Namrud memerintahkan seluruh
rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar
dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas
pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.
Ketika Nabi Ibrahim dibakar,
burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor
burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu.
Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.
Burung pipit itu terbang mencari
air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu.
Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.
"Wahai pipit, apa yang
engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.
"Aku mahu membantu Nabi
Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung
pipit.
"Macam mana kamu mahu
padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada
itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.
Walau bagaimanapun, burung pipit
tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia
membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan
izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu
untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas
hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.
Setelah kayu-kayu itu menjadi
bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung
pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah
semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.
Orang ramai yang berada di situ
berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu
seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.
l Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YaR5ytlM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan