Selasa, 18 Disember 2018

Rasulullah dipulau


ARKIB : 31/03/2010
Oleh SITI AINIZA KAMSARI

kanak-kanak palestin turut dinafikan hak mendapat pendidikan apabila terpaksa melalui pemeriksaan tentera zionis setiap hari untuk melalui tembok besar yang dibina.

DAPATKAH kita merasai penderitaan rakyat Palestin yang 'dipenjara' di tanah air mereka sendiri? Dinafikan segala aspek kemanusiaan mereka lalu yang kita dengar tangisan, raungan dan kesakitan wanita dan orang tua yang lemah tidak berdaya.

Lebih menyayat hati, anak-anak kecil yang tidak berdosa turut menderita akibat diboikot.

Sengaja dibawakan senario yang berlaku kini kerana begitulah juga yang dideritai oleh Nabi Muhammad, kaum keluarga dan seluruh umat Islam apabila selama tiga tahun dipulau oleh puak Quraisy.

Sebelum itu, pemulauan adalah kaedah yang paling mudah untuk kononnya memberi 'pengajaran' kepada pihak lawan.

Tidak siapa ketahui siapa di kalangan puak kafir Quraisy yang begitu pintar sehingga berjaya mencetuskan idea melancarkan boikot terhadap Rasulullah sebagai usaha menghalang baginda menyebarkan Islam.

Tetapi kata sepakat telah diambil dan deklarasi dibuat puak Quraisy untuk menyekat kemaraan Islam dengan menghalang hubungan dari mana-mana pihak daripada menghampiri Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

Deklarasi memboikot itu ditulis secara rasmi yang kemudiannya digantung di Kaabah.

Perjanjian boikot itu dikatakan ditulis oleh Manshur bin Akramah yang disahkan oleh seluruh perhimpunan para pembesar Quraisy.

Namun menurut al Mubarakfuri dalam buku Sirah Nabawiyyahnya yang menulis perjanjian itu ialah Nadr bin Al Harith.

Yang sebenarnya ia ditulis oleh Baghid bin Amir bin Hashim di mana Rasulullah SAW dikatakan telah mendoakan kecelakaannya, lalu tangannya menjadi lumpuh!

Pada mulanya dikatakan mereka bercadang memboikot Rasulullah sahaja, tidak melibatkan seluruh Puak Bani Hashim dan Bani Al Mutalib.

Tetapi apabila bapa saudara Nabi, Abu Talib melihat anak saudaranya itu diboikot lalu dia mengumpulkan semua suku Abdul Mutalib, suku Abdul Manaf dan suku Hashim dan bertanya sama ada mereka bersetuju dan sanggup melihat Nabi Muhammad dipulau.

Tentu sekali mereka tidak bersetuju dan bersepakat untuk melanggar sekatan itu.

Abu Talib pun berkata kepada Nabi Muhammad: "Janganlah kamu risau wahai Muhammad, kalau mereka semua memulau kamu, menyisihkan kamu, kami akan tetap bersama-sama dengan kamu dan membantu kamu!"

Apabila mendapat tahu Nabi Muhammad mendapat pembelaan dan bantuan terutamanya dari si bapa saudara yang selama ini begitu membela baginda, menyebabkan Abu Jahal mengumpulkan semua pembesar Quraisy supaya gerakan memboikot Nabi Muhammad perlu diperhebatkan.

Caranya, dengan turut memboikot seluruh kaum keluarga, suku Bani Hashim, Manaf dan sesiapa sahaja yang cuba membantu baginda.

Abu Jahal berjaya mempengaruhi semua pihak itu dan untuk menguatkan lagi kempen memboikot itulah mereka menulis satu surat perjanjian bagi menunjukkan bahawa tindakan itu dibuat secara rasmi dan tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikannya.

Mereka bersumpah bahawa kaum Quraisy sepanjang hidup mereka akan melaksanakan boikot ini iaitu dengan menetapkan perkara-perkara yang berikut:

1) Tidak dibenarkan sesiapa jua pun boleh melakukan sebarang urusan, berjual beli dan berdagang dengan suku Abdul Mutalib, suku Abdul Manaf dan suku Hashim serta sesiapa yang beriman dengan Muhammad dan agama Islam yang dibawa oleh baginda.

2) Tidak dibenarkan sesiapa pun untuk bergaul terutamanya menjamu atau memberi makanan kepada mereka.

3) Tidak dibenarkan sesiapa melakukan ikatan perkahwinan dengan mereka.

4) Tidak dibenarkan Nabi Muhammad dan seluruh kaum keluarga dan pengikutnya membeli makanan dan mendapatkan apa juga bentuk bantuan dari luar Mekah.

Demi keselamatan seluruh kaum keluarga dan umat Islam, Abu Talib akhirnya mengajak mereka (kecuali Abu Lahab yang enggan menyertai) meninggalkan Mekah dan pergi ke pinggiran kota Mekah di kawasan yang berbukit. Kemudian mendirikan sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Syiab atau Kampung Abdul Mutalib.

Tujuannya, untuk mengelakkan serangan-serangan secara mendadak oleh pihak Quraisy terhadap Nabi Muhammad dan para pengikut baginda. Lalu didirikan juga menara-menara kawalan untuk mengawasi setiap pergerakan.

Rasulullah dan pengikut-pengikutnya benar-benar menjadi mangsa pemulauan tersebut, iaitu selama tiga tahun.

Tekanan dan penderitaan yang dialami merupakan satu lagi episod kekejaman Quraisy malah mereka sebenarnya dapat mendengar akan jeritan, raungan dan jerit tangis mangsa-mangsa terutama kanak-kanak Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib yang benar-benar tertindas akibat pemulauan itu.

Manakan tidak mangsa-mangsa hanya mampu makan sebutir kurma sahaja sehari. Bahkan hanya setengah butir sahaja yang terpaksa dikongsi-kongsi dengan orang lain.

Namun tangisan dan keperitan pengikut Nabi tidak dipeculikan, matlamatnya ialah supaya baginda menyerah kalah dan berhenti menyebarkan Islam baru boikot itu akan dihentikan.

Pemulauan ekonomi dilakukan begitu hebat. Segala bahan keperluan terutama makanan disekat. Orang Musyrikin tidak membenarkan makanan yang dibawa masuk ke Mekah atau sebarang dagangan kecuali mereka sendiri akan segera membelinya semua sekali.

Ini tentu sahaja memberi kesan buruk kepada perkampungan Abu Talib kerana jika mempunyai wang sekalipun tetapi tidak dapat membeli barangan keperluan terbabit.

Watak utama yang begitu berjaya menjayakan tekanan tersebut adalah Abu Lahab.

Dia sentiasa berseru dan tidak berhenti berkempen kepada orang ramai terutama ketika berada di pasar supaya memonopoli pembelian bekalan supaya tidak ada yang akan mampu di beli oleh umat Islam.

"Naikkan harga, naikkan harga agar pengikut Muhammad tidak dapat membeli!" Abu Lahab sendiri sanggup membeli pada harga yang luar biasa mahalnya.

Bila ada saudagar-saudagar luar yang terus berurusan menjual bekalan dan keperluan kepada Bani Hashim, puak Quraisy sanggup membeli dengan harga berlipat kali ganda.

Ini menyebabkan ada umat Islam yang terpaksa makan rumput-rumput kering bagi menghilangkan lapar.

Tekanan kelaparan demikian dahsyatnya sehingga kata Saad bin Abi Waqqas: "Suatu malam saya keluar ke lembah dalam keadaan hampir kehabisan tenaga akibat kelaparan dan keletihan. Tiba-tiba saya melihat sekeping kulit unta kering.

"Kulit itu saya cuci sehingga bersih. Kemudian saya bakar kulit itu. Apabila kulit itu masak terbakar, saya racik-racikkan kulit menjadi potongan yang kecil yang kemudiannya saya rendam dalam air.

"Kulit itu menjadi makanan dan saya bertahan selama tiga hari dengan hanya memakan kulit unta itu sahaja."

Sebenarnya di kalangan kafir Quraisy ada yang menaruh simpati dan cuba membantu pengikut-pengikut Rasulullah.

Antaranya anak saudara Siti Khadijah Khuwailid, Hakim bin Hizam dan rakan-rakannya yang sentiasa berusaha 'menyeludup' masuk bekalan makanan ke perkampungan Abu Talib itu.

Tugas itu sebenarnya tidak mudah kerana sentiasa diawasi dan dikawal oleh kafir Quraisy.

Apabila malam semakin larut Hakim dan rakan-rakannya akan mengikat bekalan makanan terutamanya gandum dan buah kurma di atas beberapa ekor unta.

Unta-unta itu kemudiannya dilepaskan begitu sahaja ke arah perkampungan Abu Talib dengan harapan bekalan itu akhirnya akan jatuh juga ke tangan pengikut-pengikut Rasulullah yang diboikot itu.

Namun tidak kurang juga yang dirampas oleh kalangan musyrik Mekah tersebut.

Malah sering terjadi juga pergaduhan apabila pihak Quraisy terutama Abu Jahal s bertindak menghalang sebarang cubaan untuk menggagalkan boikot itu.

Sepanjang tiga tahun di boikot itu, seluruh umat Islam dan Bani Hashim hanya keluar dari perkampungan Abu Talib di bulan-bulan haram iaitu bagi membolehkan mereka mengerjakan haji dan tawaf di Kaabah.

Hanya pada bulan-bulan itu sahajalah juga Rasulullah dapat keluar dan menyeru kepada agama Islam. Tetapi itupun cuba diganggu oleh Abu Lahab yang sering mengekori baginda ke mana sahaja dan berteriak kepada orang ramai bagi menyekat dakwah Islam dari terus berkembang.

Kempen pemulauan ini perlu dilihat sebagai pengajaran yang sangat besar kepada umat Islam jika ditakdirkan berlaku begitu. Sedangkan Allah dan segala perencanaan-Nya mampu menggagalkan tindakan yang menindas umat Islam itu.

Sekalipun teruk diboikot, adakah Rasulullah dan para pengikut akhirnya mengaku kalah semata-mata supaya penderitaan itu dapat ditamatkan?

Apabila baginda mampu bertahan dan sekali-kali tidak menyerah kalah dengan menggadaikan maruah agama maka begitu jugalah pengajaran yang perlu diambil oleh umat Islam hari ini.

Seperti penjajahan oleh rejim zionis terhadap rakyat Palestin yang memaksa umat Islam Palestin mereka bertahan dalam keadaan serba kekurangan selama berpuluh tahun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a6vRRRJy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan